Pages

SSABM mahu saman kerajaan salah ajar sejarah

Jamilah Kamarudin | September 22, 2011

Tuntutan saman akan diambil jika kerajaan melalui MPN masih berdegil enggan menarik balik dakwaan bahawa negara ini tidak pernah dijajah.

KUALA LUMPUR: Suara Solidariti Anak Bangsa Malaysia (SSABM) tidak teragak-agak untuk mengemukakan tuntutan saman terhadap kerajaan kerana selama ini telah mendidik rakyat secara salah tentang sejarah pembentukan Malaysia pasca merdeka.

Jurucakap SSABM Aiman Athirah Al Jundi berkata, tindakan itu akan diambil jika kerajaan melalui Majlis Profesor Negara (MPN) masih berdegil enggan menarik balik dakwaan bahawa negara ini tidak pernah dijajah.

“Kenyataan ini seolah-olah mencerminkan kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pendidikan Tinggi sejak dulu hingga kini telah melakukan pengkhianatan, pembohongan dan salah didik kepada pelajar dalam subjek Sejarah kerana kita semua telah diajar selama ini bahawa negara kita telah mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah British.

“Rakyat seolah-olah ditipu selama 54 tahun apabila menyambut Hari Kebangsaan setiap tahun sebagai ulang tahun kemerdekaan negara dari cengkaman penjajahan British,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS pagi tadi.

Katanya, pendirian MPN juga dilihat sebagai satu penghinaan besar terhadap Raja-Raja Melayu yang digambarkan seolah-olah merestui British serta tidak berbuat apa-apa bagi menghalang kemasukan penjajah ke Tanah Melayu.

Justeru, beliau menuntut agar Pengerusi MPN Profesor Emiritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid serta Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya MPN Prof Datuk Dr Zainal Kling disiasat dan didakwa dibawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kegusaran, kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam.

“Kami percaya terdapat agenda tersembunyi yang dirancang pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka sendiri.

“Kami risau para akademik telah ditekan dan digunakan oleh pihak politik tertentu demi menjustifikasikan penterjemahan sejarah yang menyokong pendirian politik mereka, maka sebab itu fakta sejarah diputarbelitkan,” katanya.

‘Dr Zainal bersikap hipokrit’

Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Rozan Azen Mat Rasip berkata Dr Zainal bersikap hipokrit kerana beliau sebelum ini pernah mengaku Tanah Melayu pernah dijajah melalui hasil kertas kerja yang pernah dibentangnya pada tahun 2003.

Pembentangan kertas kerja hasil kajian Dr Zainal bertajuk “Minda Melayu; satu tafsiran” ada menyebut perkataan ‘kolonial’ dan ‘kemerdekaan’ yang merujuk kepada tanda-tanda penjajahan ke atas Tanah Melayu.

“Dr Zainal telah melakukan kesalahan jenayah akademik yang serius,” katanya yang kemudiannya membuat laporan polis terhadap Zainal dan Zakri di Balai Polis Chow Kit selepas selesai sidang media.

Turut hadir dalam sidang media itu Bendahari Kehormat Parti Sosialis Malaysia (PSM) A Sivarajan, Setiausaha Pentadbiran Pergerakan Demokrasi Pelajar dan Pemuda Malaysia (Dema) Wong Swee Nee dan wakil Solidariti Wanita Muda Malaysia Nor Hafizah Basaruddin.

No comments:

Post a Comment