Pages

Mahkamah Syariah setaraf Mahkamah Sivil, Apa peranan mahkamah syariah , kes cerai dan harta apa pasal nak naik taraf

Mahkamah Syariah akan terus dinaik taraf bagi memartabatkan undang-undang Islam dalam negara agar setaraf dengan mahkamah sivil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, antara langkah yang akan dipakai untuk memartabatkan institusi tersebut adalah dengan mengesyorkan penubuhan Majlis Rayuan Syariah, Mahkamah Tengah Syariah dan menaik taraf kedudukan Mahkamah Tinggi Syariah.

Selain itu, katanya, cadangan menubuhkan Perwujudan Perjawatan Berpusat, Mahkamah Rayuan Syariah Negeri serta menaik taraf hakim-hakim mahkamah syariah adalah antara pendekatan terbaru untuk memartabatkan institusi tersebut.

"Cadangan-cadangan dalam kertas kerja ini adalah sesuai dengan keperluan keadaan sekarang yang begitu mendesak kerana ada kes-kes yang memerlukan rayuan terhadap mahkamah yang lebih tinggi.

"Cadangan penubuhan juga amat wajar dan bertepatan dengan situasi sekarang, buat masa ini kita hanya ada tiga tingkat mahkamah syariah kita iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil Ke-20 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Objektif utama persidangan adalah untuk membincang, membahas dan mendapatkan pandangan mengenai undang-undang atau kaedah-kaedah yang berkaitan dengan hal ehwal Islam serta isu-isu penting yang berbangkit.

Jamil Khir berkata, bersempena dengan persidangan tersebut, Peguam Negara dijemput untuk memberi penerangan mengenai konsep menaik taraf Mahkamah Syariah.

Beliau berkata, konsep baru Mahkamah Syariah yang dicadangkan itu akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk diberi kelulusan.

"Sekiranya Majlis Raja-Raja memperkenankan cadangan itu, Mahkamah Syariah akan memasuki suatu lembaran baru dalam sejarah penubuhannya di mana tarafnya hampir sama dengan mahkamah sivil," katanya.

Beliau memberitahu peningkatan martabat Mahkamah Syariah memang diperlukan seiring dengan perkembangan industri perbankan Islam dalam konteks ekonomi dan halal yang kini sedang berkembang.

Mengenai isu halal, beliau berkata, pindaan terhadap Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 melalui kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan dibuat untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu yang cukup sensitif itu.

"Pindaan tersebut akan dibentangkan pada sesi Persidangan Parlimen pada Jun depan.

"Apabila diluluskan nanti, segala permasalahan yang timbul berkaitan dengan soal halal seperti masalah pengisytiharan sendiri halal oleh pihak yang tidak berkuasa akan dapat diselesaikan," katanya.

15/05/10

No comments:

Post a Comment