Pages

'Tolak negara Islam tak sama dengan tolak Islam’

K Pragalath | November 25, 2011

Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan bahawa Islam menyambut baik kepelbagaian dalam pandangan seperti mana yang terserlah di dalam hukum dan tafsiran.

PETALING JAYA: Penolakan negara Islam tidak bermakna seseorang itu menolak Islam.

Dalam konteks politik Malaysia, PAS mahu menubuhkan negara Islam. Usaha yang dijalankan, antara lain adalah menerusi pengenalan sistem hudud di negeri Kelantan tetapi ditentang oleh golongan liberal Muslim.

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin di dalam blognya menulis bahawa tokoh-tokoh gerakan Islam seringkali menafsir nas-nas politik dalam Islam secara literal menyebabkan golongan Muslim lain menentang negara Islam.

“Disebabkan kecenderungan memilih ‘jalur keras’ dan literal dalam memahami nas-nas politik dalam Islam, maka ada tokoh-tokoh gerakan Islam menampilkan pandangan-pandangan yang dianggap terkeluar dari kerangka politik hari ini.

“Ini menyebabkan generasi baru, sekali pun bertudung dan bernasyid, belum tentu bersetuju dengan Negara Islam model tersebut.

Menolak Negara Islam yang ditafsirkan oleh sesuatu pihak, bukan semestinya menolak Islam,” tegas beliau.

Beliau turut menjelaskan apa yang disifatkan sebagai penolakan Islam iaitu nas yang jelas dari al-Quran.

“Nas yang tidak mungkin mempunyai lebih dari satu tafsiran seperti haramnya arak, judi, zina, homoseks, riba, rasuah, pecah amanah, bunuh dan seumpamanya.

Tafsiran ulama

“Adapun nas yang terdedah kepada pelbagai tafsiran, jika seseorang menolak salah satu tafsiran ulama, bukanlah bererti menolak Islam.

Beliau menambah bahawa Islam menyambut kepelbagaian dalam tafsiran dan hukum seperti yang diutarakan dalam mazhab-mazhab Islam.

“Hal ini hendaklah difahami. Jika tidak, semua Muslim akan terdiri dari kalangan yang menolak Islam. Ini kerana dalam ribuan hukum, yang mempunyai ribuan tafsiran, setiap orang akan memilih tafsiran tertentu. Mereka yang bermazhab Shafie, secara tidak langsung menolak pandangan mazhab-mazhab yang lain. Begitulah sebaliknya.

Tokoh agama tersebut turut menyalahkan pihak-pihak yang menggambarkan negara Islam sebagai negara pengamal hukum hudud tanpa menggambarkan wajah Islam yang lebih luas.

“Wajah Negara Islam itu mengelirukan banyak pihak, apatahlagi apabila ada yang cuba menggambarkannya sebagai negara hukum yang memotong tangan, merejam wanita, memancung kepala, mengharamkan itu dan ini, mengharamkan media, mengharamkan internet, mengharamkan pendapat yang tidak sama dengan kerajaan dan ‘mazhab’ kerajaan dan seterusnya.

“Tanpa terlebih dahulu menggambarkan wajah rahmat Islam yang lebih luas yang mengatasi segala unsur hukuman yang bersifat terpencil itu.

“Tuhan dalam sesetengah gambaran pejuang ‘Islamic State’ adalah Tuhan yang penuh bengis dan garang. Sedangkan Tuhan yang dikenali oleh Muslim adalah Tuhan yang memberi rahmat.”

No comments:

Post a Comment