Pages

SPRM, apa makna rasuah?Tukar kerajaan, selesai masalah

 June 4, 2012
SPRM sering kali berbangga bahawa ia merupakan sebuah institusi bebas yang bertanggungjawab untuk membenteras rasuah tanpa rasa takut maupun pilih kasih.

Pengumuman serentak pada 31 Mei oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan tiga isu rasuah sekali lagi menjadi tumpuan kritikan terhadap integriti dan kebebasan institusi itu.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan juga Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, di mana suami dan anak-anaknya dianugerahi projek mewah kerajaan bernilai RM250 juta beberapa tahun lalu didapati tidak bersalah setelah beberapa bulan projek itu dilanda kontroversi.

Tetapi kes tuduhan rasuah 17 tahun yang lampau terhadap Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, yang dibuang dari siasatan lanjut pada ketika itu kerana kekuangan bukti, secepat kilat dibuka semula untuk siasatan lanjut berikutan pendedahan seorang blogger dalam laman webnya.

Namun tidak pula terdapat perkembangan lanjut mengenai siasatan terhadap ketua menteri Sabah dan Sarawak setakat ini berhubung skandal rasuah mereka yang terkenal di seluruh dunia dan terus menerus terdedah di alam siber.

Seolah-olah masih tidak cukup dengan sikap “double standard” ini terhadap golongan yang menentang, Bank Negara pula tampil ke dalam gelanggang untuk menyoal siasat dan menyaman orang yang memberi maklumat tentang skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, yang kerap kali mendedahkan pelbagai penyelewengan dari sudut kewangan dan undang-undang projek itu, disoal siasat kerana melanggar Akta Institusi Kewangan dan Perbankan (Bafia) kerana mendedahkan butiran individu-individu utama dalam skandal itu.

Pelbagai skandal
Biar saya menyentuh secara ringkas skandal-skandal ini.
Keputusan SPRM membebaskan Shahrizat dari sebarang salah laku mencetuskan tanda tanya.
Timbul persoalan sama ada seorang penjawat awam mulai sekarang boleh secara terbuka melakukan rasuah selagi projek kerajaan ini diletakkan di bawah nama isteri dan anak-anaknya?

Mungkin ada orang bertanya, jika seorang suami atau isteri menteri dan keluarga boleh secara sah menerima “durian runtuh” atau “layanan istimewa” dari kerajaan melalui hubungan dengan mana-mana menteri, kenapa saya tidak boleh berbuat perkara yang sama?

 Tidakkah peraturan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini secara tidak langsung membuka jalan untuk berlakunya perbuatan rasuah di kalangan penjawat awam?

Apa itu sebenarnya yang ditakrifkan sebagai rasuah?

Selain dari perbuatan yang jelas, memberi dan menerima sogokan, mengambil dan memberi sokongan (yang tidak sepatutnya diberi) melalui salah guna kuasa, atau campur tangan dengan motif yang tidak betul juga dianggap rasuah.

Adalah penting untuk mengingatkan kita bahawa (Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara selama enam tahun hanyasanya kerana beliau didakwa campur tangan dalam siasatan polis dalam tuduhan salah laku seksual.
Dalam hal ini, jelas berlakunya ketidakadilan, kerana bukti pendakwaan pihak pendakwaraya berhubung salah laku seksual didedahkan di mahkamah adalah hanya main-main (olok-olok), hingga menyebabkan hakim secara tergesa-gesa membuang semua bukti yang relevan
untuk menyelamatkan kes pendakwaan dari menemui jalan buntu.

Saya menyebut bahawa kes Anwar menunjukkan sejauh mana SPRM telah menyeleweng dari intergritinya berhubung definasi undang- undang kita tentang rasuah.

Keluarga Shahrizat diberi projek nasional yang ulung untuk membangunkan industri pengeluaran dan pembekalan daging lembu di negara ini di mana mereka menerima RM250 juta dalam bentuk pinjaman mudah dan geran bernilai RM13 juta.

Mereka diberi kemudahan ini walaupun tidak layak – tidak mempunyai kemahiran atau kemampuan dari segi kewangan untuk memenuhi misi ini.
Projek ini akhirnya gagal kerana sedikit sekali jumlah daging lembu yang dapat dihasilkan.

Geran dan pinjaman
Sementara itu, pada masa yang sama keluarga Shahrizat membelanjakan beratus juta ringgit dari geran dan pinjaman itu untuk membeli aset-aset yang tidak ada kaitan dengan projek itu.
Mereka menggunakan wang itu untuk membeli kondominium mewah dan premis perniagaan, tanah strategik, kereta mewah, restauran mewah. Di samping itu, setiap ahli keluarga menerima gaji yang sangat tinggi setiap bulan.
Kepada orang biasa, kes ini jelas perbuatan rasuah, tetapi tidak dengan SPRM. Setelah menyerahkan kes ini kepada pihak polis untuk beberapa bulan atas alasan tidak ada elemen rasuah, SPRM akhirnya tunduk kepada tekanan orang ramai dan bersetuju untuk menyiasat.
Selepas berhenti selama beberapa bulan, SPRM akhirnya membuat keputusan bahawa Shahrizat tidak bersalah.
Bolehkah dipercayai siasatan ini apabila Rafizi dan rakan-rakannya yang secara konsisten mendedahkan bukti-bukti baru mengenai penyelewengan dalam NFC tetapi tidak pula dipanggil untuk diwawancara, walaupun sekali, oleh SPRM untuk mendapatkan kenyataan mereka.
Adakah keluarga Shahrizat akan diberi projek yang penting ini jika beliau bukan ahli kabinet yang terdiri daripada para pembuat keputusan, memandangkan bahawa keluarganya tidak mempunyai merit untuk layak mendapatkan projek itu?
Jelas bahawa, keistimewaan yang diberi kepada Shahrizat dalam kedudukannya sebagai ahli politik yang menjadi sekutu dalam kepemimpinan Umno.
Berdasarkan layanan istimewa ini, keluarganya menikmati pelbagai kemudahan dan faedah, kemudahan yang Shahrizat tidak boleh menepis atau mengasingkan diri daripadanya.
Jika layanan istimewa dan faedah kewangan yang diterima oleh Shahrizat dan keluarganya, tidak disifatkan sebagai rasuah maka apakah ini?
Selain daripada Shahrizat yang memberi jawapan terhadap amalan rasuah, petualang-petualang yang lebih besar ialah para pembuat keputusan yang memberi projek ini.

Najib, Muhyiddin bertanggungjawab
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-duanya bertanggungjawab untuk menjelaskan kenapa dan bagaimana mereka boleh mencapai keputusan itu.
Najib ialah pengerusi jawatankuasa projek berimpak tinggi dan Muhyiddin pula pada ketika itu menteri pertanian.
Selagi mereka tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan maka mereka juga dilihat sebagai bersalah kerana menyalah guna kuasa dan rasuah. Setakat yang kita tahu, SPRM belum lagi membuat siasatan ke arah ini.
SPRM sering kali berbangga bahawa ia merupakan sebuah institusi bebas yang bertugas untuk membenteras rasuah tanpa rasa takut maupun pilih kasih.  Kini adalah masanya untuk membuktikan integriti mereka itu.
Soalan seterusnya ditujukan kepada SPRM.  Adakah kamu berani menjalankan tugas untuk mencari kebenaran daripada Najib dan Muhyiddin, yang jelas merupakan petualang-petualang dalam skandal ini.
Jika kamu tidak berani, tolong hentikan dari dakwaan bahawa kamu merupakan sebuah institusi bebas dan tidak takut dengan orang yang melakukan rasuah.

No comments:

Post a Comment