Pertumbuhan ekonomi sebanyak 7.2% yang dicatatkan negara pada tahun 2010 perlu dikaji dengan lebih dekat untuk memahami keseluruhan implikasinya. Angka 7.2% perlu dibandingkan dengan pencapaian jiran-jiran kita dan bukannya dinilai secara bersendirian. Singapura dan Indonesia contohnya masing-masing berjaya mencatatkan pertumbuhan 14.5% dan 6.1% dalam tahun 2010. Kedua-dua jiran kita ini mengatasi pertumbuhan Malaysia; apatah lagi apabila pertumbuhan Indonesia adalah berdasarkan angka pertumbuhan asas yang lebih tinggi kerana Indonesia tidak mengalami penguncupan ekonomi dalam tahun 2009 seperti mana Malaysia dan Singapura. Pertumbuhan 14.5% yang dicatatkan Singapura disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam sektor perkilangan pada kadar 29.7% pertumbuhan tahunan. Jika dibandingkan dengan Singapura, pencapaian kita malap dalam kedua-dua aspek – pertumbuhan ekonomi hanyalah separuh dari yang dicapai Singapura, sementara pertumbuhan sektor perkilangan pada kadar 11.4% hanyalah setakat satu pertiga pencapaian Singapura. Penjelasan kedua-dua kerajaan dalam menerangkan perbezaan pertumbuhan sektor perkilangan ini adalah amat berbeza. Singapura menyatakan bahawa permintaan yang kukuh dari pasaran dunia memesatkan pertumbuhan sektor perkilangannya, sementara Malaysia pula menyalahkan pasaran dunia sebagai akibat kelembapan sektor perkilangannya – padahal kedua-dua negara sama-sama bergantung kepada barangan eksport dan pasaran dunia. Hakikatnya, barangan yang dikilang di Malaysia semakin hilang daya saingnya di pasaran dunia kerana kita tersekat di tangga nilai yang bawah dan terpaksa bersaing dengan negara-negara yang struktur kosnya lebih murah; sedangkan pesaing seperti Singapura terus menghasilkan barangan bernilai tinggi. Amaran mengenai masalah ini telah diberikan sejak sedekad yang lalu, namun tidak ada satu langkah yang berkesan yang diambil kerajaan selain dari retorik politik yang dibayar oleh rakyat. Pertumbuhan sektor perkilangan yang lebih rendah berbanding jiran diburukkan lagi dengan penguncupan dua sektor penyumbang utama di dalam suku keempat 2010. Sektor perlombongan dan pertanian adalah penyumbang utama kepada pendapatan Kerajaan Persekutuan melalui hasil minyak dan gas serta kelapa sawit. Kedua-dua sektor ini mencatatkan penguncupan dalam suku keempat pada kadar 1.3% (perlombongan) dan 4.3% (pertanian). Akibatnya, pertumbuhan tahunan yang sangat rendah pada kadar 0.2% (perlombongan) dan 1.7% (pertanian) adalah satu lagi petanda bahawa ekonomi kita semakin malap. Pandangan ini diperkuatkan lagi oleh angka-angka beberapa indeks yang digunakan untuk menilai sentimen masyarakat niagawan dan orang ramai mengenai hala tuju ekonomi negara. Indeks Suasana Perniagaan yang diterbitkan oleh Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) hilang 5.4 mata dalam suku keempat 2010 untuk jatuh ke paras bawah 100 mata buat kali pertama dalam tempoh dua tahun. Malah, keyakinan masyarakat niagawan ke atas prospek ekonomi seperti yang dilambangkan oleh indeks ini menunjukkan penurunan sejak awal 2010 lagi. Bagi sentimen keyakinan orang ramai pula, walaupun Indeks Sentimen Pengguna menokok ke paras 117.2 mata dalam suku keempat, paras itu masih belum setanding dengan paras keyakinan tahun 2007 sebelum kerajaan menaikkan harga minyak secara mendadak dalam tahun 2008. YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak sepatutnya lebih ikhlas dan mengakui bahawa ada jurang yang besar di antara pengumuman projek-projek mega yang dibuat dibawah ETP dan realiti ekonomi yang ditanggung masyarakat niagawan dan orang ramai. Ramai di kalangan rakyat Malaysia yang masih ragu-ragu bahawa siri pengumuman projek itu hanyalah wayang yang akhirnya akan menguntungkan golongan pemerintah dan niagawan elit tanpa menyelesaikan masalah pokok dan struktur ekonomi negara. Pengurusan fiskal dan kewangan negara juga menunjukkan perbezaan yang besar di antara Malaysia dan jiran kita, terutamanya Indonesia. Tidak seperti Malaysia, Indonesia berjaya mengelak dari kemelesetan ekonomi tahun 2009 dan terus mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 6.1% dalam tahun 2010, menjadikannya salah sebuah ekonomi paling mampan di antara 20 negara terkaya di dunia. Laporan United Nations Global Investment Trend Monitor (diterbitkan oleh UNCTAD pada 17 Januari 2011) mencatatkan aliran masuk pelaburan asing (FDI) sebanyak USD12.8 bilion bagi tahun 2010; yang kedua tertinggi di rantau ini selepas Singapura. Pelaburan baru menyumbang sebanyak 32.2% kepada ekonomi Indonesia sementara perbelanjaan kerajaan menyumbang hanyalah 9.1% kepada pertumbuhan ekonomi. Keseluruhan pencapaian ini berasaskan perbelanjaan kerajaan yang berhemah dan tidak berlebihan. Angka defisit fiskal dan hutang kerajaan hanyalah masing-masing 1.1% dan 28.3% berbanding KDNK bagi tahun 2010. Keadaannya sangat berbeza di Malaysia. Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan telah mencecah RM407 bilion menjelang akhir 2010, bersamaan 53.1% berbanding saiz KDNK negara. Kegagalan merancakkan pelaburan swasta menyebabkan kerajaan terlalu bergantung kepada projek-projek mega dan perbelanjaan kerajaan untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi, sehinggakan defisit fiskal menjadi salah satu masalah utama ekonomi negara. Defisit fiskal negara memuncak pada aras 7% dalam tahun 2009 dan hanya menurun kepada 5.6% tahun lalu, sedangkan sasaran kerajaan yang diumumkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 adalah 5.3% bagi tahun 2010. Malaysia hanya berjaya menarik aliran masuk pelaburan asing (FDI) sebanyak USD7 bilion dalam tahun 2010, jauh ditinggalkan Singapura yang mendapat sejumlah USD37.4 bilion aliran masuk pelaburan asing. Berdasarkan angka-angka dan perbandingan ini, jelas bahawa pertumbuhan 7.2% hanyalah satu lagi bukti bahawa ekonomi kita semakin terkebelakang berbanding dengan negara jiran. Daya saing Malaysia di pasaran antarabangsa semakin merudum dan kedudukan fiskal serta kewangan negara lebih buruk berbanding negara-negara jiran. Rakyat tidak akan terkeliru dengan pelbagai kempen dan janji manis yang dibuat kerajaan dan akan terus menuntut reformasi ekonomi agar prospek ekonomi yang malap ini dapat diubah. Reformasi ekonomi hanya akan berkesan sekiranya didokong oleh reformasi politik yang ikhlas. Malangnya, Kerajaan Persekutuan yang ada telah dibuktikan berkali-kali tiada keikhlasan dalam melaksanakan reformasi politik. Makanya, sebarang dasar ekonomi yang diperkenalkan sebagai reaksi politik tidak akan berjaya menyelesaikan masalah kemalapan ekonomi Malaysia. DATUK SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
19 FEBRUARI 2011
EKONOMI KITA BAGUS?? PATUT NAJIB TAK MAHU DEBAT..
Pertumbuhan Ekonomi 2010, Malaysia Terus Terkebelakang Berbanding Jiran : Anwar Ibrahim
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment