Zambry buat boleh.. Guan Eng buat tak boleh?

Tahun 2009 dulu, bila Zambry tubuhkan portfolio ini, ianya tidak menjadi hal buat Lidah Rasmi UMNO, tapi kini bila ianya ditubuhkan pula oleh Guan Eng berbagai kritikan dilemparkan kepada Guan Eng..

Portfolio khas: Kenapa serang Pulau Pinang tidak Perak, soal Guan Eng

SHAH ALAM, 19 Feb — Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan Utusan Malaysia secara terus-menerus menyerang pentadbiran negeri itu ekoran keputusannya mengadakan portfolio bagi hal ehwal agama-agama bukan Islam.

Jelas Lim, portfolio itu bukan perkara baru memandangkan kerajaan negeri Perak pimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut mewujudkannya untuk menguruskan hal ehwal agama bukan Islam.

“Apabila saya buat portfolio, saya dihentam dengan begitu teruk… buat tak boleh, tak buat pun tak boleh.

“Portfolio ini bukan perkara baru kerana ia pernah dibuat oleh pemimpin Umno, Menteri Besar Perak yang tidak mendapat mandat rakyat,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan PAS di sini hari ini.

Kata Setiausaha Agung DAP ini, Zambry telah pun mewujudkan portfolio yang sama pada 2009 selepas merampas negeri Perak daripada Pakatan Rakyat.

“Menteri Besar Perak dulu yang tubuhkan portfolio bukan Islam pada 2009, kenapa tak serang, tak hentam? Kerana beliau pemimpin Umno.

“Bila beliau tubuhkan tidak jadi isu, bila kita buat jadi isu pula,” katanya.

Portfolio di bawah kerajaan negeri Perak itu diletakkan dalam Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam yang dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang Datuk Dr Mah Hang Soon.

Semenjak Lim mengumumkan untuk mewujudkan portfolio itu, Utusan Malaysia terus menyerang tindakan tersebut.- The Malaysian Insider

Baca apa kata Lidah Rasmi UMNO..

Awasi agenda tersirat DAP tubuh portfolio hal-ehwal bukan Islam

PERUBAHAN demi perubahan dibuat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP. Selepas tidak mempedulikan rayuan peniaga-peniaga Melayu yang premis perniagaan mereka dirobohkan, kini Ketua Menterinya Lim Guan Eng mengumumkan penubuhan portfolio baru untuk hal-ehwal bukan Islam semalam.

Portfolio tersebut akan dipengerusikan oleh ketua menteri sendiri. Bermakna Guan Eng yang menjadi Exconya, manakala Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P Ramasamy dilantik timbalan pengerusi portfolio tersebut. Cadangan penubuhannya telah dibawa oleh Dr. Ramasamy dalam mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri dan diluluskan minggu lalu.

Pengumuman itu pula diumumkan semalam iaitu selepas sehari umat Islam menyambut Maulidur Rasul.

Bagi Guan Eng, penubuhan portfolio tersebut sebagai tanda sambutan Minggu Harmoni Antara Agama Dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini.

Katanya lagi, ia mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap mempromosi keharmonian dan kefahaman antara agama.

Portfolio baru itu akan bertanggungjawab ke atas perkara-perkara membabitkan agama-agama Buddha, Taoisme, Kristian, Sikh dan Hindu.

Pada teorinya nampak ‘cantik’ tetapi dari sudut pelaksanaannya mungkin terdapat banyak tanda tanya! Mungkin ada agenda tersirat daripada apa yang tersurat.

Adakah ia benar-benar dapat menjadi sebagai satu pendekatan keharmonian di kalangan masyarakat berbilang agama, bangsa dan budaya di negeri ini?

Atau ia sebagai alat yang boleh disalah guna untuk menggugat kedudukan agama rasmi negara kita iaitu Islam.

Langkah ini boleh menimbulkan kontroversi sebagai mana yang berlaku tentangan umat Islam terhadap Suruhanjaya Antara Agama beberapa tahun lalu.

Jelas kini, DAP yang baru mempunyai kuasa peringkat negeri sudah menunjukkan belang. Bayangkan jika ia dapat berkuasa memerintah Malaysia. Kita amat bimbang dengan status agama Islam negara ini pada masa depan.

Mungkin bagi masyarakat bukan Islam, mereka menyambut gembira penubuhan portfolio itu. Tetapi umat Islam akan mulai rasa bimbang akan wujud pelbagai tuntutan di kalangan penganut agama lain.

Hal-hal berkaitan dengan pertukaran agama, penyebaran agama, penggunaan istilah agama, pembinaan rumah ibadat dan isu tanah perkuburan mungkin dibincangkan oleh jawatankuasa portfolio itu.

Kepada pemimpin dan umat Islam di Pulau Pinang tanpa mengira fahaman politik mereka, berhati-hatilah dengan taktik halus lagi licik pemimpin tertentu untuk meminggirkan Islam sebagai agama rasmi serta membelakangkan Majlis Raja-Raja.

Dasar dan langkah-langkah yang boleh dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk meletakkan Islam setaraf dengan agama lain wajar dielakkan.

Ketua Menteri Pulau Pinang menimbulkan satu lagi kontroversi. Oleh itu Guan Eng kena bersedia menerima reaksi negatif daripada masyarakat Islam bukan sahaja di negeri itu tetapi seluruh Malaysia sebagai tanda protes terhadap penubuhan portfolio itu.

Nampaknya Guan Eng tidak jemu-jemu cuba menambat hati penyokongnya daripada bukan Islam tetapi pada masa yang sama terus menyakiti hati umat Islam di negeri itu.

Lidah Rasmi UMNO

Artikel ini dipetik oleh pelawat TukarTiub dari website Go to Source

No comments: