Pages

Pilih Perdana Menteri Mengikut Perlembagaan

Oleh Aspan Alias
‘Semakin hari semakin lemah’. Begitulah pandangan orang ramai terhadap kepimpinan hari ini. Kalau dahulu kta beranggapan yang Abdullah Badawi merupakan Perdana Menteri yang paling lemah, tetapi rupa-rupanya pandangan itu samasekali meleset. Dengan keadaan sebegini jika pimpinan masih mengambil pengganti dengan cara konvensyen iaitu siapa sahaja yang menjadi Presiden UMNO dialah yang akan menjadi Perdana Menteri.

Pemilihan Perdana Menteri secara konvensyen ini menyumbang banyak masalah kepada negara kerana pimpinan UMNO akhir-akhir ini sudah tidak mampu lagi untuk mengekalkan kredibiliti sebagai parti yang unggul untuk dijadikan sebagai badan siasah yang mampu menjadi tunjang kepada pemerintahan negara.
Bagi saya kita perlu memilih Perdana Menteri mengikut peruntukan dalam Perlembagaan negara, iaitu Perdana Menteri dipilih di kalangan ahli-ahli Parlimen yang mendapat kepercayaan di dalam Dewan Parlimen itu. Dengan cara ini maka risiko rakyat mendapat pemimpin yang tidak bertanggungjawab akan berkurangan.

Jika pucuk pimpinan UMNO itu dipegang oleh seorang pemimpin yang terlalu di ragui oleh rakyat maka negara akan menjadi kacau bilau politiknya. Keadaan sekarang sudah berlainan. Dulu UMNO dipimpin oleh mereka yang mengutamakan negara tetapi sekarang UMNO di pimpin oleh mereka yang mahu jadi ketua kepada negara walaupun tidak berkepimpinan. Seorang ketua tidak semestinya mempunyai kepimpinan.

UMNO sudah tidak mungkin mampu untuk memilih kepimpinan yang betul kerana sistem pemilihan secara delegasi itu masih diamalkan. Dengan bercambahnya kegiatan rasuah politik sekarang ini maka, hanya mereka yang berkuasa dan mempunyai kewangan yang besar sahaja yang akan menjadi pemimpin. Pendeknya UMNO tidak lagi mampu untuk mempersembahkan kepada rakyat pimpinan yang benar-benar berkepimpinan.

Mereka yang jujur dan berkepimpinan yang sepatutnya di persembahkan kepada rakyat. Pemimpin-pemimpin yang berkepimpinan hanya duduk di tepian dan inilah masalah yang paling rumit dan sukar untuk di perbaiki. Yang hendak kita selamatkan ialah negara yang mempunyai penduduk yang berbilang kaum ini.
Bagi pandangan yang bertanggungjawab pemilihan Perdana Menteri melalui pemilihan di Dewan Parlimen itu lah yang paling sesuai untuk masa dan generasi sekarang. Hanya yang perlu di lakukan ialah untuk memilih di kalangan ahli Parlimen Melayu yang beragama Islam untuk di tonjolkan dan dan disokong oleh Dewan Rakyat itu, tidak kira dari parti apa sekali pun.

Pandangan ini jangan di anggap sebagai pandangan di luar kotak. Ianya ada termaktub di dalam perlembagaan negara. Tidak ada parti dalam negara ini samada di dalam BN atau pembangkang yang menolak kenyataan yang negara ini mesti di pimpin oleh seorang Melayu tetapi Melayu itu biarlah Melayu yang berwibawa dan di hormati serta diterima oleh semua kaum dan pihak. PAS mengakui yang pimpinan negara kita mesti di kalangan Melayu dan beragama Islam. DAP pun begitu. DAP tidak mahu mencuba untuk mengambil tempat Perdana Menteri atau Menteri-Menteri Besar kecuali di dua buah negeri-negeri ‘Straits Settlement’ iaitu Pulau Pinang dan Melaka.

DAP mengakui serta menerima yang negeri-negeri bersekutu dan tidak bersekutu mesti diketuai oleh seorang Ketua Eksekutif Melayu yang beragama Islam. Ini jelas tetapi pihak yang memerintah tidak mahu memberikan gambaran yang sebenarnya ini kerana permainan politik untuk mengelirukan pandangan ramai terhadap isu ini.

Cara konvensyen ini hanya boleh di teruskan jika UMNO berjaya mencari seorang pemimpin yang dihormati ramai. Memenangi kerusi Presiden UMNO itu hanya merupakan pilihan ahli-ahli UMNO tetapi dia bukan pilihan orang ramai. Sebenarnya pemilihan itu bukannya pemilihan ahli-ahli UMNO yang ramai pada hakikatnya tetapi hanya pemilihan dari delegasi seramai 3 ribu orang sahaja.

Masakan pilihan 3 ribu manusia Melayu yang menjadi delegasi dalam pemilihan itu merupakan satu representasi bagi 29 juta rakyat negara?

Yang 3 ribu orang itu pun selalunya dikongkong oleh permainan politik wang dan kuasa yang sangat merbahaya kepada masa depan politik dan kesetabilan negara. Ramai di antara delegasi itu memilih pada siapa yang membayar mereka. Itu sebabnya ramai di antara perwakilan itu boleh membeli kereta baru dan menyelesaikan masalah hutang rumah dan sebagainya.

Mahu tidak mahu kita wajar mengakui yang UMNO tidak memilih pemimpin yang berkemampuan tetapi yang memilih pada siapa yang paling berkuasa dan mempunyai wang yang banyak dan bertimbun. Selagi isu ini tidak dibereskan selagi itulah negara tidak akan dapat pemimpin yang sebenarnya.

Kita terpaksa memilih seorang Perdana Menteri ‘beyond the domain of political parties’. Kita perlukan pembaharuan yang drastik semata-mata untuk menjaga keselamatan dan keluhuran sebuah negara yang berdaulat seperti negara kita.

Apabila kita orang Melayu gagal untuk mencari kepimpinan ianya merupakan satu kegagalan yang sengaja di cari-cari oleh kita semua kerana kita tunduk kepada wang dan kuasa yang telah memecahkan rakyat dan negara kita ini.

Isu rasis yang subur di mainkan pada hari ini akhirnya akan berkesudahan juga. Parti-parti yang memainkan isu rasis ini secara deras akan di tolak rakyat terutamanya di kalangan rakyat yang ramai kerana ianya hanya membebankan kepada siapa yang mahu hidup dalam sebuah negara dengan aman, setidak-tidaknya dengan jiran dan tetangga kita.

Orang Melayu masih di berikan segala-galanya termasuk untuk menjadi tunjang kepimpinan negara tetapi tidak semestinya melalui UMNO yang kian hari kian merana dalam kebathilannya sendiri. UMNO mungkin wajar bersifat defensive tetapi orang Melayu tidak sekali-kali. Orang Melayu perlu berada dimana-mana.

Mereka wajar berada di dalam PAS dan juga DAP atau pun PKR. Yang tidak bersetuju elok berada di dalam UMNO dan jangan mencerca di antara satu dengan lain. cerca-mencerca yang dilakukan oleh penyokong UMNO telah menjauhkan UMNO dari hati rakyat yang inginkan kesetabilan politik yang meyakinkan.
Orang Melayu tidak mungkin dapat menyertai MCA kerana MCA hanya untuk orang Cina yang kesempitan pemikiran, Begitu juga MIC hanya untuk orang India.

Kita wajar sedar yang parti-parti rasis ini akan tamat riwayatnya kerana rakyat sudah berubah nilai dan budaya politik mereka. Rakyat sudah jemu dengan politiking perkauman yang tidak dapat dikawal oleh parti-parti rasis masing-masing.

No comments:

Post a Comment