Reformasi Tanpa Anwar

Akhirnya DS Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. Desas-desus DS Dr. Mahathir hanya berpolitik semasa menyatakan keinginan meletak jawatan meleset. Ada yang menganggap air mata Mahathir adalah kepura-puraan baru untuk melihat sokongan kepadanya. Tentu sekali ramai yang mengingati tangisan dan patahnya kasut tumit tinggi DS Rafidah Aziz.

Saya masih ingat ketika ke Palace of Justice sebelum itu ketika DS Anwar sedang dibicarakan. Buku Gelombang Kebangkitan Asia, terjemahan dari Asian Renaissance saya hilang dicuri. Mujur saya berjaya mendapatkan yang baru di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada waktu itu. Saya masih ingat kata pegawai yang bertugas pada waktu itu “…buku itu telah diarah lupus oleh kerajaan. Tapi saya simpan lapan naskah jika adik mahu beli”. Tanpa banyak soal saya mendapatkannya. Saya percaya naskah bahasa Melayu itu sudah tidak ada. Saya membuat dua salinan untuk rakan-rakan Reformis – yang saya kenal di mahkamah.

Saya masih ingat peringatan arwah Pak Lang Zaki ketika kami bertemu di mahkamah “…jangan lupa bahawa selama ini Pak Lah adalah orang yang menandatangani penangkapan ISA!”. Seingat saya, itu kali terakhir saya berbual dengan arwah Pak Lang Zaki selepas sebelumnya kami bersama dalam mogok makan sempena 365 hari tahanan ISA.

Ramai berteka-teki tentang keputusan Mahathir meletakkan jawatan. Tidak ada tanda keretakan hubungannya dengan Pak Lah. Tidak ada tanda kesungguhan orang ramai mahu Mahathir kekal. Maka, ada teori selain ujian pengaruh mengatakan Mahathir sudah tidak punya daya untuk bertahan dengan kerosakan yang berpunca daripadanya. Ramai berpandangan bahawa Mahathir adalah biawak hidup yang terpaksa dipikul UMNO-BN. Berhentinya Ling Liong Sik juga satu tanda bahawa kepimpinan masyarakat Cina lebih fleksibel.

Saya pernah ditanya lebih kurang “…jika benar ada rasuah, tunjuk bukti dan saya sendiri sedia untuk buat laporan bersama”.

Jawab saya “…rasuah itu seperti zina juga, orang tidak buat secara terbuka. Pokoknya sistem itu mesti boleh menjamin dan diyakini dapat melawan rasuah. Sebab itu orang bicara soal Akta Kebebasan Maklumat (FOIA), pemisahan kuasa yang jelas (clear separation of powers), ketangkasan badan penguatkuasa yang tidak memilih (the efficiency of enforcement without selective prosecution) dan sebagainya”.

Kita boleh merujuk kes laporan rasuah terhadap DS Rafidah, Rahim Tamby Chik dan Samy Vellu misalnya. Kita tahu Ezam ditangkap di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang memaksudkan dokumen yang dibawanya adalah sahih. Sejak bilakah undang-undang kita digubal untuk mempertahankan jenayah?

Ini soalan paling kritikal lanjutan daripada kerosakan institusi yang telah saya nyatakan sebelum ini dan kita patut berterusan mempersoalkan ini. Di sana terlihat bagaimana iltizam politik tidak ada dan institusi kenegaraan dikompromi untuk menghalalkan salah guna kuasa dan rasuah. Lebih buruk lagi, ia dikompromi dengan maruah bangsa dan agama apabila ia dipertahankan dengan slogan “Hidup Melayu” dan “Ancaman Kepada Islam”. Sejak bila pula budaya bangsa dan nilai agama mewajarkan ini?

Ini garis prinsip yang perlu kita pertahankan – tanpa memilih bulu berdasarkan asosiasi kepartian dan individu.

Kita harus mengalukan siasatan dan dakwaan salah laku di kalangan kepimpinan Pakatan Rakyat misalnya. Tapi itu tidak bermakna bahawa kita tidak sedar akan pendakwaan memilih.

Saya melihat ada kecenderungan untuk Pakatan Rakyat dan pendokong Reformasi juga untuk berkompromi dengan kelemahan kepimpinan. Ia kedengaran dalam bentuk “tidak adil membandingkan satu tahun pemerintahan Pakatan Rakyat dengan BN yang sudah 50 tahun” atau “kita tidak sangka untuk menang begini semasa Mac 2008”.

Kita mesti bertegas bahawa tugasan kenegaraan bukan seperti main pondok-pondok! Suka atau tidak, realiti di lapangan menunjukkan rakyat telah bersedia memberi peluang untuk membaiki negara melalui saluran lain daripada Barisan Nasional!

Saya melihat mentaliti kepembangkangan yang kuat masih berlegar di sekitar cara berfikir aktivis parti. Pandangan sarwa yang ekstrim (maksud saya zero sum game) juga tebal terutama di kalangan politikus PAS dan DAP.

Ada pertuduhan bahawa politikus PKR adalah mantan politikus UMNO justeru mereka lebih kurang sama budayanya dengan UMNO. Saya boleh bersetuju hingga tahap tertentu, namun melihat ia sebagai tuduhan rambang yang cetek pada sisi lain. Entah ke mana mereka campakkan aktivis PRM, NGO dan profesional yang lain. Entah sejauh mana mereka menyelongkar khazanah ilmu dalam pada mereka bersetuju bahawa ilmu Allah s.w.t. itu Maha Luas.

Sepatutnya kini di peringkat akar umbi telah mula membincangkan idea-idea kasar dalam bicara reformasi di Malaysia. Dari persoalan negara madani ke negara kebajikan, ia harus dikupas dengan lebih teliti agar timbang tara dasar dapat dibuat bagi membantu mereka yang berkhidmat. Bukan saja perbincangan dasar, ia harus diterjemahkan dalam program konkrit untuk rakyat. Rakyat tidak harus lagi disuap sampai bila-bila. Kita harus memikirkan lebih dari sekadar memberi ikan, tetapi pergi kepada kemahiran menangkap ikan.

Bisik-bisik orang ramai, Pak Lah membebaskan Anwar melalui nasihat orang-orang alim kepadanya dan tindakan ini telah mengejutkan Mahathir. Desas-desus mengatakan Khairy Jamaluddin merupakan orang yang bertanggungjawab. Waktu itu kelihatan Ezam menjadi orang yang membawa Khairy untuk memudahkan urusan passport dan visa Anwar ke Jerman.

Keluarnya Ezam dari tahanan ISA dan OSA menunjukkan perubahan ketara. Tidak ada lagi Ezam yang menjadi sosok mengingatkan rakyat kepada Anwar. Yang ada hanya gambar dan kisah bagaimana Ezam mengaturkan kompromi dengan UMNO. Sebilangan tahu Ezam lebih awal menyatakan hasrat menyertai UMNO dengan alasan sebagai jalan membebaskan Anwar. Kumpulan 12 dihantar awal sebagai tanda komitmen Ezam untuk membunuh ‘nyawa’ PKN. Ezam tentu ingat balas Anwar bahawa “jika anda menyertai UMNO, saya akan menjadi ‘lawan’ anda”.

Reformasi Tanpa Anwar akan berkisah tentang pengalaman terhad saya bersama Ezam.
09/09/09

No comments: