Pages

Pengajaran daripada Interlok

Uthaya Sankar SB | December 26, 2011

Kontroversi novel itu membuktikan kewujudan kuasa rakyat atau The Third Force yang berani menegakkan kebenaran.

Genap setahun sejak Raja Rajeswari Seetha Raman menghubungi saya dan meminta Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) melakukan sesuatu untuk “menghalang” penggunaan novel Interlok Edisi Murid sebagai teks Komsas.

Malah, panggilan telefon daripadanya bermula 20 Disember 2010 memberi pengajaran berguna kepada saya supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan musang berbulu ayam.

Setahun kemudian, pada 21 Disember 2011, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud membuat pengumuman rasmi bahawa novel Interlok Edisi Murid akan digantikan semula dengan novel Konserto Terakhir sebagai teks Komsas.

Maka, saya terpanggil untuk mengimbau sebahagian daripada begitu banyak “pengajaran” yang diterima daripada pengalaman terlibat secara langsung dalam kontroversi Interlok Edisi Murid selama setahun.

Sesungguhnya tidak adil jika saya dan Kavyan tidak merakamkan penghargaan tertinggi kepada Raja Rajeswari (bukan ahli Kavyan) yang mula-mula “mengadu” kepada kami.

Katanya, kandungan novel Interlok Edisi Murid memang menghina kaum India dan agama Hindu, serta tidak sesuai dijadikan teks di sekolah.

Saya juga sedar betapa penting dan perlu menyimpan SMS, e-mel dan rakaman perbualan telefon apabila berkomunikasi dengan orang yang disyaki sanggup menikam dari belakang.

Dokumentasi seperti itu menjadi amat penting apabila ada individu tertentu yang tiba-tiba berubah pendirian 180 darjah mulai 14 Januari 2011 dan mula mengatakan novel Interlok Edisi Murid tidak sedikit pun menghina kaum India dan sangat sesuai dijadikan teks di sekolah.

Kavyan turut menyedari betapa penting menyimpan rekod dan dokumentasi bahan sebagai rujukan. Sebab itulah kami berusaha menulis serta mengumpulkan bahan berkaitan kontroversi ini dan dipaparkan di blog sejak setahun lalu demi manfaat orang ramai.

Kita perlu mengkaji sesuatu perkara secara objektif, teliti dan mendalam sebelum membuka mulut atau membuat sebarang kenyataan; atau menyatakan pendirian.

Kavyan mengkaji novel Interlok dalam versi asal selain membaca edisi pelajar (2005) dan edisi murid (2010) sebelum membuat sebarang kenyataan. Sebab itulah pendirian Kavyan sejak hari pertama (3 Januari 2011) hingga kini tetap sama.

Saya ada bertemu beberapa pihak yang hanya membaca salinan fotokopi halaman 210 dan 211 novel Interlok Edisi Murid, tetapi mahu memulakan kempen besar-besaran mendesak novel itu diharamkan.

Di pihak satu lagi, ada yang membuat pendirian tegas bahawa novel itu tidak boleh diubah walau sepatah perkataan. Apabila saya menjelaskan bahawa edisi murid dan edisi pelajar tidak sama dengan edisi asal, ada beberapa tokoh terkebil-kebil kerana mereka ternyata tidak membaca novel berkenaan sebelum ke medan perang.

Sandiwara

Saya juga sedar bahawa apabila kita berjuang bagi sesuatu yang benar, kita akan dihina, dicaci dan dipulaukan puak tertentu. Sekadar contoh, ada seorang individu yang menggunakan nama ‘Subari Ahmad’ mencadangkan menerusi Facebook supaya saya dikenakan tahanan di bawah ISA kerana bersikap anti-Melayu dan “cuba menggugat ketenteraman rakyat di negara ini”.

Kavyan bersikap objektif dan rasional dalam menangani kontroversi novel Interlok Edisi Murid. Kami mengkaji novel itu dari semua segi dan kami tegaskan sejak awal bahawa Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) selaku pengarang tidak boleh dipersalahkan dalam isu ini.

Ada pihak yang mendesak dan masih menggerakkan usaha meminta novel Interlok (termasuk edisi asal) diharamkan dengan alasan kandungan novel itu bertentangan dengan ajaran agama Islam. Ada juga yang mendesak Pak Lah memohon maaf kepada kaum India.

Kavyan menerima dengan baik keputusan menggantikan Interlok Edisi Murid dengan Konserto Terakhir oleh pengarang sama berikutan kegagalan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memurnikan Interlok Edisi Murid yang dicetak semula dengan kulit biru baru-baru ini.

Saya menghubungi Datin Siti Saroja Basri (isteri Pak Lah) pada 21 Disember 2011 dan memaklumkan bahawa Kavyan akan terus memantau bagi memastikan KPM dan DBP membayar royalti bagi Interlok Kulit Merah (cetakan 2010) dan Interlok Kulit Biru (cetakan 2011) walaupun novel berkenaan ditarik balik selepas dicetak atas persetujuan dan kelulusan MIC yang berpuas hati dengan sekadar sekitar 20 peratus pemurnian.

Sementara ramai yang “unfriend” saya di Facebook sejak setahun lalu, ramai pula yang menambah saya sebagai rakan serta tampil membantu Kavyan secara sukarela dalam usaha memurnikan Interlok Edisi Murid. Kerjasama “silent majority” pelbagai kaum dan pelbagai bidang ini amat dihargai dan disanjung tinggi.

Bercakap mengenai parti politik dan politikus pula, saya amat bangga dan bersyukur kerana Kavyan sentiasa mengekalkan pendirian apolitikal serta tidak bernaung di bawah mana-mana parti politik.

Apa yang berlaku dalam kontroversi novel Interlok Edisi Murid sejak setahun lalu membuktikan bagaimana orang ramai (rakyat) boleh ditarik masuk ke dalam “sandiwara politik” yang saya namakan “Drama Paul Lathic”.

Bayangkan jika Kavyan bersikap pro-BN (termasuk UMNO dan MIC). Tentu segala kenyataan Kavyan sejak setahun lalu adalah berbaur pro-BN, pro-pemerintah, mengampu dan tentu kami tidak berani bersuara menegakkan kebenaran.

Begitu juga jika kami bersikap pro-PR. Memandangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan beliau “tidak nampak apa-apa yang rasis pun” dalam novel itu, tentu Kavyan telah berubah pendirian 180 darjah – seperti yang dilakukan seorang penulis kaum India (bukan ahli Kavyan) yang menulis dalam bahasa Melayu.

Hasil penelitian saya, tidak salah jika dikatakan bahawa kontroversi yang wujud sengaja dijadikan “sandiwara” oleh politikus tertentu dalam usaha licik memancing undi rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Kami memaafkan

Namun, percayalah! Rakyat Malaysia pada masa kini tidak mudah digula-gulakan. The damage has already been done dan tidak mudah untuk “memujuk” pengundi kembali menyokong mana-mana parti politik yang mengecewakan rakyat berulang kali.

Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini. Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran. Demikian antara pandangan Mahatma Gandi yang menjadi panduan dan pegangan Kavyan.

Sebagai individu yang turut dilantik menganggotai Panel Bebas Meminda Novel Interlok Edisi Murid, saya bangga dengan sikap profesional yang ditunjukkan oleh Setiausaha Satu Gapena, Profesor Datuk Zainal Abidin Borhan dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abd Aziz.

Walaupun kami berbalah, berbahas, berhujah, bertikam lidah dan tidak sependapat semasa bermesyuarat, tetapi di luar Panel Bebas, kami masih berkawan dan bersalam-salaman. Itulah semangat musyawarah yang diharapkan.

Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Shamsul Amri Baharuddin turut menunjukkan sikap profesional dengan menjadi pengerusi panel yang objektif dan tidak memihak kepada sesiapa.

Kavyan memutuskan untuk tidak mendendami sesiapa. Kami bersikap simpati dan empati. Kami memahami bahawa segala tindakan memburuk-burukkan Kavyan dilakukan akibat bersikap emosional; bukan rasional. Ya, kami memaafkan.

Sepanjang kontroversi novel Interlok Edisi Murid berlangsung, orang ramai turut menjadi pemerhati dan terlibat sama. Selepas keputusan pemurnian lebih 100 perkara diumumkan Menteri Pelajaran di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2011, orang ramai turut menjadi pemantau bagi memastikan apa yang dijanjikan itu dilaksanakan.

Maka, sudah terbukti wujud kuasa rakyat atau apa yang disebut juga sebagai “The Third Force”. Misalnya seperti Kavyan sendiri yang bersikap apolitikal tetapi berani bersuara lantang dalam isu ini untuk memastikan KPM melaksanakan apa yang dijanjikan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, apabila kontroversi novel Interlok Edisi Murid selesai, timbul pula persoalan: Apakah kaum India sudah mampu mencapai mobiliti sosial? Dan apakah perpaduan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh kaum India sejak setahun lalu akan berkekalan?

Penulis teraniaya

Knowledge is power. Atas kesedaran itulah Kavyan sentiasa mempersiapkan diri dengan ilmu dan maklumat sebelum berhujah. Malangnya, ramai yang masih bersikap “tin kosong” dan membuka mulut (atau menghantar SMS) tanpa berfikir. Kerana pulut, santan binasa. …

Bagi KPM dan DBP pula, biarlah apa yang berlaku ini dijadikan suatu “pengajaran positif” agar bersikap penuh teliti dan profesional dalam soal buku teks sekolah. Paling kurang, edit sebuah novel dengan adil dan sempurna sebelum dijadikan teks Komsas.

Sepanjang kontroversi, ada persatuan penulis tertentu dan NGO tertentu yang kecewa kerana kaum India tidak mengenali Pak Lah. Saya rasa, secara umum, masyarakat pelbagai kaum kurang mengenali para Sasterawan Negara – kecuali Datuk A. Samad Said.

Maka, bolehlah KPM, DBP, persatuan penulis tertentu dan NGO terbabit menggerakkan usaha mempromosi Sasterawan Negara dan karya mereka kepada masyarakat pelbagai kaum. Kalau bukan sekarang, bila lagi? Tentu sahaja Kavyan sedia membantu.

Malah, sejak kontroversi ini timbul, para Sasterawan Negara mula tampil mengeluarkan “kenyataan bersama” berhubung isu bahasa dan sastera. Nah! Bukankah ini suatu keajaiban yang wajar dilihat sebagai hikmah?

Penglibatan Kavyan dalam isu ini sejak setahun lalu juga “membantu” orang ramai memahami dan menyedari pendirian, ketegasan serta keikhlasan kami.

Selepas ini, Kavyan akan menumpukan pula perhatian pada usaha membantu empat penulis yang dinafikan hak royalti bagi karya mereka yang dijadikan teks Komsas. Kebetulan, sekali lagi melibatkan kementerian yang sama!

Semoga “The Third Force” akan terus bersama-sama Kavyan dan “empat penulis teraniaya” dalam usaha murni ini yang juga dikatakan melawan arus.

Uthaya Sankar SB merupakan bekas pelajar SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan dan SM King Edward VII, Taiping. Koleksi bahan berkaitan Interlok Edisi Murid boleh dibaca di www.uthayasb.blogspot.com

No comments:

Post a Comment