Pages

MCA dan Dominasi UMNO

Selepas 8 Mac 2008, perbincangan "menarik diri dari Barisan Nasional" berlaku bukan di kalangan minoriti daripada jutaan ahli MCA. Malah, Presiden MCA, Ong Tee Keat juga membuat pungutan suara di blognya sendiri.

Cuma, selepas Presiden UMNO, Najib Razak menggelar "pungutan suara" dalam blog itu sebagai "kajian akademik", isu yang menarik perhatian jutaan ahli ini telah bertukar menjadi "penyelidikan akademik" yang dijalankan beberapa orang secara berkumpulan, dan bukan lagi "isu penting" yang memberi kesan kepada jutaan ahli dan penduduk yang populasinya mencecah enam juta.

Demikianlah kesan buruknya, apabila MCA diselubungi "dominasi UMNO" buat sekian lama. Dalam keadaan di mana "dominasi UMNO" gagal dihapuskan, malah selagi isu "haruskah MCA menarik diri dari BN" hanya boleh dijadikan "kajian akademik", maka MCA akan terus "menyisihkan dirinya dari politik".

MCA akan bertukar dari satu parti politik yang memerintah, kepada satu "institusi akademik". Lantaran itu, MCA yang tercari-cari "rupa bentuk" dirinya ini, menghadapi kesukaran untuk mengaitkan dirinya dengan kepentingan jutaan ahlinya dan enam juta orang penduduk.

MCA tukar nama JCA

Semenjak tsunami politik 8 Mac 2008, MCA ditimpa kekalahan yang datang berturut-turut. Daripada 40 kerusi parlimen dan 90 kerusi DUN yang ditandingi dalam PRU ke-12, hanya 15 kerusi parlimen dan 31 kerusi DUN dimenanginya. Malah, dalam lapan pilihan raya kecil selepas PRU ke-12, kehadiran MCA langsung "tidak dirasai".

Dalam PRU ke-13 yang akan datang, seandainya lebih 5% undi beralih ke Pakatan Rakyat (PR), maka MCA hanya tinggal 9 kerusi parlimen; seandainya 10% undi yang beralih ke PR, maka MCA perlu menukar namanya kepada JCA (Johorean Chinese Association). Ini kerana MCA hanya akan tinggal 6 kerusi parlimen, dan 4 daripada 6 berada di Johor. Walaupun Ong Tee Keat menang dalam perebutan kuasa MCA kali ini, nasib kekalahan tetap menimpa Ong seandainya tidak bertanding di Johor.

Sekiranya MCA mahu mengelakkan diri daripada menjadi "institusi akademik" dan "JCA", maka MCA perlu berkata "tak nak" kepada "dominasi UMNO". Pada hakikatnya, sejak perebutan kuasa buat kali pertama dalam MCA, parti ini perlu menghadapi campur tangan UMNO.

Campur tangan UMNO

Pada tahun 1958, kali pertama menyaksikan perebutan kuasa antara Tan Cheng Lock dengan Lim Chong Eu yang mewakili pemimpin lapisan muda dalam MCA. Tunku Abdul Rahman ketika itu memberi sokongan secara terbuka kepada Tan Cheng Lock, lantas Lim Chong Eu meninggalkan MCA dan menubuhkan parti baru.

Perebutan kuasa yang lalu memperlihatkan pemimpin MCA tidak mempunyai masalah dengan "dominasi UMNO". Pada tahun 1973, Tan Siew Sin memecat 158 orang yang diketuai Lim Keng Aik, berakhir dengan penyertaan ahli MCA ke dalam parti Gerakan. Tanpa diduga, Tan Siew Sin meletak jawatan pada April tahun 1974, dengan alasan masalah kesihatan.

Pada 26 Ogos 1977, The Straits Times dari Singapura menyiarkan wawacanra bersama Tan Siew Sin. Tan berkata semangat perkauman adalah penghalang pembangunan politik Malaysia. Malah, dalam konteks politik Malaysia, Tan menganggap sebuah parti yang terdiri daripada pelbagai kaum adalah lebih sesuai daripada model BN.

Lee San Choon yang memecat Michael Chen Wing Sum, bersama 60 orang ahli yang lain pada tahun 1979, telah meletak jawatan pada April 1983. Ia cukup mengejutkan kerana Lee San Choon telah bertanding di Seremban untuk menewaskan pengasas DAP, Chen Man Hin dalam PRU tahun 1982.

Pada September 2000, sebuah majalah menyiarkan wawancara bersama Lee San Choon. Beliau berkata, "saya bertanding di Seremban menentang Chen Man Hin, untuk menunjukkan bahawa MCA juga mendapat sokongan masyarakat Cina, menyanggah tuduhan bahawa calon MCA menang kerana bergantung kepada undi orang Melayu."

"Dengan demikian, saya harap kerajaan akan menghormati wakil orang Cina. Tetapi, bukan senang untuk menang di Seremban. Pegawai kanan UMNO cuba sabotaj, undi Melayu yang saya perolehi tidak banyak. Mereka tidak suka tindakan saya itu," ujarnya.

MCA dan PKFZ

Persoalan pokok untuk perebutan kuasa dalam MCA kali ini ialah, apakah skandal PKFZ melibatkan orang UMNO? Setakat ini, kebenaran belum didedahkan sepenuhnya. Dalam keadaan sedemikian, apakah "dominasi UMNO" ini memberi kesan? Mungkinkah Ong Tee Keat berkata "tak nak" kepada "dominasi UMNO", setelah menuduh Chua Soi Lek membuka pintu agar UMNO bercampur tangan? Sekiranya skandal PKFZ melibatkan orang UMNO, adakah Ong Tee Keat akan mendedahkan identiti mereka?

Selepas PRU ke-12, slogan "1Malaysia" sering terkeluar dari bibir Najib, di samping lidah UMNO, Utusan Malaysia menjilat hujah pemimpin UMNO yang berbau perkauman dan memainkan isu agama. Apakah taktik talam dua muka ini turut sesuai digunakan dalam penyiasatan PKFZ? Ong perlu menjelaskan, adakah PM menyokong pendedahan skandal PKFZ oleh Menteri Pengangkutan, tetapi pada masa yang sama hanya membenarkan "orang tertentu" didedahkan. Selepas penyiasatan skandal melabuh tirai, sesetengah orang yang belum disebut namanya akan terlepas begitu sahaja?

Setakat ini, walaupun penyiasatan PKFZ menemui jawapan untuk soalan tertentu, tetapi sesetengah jawapan mencungkil lebih banyak persoalan, terutamanya pertikaian terhadap suspek yang terlibat. Pada hakikatnya, sekiranya Ong Tee Keat menyokong penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat sepenuhnya skandal ini, maka jutaan ahli MCA akan menyedari bahawa Presiden MCA memerlukan sokongan.

Jika tidak, "dominasi UMNO" akan menentukan sejauh manakah siasatan PKFZ mendalami, dan sejauh manakah seseorang Presiden MCA mengekalkan jawatannya.

MR
14/09/09

No comments:

Post a Comment