Pages

‘Boleh ambil SPM tanpa Interlok’

September 2, 2011

Bekas panel meminda novel itu mendedahkan tindakan itu selaras pekeliling Ketua Pengarah Pelajaran.

PETALING JAYA: Dalam perkembangan terbaru kontroversi novel Interlok Edisi Murid, Uthaya Sankar SB yang pernah menganggotai panel meminda teks itu berkata, tidak menjadi masalah jika novel berkenaan tidak digunakan langsung oleh calon SPM tahun ini.

Katanya, kenyataan media oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Januari lalu menyebut bahawa “novel Interlok (edisi murid) hanya akan digunakan setelah pindaan disiapkan dan diedar ke sekolah-sekolah”.

“Walau bagaimanapun, sama ada Interlok Edisi Murid digunakan atau tidak digunakan sebagai teks Komsas tahun ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetap wajib memberi royalti kepada Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain bagi naskhah yang dicetak pada 2010,” kata Uthaya dalam kenyataan yang disiarkan di blognya.

Calon SPM tahun ini bakal menduduki peperiksaan kertas Bahasa Malaysia pada 14 November ini.

Menurut Uthaya, pada Jun lalu, muncul usaha menggunakan “pelekat ajaib” (gambar bawah) bagi meminda novel berkenaan.

“Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menentang sekeras-kerasnya tindakan itu kerana ia bertentangan keputusan dicapai dan diumumkan di Dewan Rakyat pada 24 Mac lalu,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi dipetik Bernama Online berkata bahawa “kementerian buat keputusan hari ini, untuk mencetak semula.”

Terdahulu, akhbar Utusan Malaysia pada 22 Jun melaporkan bahawa “pada 28 Mac lalu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan mencetak semula novel itu walaupun pindaan dibuat.”

Tidak menjadi kesalahan

Dalam mempertahankan pandangannya, Uthaya berkata, novel Interlok Edisi Murid yang dimurnikan sepenuhnya dan dicetak semula seperti dijanjikan belum lagi dihantar ke sekolah-sekolah di Zon 2 (Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya).

“Maka, ada alasan kukuh untuk menangguhkan penggunaan edisi baru novel itu sehingga tahun 2012 dan cadangan ini tidak bertentangan kandungan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2009 bertarikh 25 November 2009 daripada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia kepada semua Pengarah Pelajaran di Jabatan Pelajaran Negeri,” kata pengarang prolifik itu.

Menurut Uthaya, pekeliling berkenaan dengan jelas menyebut bahawa “Pengagihan novel adalah mengikut zon. Walau bagaimanapun, kelonggaran diberi kepada pihak sekolah untuk memilih judul novel yang bersesuaian bagi murid sekolah berkenaan.”

“Maka, tidak menjadi kesalahan atau dosa sekiranya sekolah-sekolah di Zon 2 tidak menggunakan novel Interlok Edisi Murid cetakan 2010 bagi tujuan peperiksaan SPM tahun ini.

“Kavyan yakin bahawa guru-guru di Zon 2 mempunyai kepakaran, semangat, kebolehan dan ilmu untuk membantu pelajar Tingkatan Lima meneliti novel Kembara Amira (Zon 1), Sutera Dalam Lukisan (Zon 3) atau Kabus Di Perbukitan (Zon 4) sebelum 14 November ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment