Bernama pada 2 Julai 2012 melaporkan bahawa Kementerian Pelajaran
Malaysia bakal membuat tawaran ‘sekali sahaja’ (one-off) bagi 557
pelajar kaum India lepasan SPM yang layak untuk mengikuti matrikulasi
(ambilan ketiga) di 13 kolej matrikulasi kerajaan seluruh negara.
Langkah ini adalah suatu ‘perkembangan positif’ tetapi tidak memberi
jaminan bagi para pelajar pada masa hadapan bahawa mereka yang layak
akan tetap menerima tempat meneruskan pengajian matrikulasi.
Pada akhir Februari 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
membuat pengumuman bahawa kemasukan pelajar kaum India ke kolej
matrikulasi kerajaan akan ditambah kepada lebih 1,500 bagi sesi
2012/2013.
Menteri Pelajaran Muhyiddin Yassin pula pada 2 Julai 2012 mengatakan
bahawa tawaran ini adalah ‘one-off’ – sekali gus tidak semestinya
menyelesaikan masalah pada masa hadapan.
Dalam soal pendidikan, perkara yang perlu diberi perhatian adalah
kelayakan pelajar dan bukannya kuota mengikut kaum. Lebih parah
sekiranya dijadikan ‘umpan’ bagi memancing undi.
Apa yang sangat dibimbangi adalah bahawa peluang ‘memenuhi kekosongan
tempat matrikulasi’ hanya bagi menjaga hati pengundi kaum India
menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Sekiranya kerajaan benar-benar mahu ‘menepati janji’ dan benar-benar
prihatin terhadap aspek/peluang pendidikan rakyat Malaysia (tanpa
mengira kaum), maka tidak perlu menawarkan peluang ‘sekali sahaja’
kepada pelajar yang sebenarnya layak mendapat tempat untuk meneruskan
pengajian.
Sebaliknya, sebuah kerajaan yang prihatin terhadap soal kebajikan
rakyat dan soal pendidikan akan membuka peluang kepada semua pelajar
yang layak tanpa mengenakan syarat ‘kuota kaum’ dan ‘sekali sahaja’.
No comments:
Post a Comment