Pages

Memang tak mudah undang-undang yang adil nak dilaksanakan di Malaysia

Gabungan Pemimpin Tak Bermoral
Perdana Menteri kita ini macam cowboy di zaman Wild Wild West. Siri TV tahun 1960-an ini selalunya menunjukkan watak orang yang tak pedulikan undang-undang. Hukum yang dipakainya ialah pistolnya. Dia sanggup melakukan apa saja kerana orang takut kepadanya; sebab dia digelar “a fast draw”. Bila semua orang dalam ketakutan maka dia lah hero ditempat itu.

PM kita pun sama macam hero kaki tembak orang tanpa peduli undang-undang. Dia rasa dia sudah berjaya setelah “menang” di Hulu Selangor dengan membeli undi, menggunakan media massa termasuk Utusan dan stesen TV untuk memburukkan dan memfitnah lawan dan menyalahgunakan semua agensi penguatkuasa kerajaan tanpa segan silu. Maka dia ingat dia boleh kitar semula taktik itu di Sibu. Dengan itu PM kita pun bertandang ke Sibu dengan gaya dan taktik yang sama. Dia tawarkan RM18 juta kepada sekolah-sekolah cina, RM1.7 juta untuk geeja-gereja Kristian dan RM5 juta untuk mitigasi banjir. Wang tunai yang tidak kehabisan pula bercurah-curah di rumah panjang di Sibu.

PM Najib dan orang nombor duanya Muhyiddin sebenarnya jenis pemimpin yang tak ada moral kepimpinan. Tidak layak menjadi pemimpin; tidak boleh dijadikan teladan. Mereka pandai memburukkan peribadi saya tetapi merekalah sebenarnya “promoter” kepimpinan yang rasuah dan ganas. Bangga dengan penyalahgunaan kuasa yang dipamerkan. Bangga bila membelakangkan undang-undang dengan sawenang-wenangnya. Mereka tak sedikit pun rasa malu dan segan. Tak segan kepada rakyat sendiri dan tak malu kepada kacamata dunia tentang tindakan mereka. Merekalah sebenarnya orang yang takut dengan rakyat. Mereka tahu kalau rakyat dibenarkan memilih dengan bebas dan pilihanraya diadakan dengan cara yang lazim diadakan di negara lain secara demokrasi tulen, mereka akan kehilangan kuasa. Itu pun, rakyat tetap berani bersuara. Suara rakyat masih hidup di Sibu. Saya yakin suara ini akan bertambah kuat di dengar di merata pelusuk negara kita.

Memang tak mudah undang-undang yang adil nak dilaksanakan di Malaysia. Ini adalah kerana di negara kita, Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara dan Pengerusi Suruhanjaya dan Pencegahan Rasuah Malaysia adalah orang-orang PM. Mereka sudah lupa bahawa semasa mereka mengangkat sumpah menerima jawatan masing-masing, sumpah keramat mereka adalah untuk menjaga kepentingan rakyat, mendaulatkan undang-undang negara dan menjalankan tugas dengan berani dan penuh integriti. Tapi sekarang ini mereka hanya menjaga kepentingan PM semata-mata.

Walaupun sukar, InsyaAllah, suatu hari nanti kita rakyat Malaysia akan berjaya mengembalikan maruah dan harga diri rakyat dan negara yang kita cintai. Bila tiba hari keramat itu, kita sudah tentu tidak memerlukan elit Melayu seperti ini lagi kerana sudah terbukti mereka hanyalah pagar yang makan padi. Golongan ini hanyalah gabungan pemimpin yang tak bermoral.


Zaid Ibrahim,
18/05/10

No comments:

Post a Comment