Pages

Pindaan dasar bawa perubahan besar

Kerajaan perlu mengambil langkah yang proaktif, dengan menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada kerajaan untuk membawa perubahan kepada ekonomi negara, malah menerokai bidang baru untuk pertumbuhan ekonomi. Demikianlah pandangan Jomo Kwame Sundaram, penolong Setiausaha Agung bagi Pembangunan Ekonomi dan Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial PBB (DESA).

Jomo K.S mengambil contoh bagaimana kerajaan Malaysia menerokai potensi pembangunan dalam bidang kelapa sawit, melalui dasar percukaian antara tahun 1975 hingga 1985. Kerajaan pada ketika itu mengenakan cukai ekport yang lebih tinggi terhadap minyak kelapa sawit yang belum diproses, berbanding dengan yang sudah diproses. Dengan itu, ia membangunkan industri pemprosesan kelapa sawit, lantas mempertingkatkan bidang kelapa sawit dari ekonomi rantai nilai rendah kepada nilai tinggi.

Kejayaan ini telah memacu pembangunan pemprosesan kelapa sawit tempatan. Kilang pemprosesan kelapa sawit tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, malah kelapa sawit Indonesia juga diproses di Malaysia. Oleh sebab harga eksport kelapa sawit yang diproses lebih tinggi daripada yang belum diproses, ia sebenarnya menggalakkan pemprosesan sebelum dieksport.

Pada hakikatnya, ia satu kejayaan yang besar. Hanya dengan satu dasar percukaian yang mudah daripada kerajaan, satu bidang baru telah diteroka dan dibangunkan. Keuntungan melimpah untuk usahawan, peluang pekerjaan diwujudkan, pertumbuhan ekonomi dipacu, malah pendapatan kerajaan dipertingkatkan.

Demikianlah contoh yang diberikan oleh Jomo KS (gambar kanan), dalam satu syarahan umum di UKM baru-baru ini untuk menyatakan bahawa kerajaan tidak semestinya melakukan sesuatu yang "menggemparkan" untuk memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi. Sebaliknya, sedikit pindaan dari segi dasar bakal mengundang perubahan yang besar.

Dari Grant kepada Soft Loan

Contohnya, kerajaan Najib hanya perlu menukarkan grant yang diperuntukkan kepada usahawan kepada soft loan (pinjaman bunga rendah), untuk mengundang kesan positif kepada ekonomi negara, malah menyelesaikan banyak kerumitan yang dihadapi kerajaan.

Pertama, grant memiliki ciir-ciri "free money", mereka yang memperolehi grant tidak memikul tanggungjawab untuk memulangkan wang. Biasanya, pemohon hanya perlu memenuhi syarat tertentu, dan menyerah laporan dari masa ke masa seperti yang ditetapkan.

Lebih-lebih lagi, sekiranya tiada pemantauan yang terperinci daripada pihak yang memperuntukkan grant, maka ia mudah mencetuskan masalah moral (moral hazard). Laporan daripada pemohon lebih indah dari rupa, tanpa dikesan oleh pihak berkenaan. Ia mungkin berakhir dengan penyalahgunaan peruntukan.

Keduanya, dasar afirmatif, iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksana selama ini, telah menjadi satu dasar afirmatif perkauman. Maka wujud perniagaan ala-Ali Baba, iaitu orang Melayu mempergunakan identiti istimewanya yang diperuntukkan DEB, untuk mendapat kebaikan daripada institusi kerajaan, misalnya peruntukan, kontrak dan sebagainya.

Rombakan dasar perkauman

Pada dasarnya, budaya Ali Baba juga wujud di dalam institusi peruntukan dana kerajaan. Sesetengah syarikat mahupun individu (terutamanya kaum Melayu yang berhubungan rapat dengan kerajaan), menggunakan "hubungan" ini untuk mendapatkan peruntukan usahawan, dan kemudian mengaut keuntungan daripada peruntukan ini. Misalnya, seorang usahawan tempatan memohon peruntukan RM200 ribu, "orang tengah" ini pula meningkatkan 20% ketika mendapatkan peruntukan tersebut. Dengan itu, RM40 ribu diperolehi sebagai keuntungan.

Lebih-lebih lagi, institusi kerajaan yang bertanggungjawab untuk peruntukan dana ini tidak memantau perkembangan seterusnya. Ini menjurus kepada dana yang diperuntukkan tidak digunakan pada tempatnya sebagaimana yang dilaporkan.

Jadi, seandainya kerajaan menukarkan grant kepada soft loan, maka keadaannya akan berbeza. Soft loan menuntut agar pemohonnya memulangkan wang, malah perlu memikul tanggungjawab tertentu (misalnya aset perlu dipajakkan). Mekanisme sebegini tidak memberi ruang kepada model Ali Baba. Disebabkan pinjaman perlu dipulangkan, maka tiada orang sanggup meningkatkan jumlah peruntukan kerana ia akan memikul hutang yang lebih berat.

Keadaan ini menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi kerajaan, termasuklah:-

Pertama, kumpulan berkepentingan gagal mengaut keuntungan daripada ketirisan ini, maka ia menghakis kewajaran kewujudan dasar afirmatif perkauman.

Kedua, mencegah penyalahgunaan dana peruntukan, kerana hanya mereka yang memerlukan akan memohon soft loan.

Ketiga, soft loan adalah pinjaman bunga rendah, malah syarat pemohonan lebih mudah berbanding bank komersial. Langkah ini akan menggalakkan pinjaman oleh usahawan.

Keempat, memastikan dana peruntukan digunakan pada tempatnya, dan digunakan sepenuhnya. Ia akan membawa kesan pembangunan yang positif untuk bidang yang ingin diterokai atau menjadi tumpuan kerajaan.

Kelima, soft loan yang dipulangkan boleh dikitar-semula untuk memanfaatkan pemohon lain, lantas meringankan beban kerajaan.

MR
19/03/10

No comments:

Post a Comment