Pages

Perkataan “Allah” telah digunakan lebih kurang 500 tahun sebelum Islam

Allah: Suara dari Sabah — Zanna Roach

Jika diamati, Herald mempertahankan penggunaan perkataan “Allah” dan bukannya kalimah Allah. Terdapat perbezaan yang ketara diantara perkataan dan kalimah. Ini boleh membawa kekeliruan dikalangan umat Islam yang mungkin beranggapan kalimah yang terdapat di dalam Al-Quran.

Tidak pernah digunakan kalimah Allah seperti mana di dalam Al-Quran di dalam doa mahupun upacara sembahyang. Perkataan “Allah” bukan tiba-tiba digunakan tetapi telah digunakan sekian lama di Sabah dan Sarawak yang menggunakan Bahasa Melayu di dalam upacara sembahyang.

Tuhan, Bapa, Allah digunakan di Sabah dan Sarawak dan terdapat bukti cetakan dan umat Kristian yang boleh memberikan saksi penggunaannya dari dulu lagi.

Penggunaan “kalimah” adalah propaganda satu saluran media eletronik yang tidak bertanggungjawab yang hanya telah mengibarkan dan menghangatkan sentimen satu pihak sahaja dengan paparan dari pelbagai sudut: pendapat ulama, pendapat ahli politik dan kumpulan bantahan hari demi hari sebagai tajuk utama.

Saya yang berasal dari Semenanjung mengikuti upacara dan sembahyang di Sabah di dalam Bahasa Melayu yang telah menggunakan nama Allah dari turun-temurun.

Suratkhabar Herald adalah suratkhabar yang memenuhi keperluan umat Katolik yang fasih Bahasa Melayu dan mereka yang telah menggunakan nama Allah sebelum kemerdekaan lagi.

Orang Kristian terutamanya di Sabah dan Sarawak keturunan pelbagai etnik yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara telah lama menggunakan perkataan Allah di dalam doa dan upacara sembahyang seperti mana umat Kristian di negara Arab dan Indonesia. Penggunaan Bahasa Melayu di dalam upacara sembahyang di Semenanjung menyusuli dan ini pun sudah melebihi 10 tahun. Upacara sembahyang Kristian tidak terhad dengan bahasa Inggeris sahaja dan kesedaran ini perlu ada sebab Kristian selalu dikaitkan dengan Negara Barat dan Inggeris sahaja.

Asal usul penggunaan perkataan “Allah” ini adalah di kalangan penganut-penganut Kristian, Yahudi dan Islam yang asal kepercayaan dari Nabi Ibrahim (Abrahamic faith).

Perkataan “Allah” telah digunakan lebih kurang 500 tahun sebelum Islam. Nama bapa Nabi Mohammad sendiri adalah Abdallah yang membawa maksud “Hamba Allah” yang menunjukkan penggunaanya sebelum agama Islam lagi. Orang Kristian Arab menggunakan perkataan Allah. Orang Kristian Indonesia menggunakan perkataan Allah.

Kenapa penggunaan nama Allah didalam satu-satunya media iaitu akhbar Herald dilihat sebagai satu ancaman? Umat bukan Islam di Malaysia tidak ada saluran radio dan televisyen untuk berhubung dengan umat mereka.

Apa yang biasa diperdengarkan ialah negara ini adalah Negara Islam dan kami adalah minoriti. Ditambah lagi, Perlembagaan menjelaskan bahawa perkara ini tidak boleh dipersoalkan (boleh masuk ISA jika dipersoalkan).

Oleh itu umat Islam sahaja boleh menggunakan saluran media elektronik untuk berdakwah. Kenapa khuatir tergugat agama walaupun ada pelbagai saluran media elektronik seperti didalam bentuk dokumentari, cerita tentang Nabi-Nabi, panggilan sembahyang lima waktu, siaran langsung sembahyang Jumaat, forum, drama Islam, nasyid, mengaji Al-Quran dan media cetakan: ruangan khas di dalam majalah dan suratkhabar.

Kenapakah lagu negeri contohnya di Selangor dan Perak mengandungi perkataan Allah? Kenapakah rakyat dari pelbagai bangsa dari kecil lagi telah menyanyi dan menghayati lagu negeri untuk bertahun-tahun lamanya yang mengandungi perkataan Allah?

Bukankah kita sama-sama mendoakan Allah melanjutkan usia Raja-raja kita?

Saya bertuah menjadi rakyat Malaysia kerana memiliki kawan-kawan dari pelbagai bangsa dan keturunan. Mari kita meluangkan masa untuk berdoa supaya persaudaraan dikekalkan, keamanan diberatkan.

Zanna Roach ialah pembaca The Malaysian Insider.

MI
09/01/2010

1 comment:

  1. you should refer to Injil, taurat & Zabur. Based on the info gathered, they refer GOD in those Kitab as Lord, God, Rabb or Ilohim; and not as what being said.
    But those Kitab not exist already.

    ReplyDelete