Pages

Pakatan kerah kempen bebas Anwar 901

Fazy Sahir | December 27, 2011

"Dalam kempen ini kita mengajak rakyat untuk menunjukkan solidariti di mahkamah pada 9 Januari jam 7 pagi," kata Shamsul Iskandar.

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat mula menggerakkan kempen dikenali sebagai ‘Tolak fitnah lawan konspirasi, bebas Anwar 901′ di seluruh negara untuk mengajak rakyat hadir beramai-ramai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari, bagi menyatakan sokongan terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jurucakap kempen Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kempen bermula 18 Disember lalu dengan melibatkan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta pemuda Pakatan.

Menurut Shamsul kempen bermula di alam maya (twitter dan facebook) serta pihak Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencetak 500,000 risalah kempen yang mengandungi kronologi kes dan kepincangan yang berlaku sepanjang perbicaraan berlangsung.

Pada 9 Januari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat penghakiman berhubung kes tuduhan liwat membabitkan Anwar dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kes tersebut berlangsung hampir dua tahun ekoran Anwar didakwa meliwat Saiful di Kondominium Desa Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.

Dalam kempen ini kita mengajak rakyat untuk menunjukkan solidariti di mahkamah pada 9 Januari jam 7 pagi nanti. Saya juga menyeru seluruh rakyat tidak kira berada di mana pun tanpa mengira kedudukan mahupun kaum turut dalam kempen tersebut dan hadir memberi sokongan kepada Anwar.

“Kempen kita pelbagai bentuk daripada roadshow, risalah dan melalui media sosial. Ia satu gerakan rakyat yang melibatkan parti politik, NGO yang diketuai oleh PKR,” katanya yang juga Ketua AMK Malaysia.

Sementara itu, pada 31 Disember ini adalah kemuncak bagi kempen berkenaan dengan AMK diseluruh negara akan mengedarkan risalah yang mengandungi kepincangan fakta dan pendakwaan sepanjang kes dijalankan.

Program bersama pemuda Pakatan juga sudah disusun mengikut negeri, malah pertemuan bersama NGO yang terlibat juga selesai.

Namun ujar Shamsul, perkara itu akan dijelaskan dalam sidang media yang akan diadakan dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment