Pages

Kehidupan estet yang “hilang” itu merupakan “nostalgia silam” atau“syurga impian” bagi masyarakat India yang tinggal di ladang getah dan kelapa sawit

Estet yang hilang ...

October 03, 2011

3 OKT — Walaupun Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berusaha secara berterusan ke arah memartabatkan Bahasa Malaysia, karya-karya bahasa lain tidak pula dipinggirkan.

Malah, para Sasterawan Kavyan (penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia) juga terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam arena penulisan Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris.

Apabila bercakap mengenai karya kreatif Bahasa Tamil, tema yang sering diperkatakan adalah berkaitan kehidupan di estet dan ladang. Perkara ini memang saya perhatikan sewaktu membuat kajian untuk sebuah artikel bagi akhbar New Straits Times pada 11 Februari 2004.

Saya sering merujuk buku “Cerpen Tamil dan Melayu (1957-1970): Perbandingan Tema dan Struktur” tulisan Dr Krishanan Maniam dan “Malaysian Tamil Novels After Independence” oleh Dr Sababathy Venugopal untuk maklumat berkaitan.

Gopalan dan Balamurugan mengangkat kisah masyarakat India di estet.
Sebagai individu yang kurang mahir membaca tulisan Tamil, saya bergantung pada rancangan sastera dan cerpen Tamil di radio untuk memastikan saya tetap tidak ketinggalan mengikuti perkembangan sastera Tamil di Malaysia.

Bagi maklumat puisi Tamil sejak lebih 2,000 tahun lalu, saya membaca buku “A Tapestry of Tamil Poetry” tulisan Dr S.M. Ponniah. Cerpen-cerpen Kalki, sasterawan Tamil terkenal dari Tamil Nadu, saya baca menerusi antologi “Kalki: Selected Stories” yang diterjemahkan cucunya.

Bagi cerpen-cerpen Bengali karya Satyajit Ray, saya membaca “Indigo” sementara novel “Kallo Kaviyamo” karya Mu. Varatharasan boleh dibaca dalam versi Bahasa Malaysia dengan judul “Berakhirnya Balada Cinta”. (Namun, terjemahan itu sudah “membunuh” kehebatan karya Mu. Varatharasan.)

Saya juga suka menikmati tema dan latar budaya India yang disajikan dalam karya-karya Bahasa Inggeris oleh R.K. Narayan. Koleksi lengkap semua karya beliau saya miliki menerusi “The World of Malgudi”, “A Town Called Malgudi”, “The Magic of Malgudi” dan “Memories of Malgudi”.

Bagi karya-karya Tamil tempatan pula, tidak banyak yang diterjemahkan. Satu-satunya antologi memuatkan cerpen-cerpen Tamil yang diterjemahkan ke Bahasa Malaysia adalah “Seruling di Persimpangan” selenggaraan M. Balachandran.

Balachandran juga menulis novel Bahasa Malaysia berjudul “Alpa” dan kisahnya berkisar kehidupan di sebuah estet di Kedah dan cabaran yang dihadapi penduduk di sana.

Semasa meluangkan masa bersama-sama mendiang Re. Shanmugam pada awal 2007, saya mendengar daripada beliau mengenai tema-tema yang sering menjadi pilihan beliau dalam cerpen, sajak dan novel.

Terkini, saya sedang membaca “But My House Was Here and Other Stories” karya Gopalan Sellan. Lima daripada 14 cerpen dalam koleksi ini ditulis dalam Bahasa Inggeris manakala 9 lagi diterjemah oleh penulis sendiri dari Bahasa Tamil.

Gopalan mempunyai pengalaman bekerja di ladang getah dan kelapa sawit selama 38 tahun. Penulis ini lahir di Estet Labu, Negeri Sembilan pada 1950 dan ibu bapanya adalah penoreh getah.

Bahasa bukan penghalang untuk mengenali budaya kaum India.
Cerpen sulungnya tersiar di akhbar Tamil Murasu pada 13 Februari 1966. Beliau sudah menerbitkan dua kumpulan cerpen Bahasa Tamil, iaitu “Inippu Manjal” (2001) dan “Aththarum Pugai Vaasamum” (2003).

Kebanyakan cerpen dalam “But My House Was Here and Other Stories” menggunakan latar di estet atau berkisar individu yang pernah tinggal di estet. Pelbagai masalah, konflik dan dilema yang dihadapi beberapa generasi penduduk estet dipaparkan secara terperinci menerusi cerpen-cerpen ini.

Cerpen yang paling meninggalkan kesan, bagi saya, adalah “But My House Was Here” yang mengisahkan seorang wanita tua bernama Senjiammah yang sering kelihatan di tepi jalan dan mahu mencari rumahnya di Estet Parangsa.

Mungkinkah estet itu merujuk pada Estet Perang Besar yang kemudian dibangunkan menjadi Pusat Pentadbiran Persekutuan dan dilancarkan pada 29 Ogos 1995 serta diberi nama Putrajaya?

Watak bernama Parthiban dalam cerpen itu menceritakan kepada watak Shamini bahawa “sejak 10 hingga 15 tahun lalu, sejumlah besar ladang di Puchong, Dengkil, Nilai dan Banting dijual kepada pemaju. Ribuan pokok getah dan kelapa sawit dimusnahkan. Ribuan pekerja ladang dibuang kerja dan diarah berpindah.”

Lalu diceritakan juga: “Mereka ini tidak ada rumah atau tanah. Estet itulah rumah, kampung dan masyarakat mereka. Apabila mereka yang sudah dua generasi tinggal di estet tiba-tiba diarah keluar, apakah nasib mereka?”

Walaupun saya tidak pernah merasai kehidupan di estet, kisah-kisah dalam buku ini mengingatkan saya pada kajian sosial dan masyarakat India yang dibuat semasa di Universiti Malaya, hampir 17 tahun lalu.

Kavyan juga sering mengadakan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya bersama penduduk lima estet sekitar Perang Besar yang kini ditempatkan di Taman Permata, Dengkil.

Apa yang pasti, dilema, masalah dan konflik yang dipaparkan menerusi cerpen-cerpen ini adalah berdasarkan fakta yang dibaurkan dengan sedikit imaginasi. Tambahan pula, Gopalan melalui sendiri pengalaman hidup di estet.

Seorang pengarang muda yang turut mengangkat kisah konflik dan dilemma penduduk estet yang terpaksa berpindah ialah Balamurugan Kesavan, seorang guru di SJKT Ladang Harvard Bahagian 3, Bedong, Kedah.

Novelnya, “Nagarnthu Kondirukkum Vaasalgal” (Pintu yang Bergerak), menerima Anugerah Karikaalan Chozhan daripada Universiti Tamil (Tamil Nadu, India) bagi novel Bahasa Tamil Terbaik Rantau Asia Tenggara 2010.

Balamurugan turut menang Anugerah Bakat Muda Selangor bagi kategori cerpen/novel Bahasa Tamil pada 17 September lalu menerusi novel berkenaan.

Novel setebal 250 halaman itu juga menjadi johan Pertandingan Novel Tamil anjuran Persatuan Penulis Tamil Malaysia dan Astro tahun lalu.

Pemuda berumur 29 tahun ini lahir di Sungai Petani dan beliau menyentuh isu berkaitan penghijrahan penduduk estet ke pekan menerusi novel “Nagarnthu Kondirukkum Vaasalgal”.

“Saya menulis mengenai senario perpecahan keluarga yang banyak berlaku dalam kalangan kaum India apabila generasi muda berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan,” kata Balamurugan yang juga setiausaha Persatuan Penulis-penulis Tamil Kedah.

Beliau memberitahu saya bahawa berikutan kemasukan pekerja dari Thailand, Indonesia dan Bangladesh sejak awal 1980-an, ramai pekerja estet hilang sumber pendapatan dan terpaksa berhutang bagi menampung kos menyara keluarga.

Balamurugan Kesavan.
“Akibat hutang, ada yang terpaksa melarikan diri dari ladang. Novel saya menceritakan mengenai sebuah keluarga yang lari dari ladang akibat beban hutang. Di pekan pula, berlaku pelbagai krisis lain yang benar-benar menguji kehidupan seharian dan masa depan anggota keluarga itu,” katanya semasa kami bertemu pada jamuan juri dan pemenang Anugerah Bakat Muda Selangor di Petaling Jaya pada 26 September lalu.

Ternyata kehidupan di estet serta pelbagai cabaran yang hadir bersama-samanya masih menjadi isu penting dalam kalangan kaum India di negara ini. Hal ini juga terpancar menerusi karya-karya Bahasa Tamil yang dihasilkan dari dahulu hingga kini.

Tidak dapat tidak, karya Gopalan dan Balamurugan mengingatkan saya kepada persoalan mobiliti sosial dan suatu isu yang hangat dibahaskan enam bulan lalu.

Pada 6 Mac 2011, Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dilaporkan menasihatkan belia kaum India yang berhijrah ke pekan dan bandar supaya kembali bekerja di estet jika masih dibelenggu masalah kemiskinan dan pengangguran.

Cadangan itu juga berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa upah pekerja ladang dinaikkan daripada RM300 kepada RM700 sebulan.

Apa yang dinyatakan oleh Presiden MIC dan dilaporkan di media mengingatkan saya pada suasana masa lalu di estet dan ladang seperti yang digambarkan menerusi cerpen dan novel Tamil tempatan: rumah percuma, sekolah Tamil, kos hidup yang rendah, perpaduan dalam komuniti, kuil, keamanan, keselamatan, persefahaman dan tiada masalah besar.

Lalu saya tertanya-tanya: Adakah kehidupan estet yang “hilang” itu merupakan “nostalgia silam” atau sebenarnya “syurga impian” bagi sebahagian masyarakat India yang pernah tinggal di ladang getah dan kelapa sawit?

Benarkah seperti dikatakan dalam cerpen “But My House Was Here” karya Gopalan: “Estet itulah rumah, kampung dan masyarakat mereka.”

No comments:

Post a Comment