Pages

Hormati hak dan kebebasan mengundi anggota keselamatan

KUALA LUMPUR, 15 Sept: PAS menyeru semua pihak termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghormati hak dan kebebasan pasukan anggota keselamatan khususnya membabitkan kerahsiaan undi mereka.

Anggota keselamatan yang menunaikan tanggungjawab melalui undi pos pada masa ini dikatakan terancam dari sudut kerahsiaan undi mereka akibat beberapa prosedur mengundi yang ditetapkan SPR.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, anggota keselamatan harus diberi hak dan kebebasan untuk mengundi tanpa berasa terancam.

"Kita mengajak semua pihak termasuk SPR bersama memperjuangkan ke arah wujudnya satu ketelusan yang sepenuhnya terhadap anggota keselamatan."

"Sebarang kaedah yang boleh menimbulkan suasana tidak selesa dan mengancam kerahsiaan undi anggota keselamatan, perlu dihapuskan sama sekali," katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga ketua Pengarah Pilihan raya PAS Bagan Pinang berkata, selain desakan parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO), para anggota yang sudah bersara juga boleh memainkan peranan menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap sistem pengundian pos yang pernah mereka lalui.

"saya juga minta bekas anggota keselamatan yang sudah bersara supaya berani tampil mengemukakan apa yang mereka rasa tidak kena dengan prosedur undi pos ini," katanya lagi.

Sebelum ini Salahudin menyambut baik keputusan SPR menetapkan hari mengundi bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang pada hari cuti.

Menurutnya, ianya hasil perjuangan PAS selama ini yang tidak pernah berhenti menuntut supaya SPR tidak lagi menetapkan tarikh pengundian pada hari bekerja seperti di Manek Urai dan Pengkalan Pasir.

Penetapan itu juga akan memberi ruang yang lebih selesa kepada pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka tanpa mengira latar belakang kecenderungan politik.

Justeru, beliau juga optimis PAS mampu menang di kerusi Dun tersebut jika jumlah keluar mengundi mencecah antara 70 hingga melebihi 80 peratus.

Pengundian pada tarikh tersebut diharapkan mampu memberi kelebihan kepada PAS apabila pengundi lebih senang pulang membuang undi tanpa perlu memohon cuti.

Bertemu SPR 28 Sept

PAS bagaimanapun akan mengadakan pertemuan dengan SPR pada 28 Sept depan bagi membincang secara khusus berkaitan undi pos yang dilihat tidak telus dan boleh dimanipulasi.

Pertemuan itu antara lain memfokuskan kepada prosedur mengundi yang dilihat memberi ancaman kepada anggota, dan rantaian keselamatan peti undi sebelum hari penjumlahan.

Ketua pengarah Operasi Pilihan raya PAS Bagan Pinang, Dr. Dzulkifli Ahmad pula berkata, ancaman pengundian wujud pada prosedur di mana setiap anggota diminta memasukkan kedua dua sampul borang kehadiran mengundi dan sampul kertas undi ke dalam satu sampul lain sebelum diletakkan dalam beg peti undi.

"Ini satu bentuk ancaman kepada anggota, bila boring kehadiran dilettakkan bersama kertas undi, bermakna kerahsiaan undi mereka dicabuli.

"Ini yang kita akan bincang dengan SPR," katanya kepada harakahdaily.

Pemuda pakatan dahului serahan memorandum

Sementara itu, pemuda pakatan rakyat juag akan menghantar satu memorandum kepada SPR berhubung perkara sama pasa 17 Sept ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Undi Pos pemuda pakatan, Suhaizan Kayat berkata, memorandum berkenaan bagi mendesak SPR memansuhkan Borang 2 undi pos yang mengandungi maklumat anggota yang mengundi.

Selain itu, mereka juga akan mendesak supaya SPR memberi ruang kepada calon bertanding untuk bertemu para pengundi pos khususnya memasuki kem mereka.

"Calon perlu diberi peluang bertemu pengundi dalam kem. Di pihak kerajaan, mereka menggunakan Kementerian Pertahanan dan agensi kerajaan lain untuk masuk 'berkempen', kita pula tidak dibenar langsung, ini tidak adil," katanya.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah 3 Oktober sementara tarikh pengundian, ditetapkan 11 Oktober depan.

Bagan Pinang mempunyai 13,664 pengundi dan 4,604 adalah pengundi pos.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor dari Barisan Nasional pada 4 September lepas akibat jangkitan dalam darah.

Harakah
15/09/09

No comments:

Post a Comment