Pages

NGO demo bantah Malaysiakini disiasat

Beberapa NGO media, hak asasi manusia dan penulis blog hari ini berhimpun di depan pejabat Malaysiakini bagi menunjukkan sokongan susulan siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) minggu lalu.

Dalam perhimpunan ringkas di depan pejabat akhbar web itu di Bangsar Utama, Kuala Lumpur, kumpulan 30 penyokong itu hanya berhimpun sebentar kira-kira jam 10 pagi sambil membawa beberapa sepanduk yang mengkritik dan menyindir kerajaan.

Ia antaranya bertulis: “Stop targeting Malaysiakini“, “Rais = Goebbles (menteri propaganda Nazi)”, “MCMC macai Rais Yatim” dan “Kami mahu merdeka”.

Dipimpin pengarah Institut Nasional Untuk Integriti Pilihan Raya (NIEI) Amin Iskandar, kumpulan tersebut – Pakatan Wartawan untuk Kebebasan Media (Wami), Suaram, kumpulan penulis blog Anak Bangsa Malaysia – itu kemudiannya mengadakan sidang media di pejabat Malaysiakini.

Ketua pegawai eksekutif akhbar web itu Premesh Chandran turut hadir dalam sidang media yang turut dihadiri agensi berita antarabangsa itu.

Pengerusi NIEI, Yunus Ali menyifatkan permintaan MCMC supayaMalaysiakini menarik balik dua videonya – termasuk sidang media Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 28 Ogos lalu – sebagai “tidak logik”.

“Mereka (kerajaan) mahukan maklumat sehala, macam (menteri Nazi) Goebbels. Kemudian bila rasa tidak OK, tarik balik. Itu propaganda ala Goebbels,” katanya.

Wakil WAMI Nga Yap Hwa pula berkata, Hishammuddin tidak sepatutnya menuding jari kepada media yang hanya melaporkan, sebaliknya menteri berkenaan patut meminta maaf kerana bertemu dengan penunjuk perasaaan yang mengarak kepala lembu di Shah Alam hujung bulan lalu.

Sementara itu, Premesh menuntut MCMC menyelesaikan siasatannya dengan cepat, tanpa menyambungnya dalam perkara lain yang tidak perlu.

“Kita sedia didakwa di mahkamah. Kita akan mempertahankan tindakan mengikut lunas undang-undang. Kita percaya keadilan menyebelahi kita,” katanya disambut tepukan penyokong akhbar tersebut.

14/09/09

No comments:

Post a Comment