Pages

Ammar: Saya minta maaf, saya tak dibayar sesiapa..

Pelajar kolej swasta Muhammad Ammar A Rahman, 19, yang melondehkan seluar menghina Perdana Menteri semasa malam Ambang Merdeka baru-baru ini, secara peribadi memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, dia menyesal apa yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sedemikian.

"Saya tidak dibayar oleh mana-mana pihak," kata beliau pada satu sidang media di sini, petang ini.

Dia juga berkata, segala apa yang dilakukannya pada malam 30 Ogos adalah atas kerelaan sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

"Saya sedar apa yang saya lakukan ini satu kesilapan. Saya juga berjanji pada diri sendiri, saya tidak akan mengulanginya di masa hadapan,” katanya dengan wajah tenang di hadapan pihak media di rumahnya, di sini.

Menurutnya, dia juga memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya Najib atas perbuatan biadabnya dan jika diberi peluang, dia bersedia bertemu pemimpin negara itu untuk memohon maaf secara peribadi.

“Sekiranya dikenakan tindakan undang-undang, saya juga terima dengan reda," katanya.

Mengimbas kembali kejadian malam 30 Ogos lalu, Muhammad Ammar berkata, dia langsung tidak merancang ke Dataran Merdeka kerana pada asalnya bercadang untuk pulang ke kampung.

"Saya bertukar fikiran apabila menerima pelawaan rakan," katanya.

Bagaimanapun dia menafikan tindakan yang dilakukan dipengaruhi atau dibayar oleh mana-mana pihak.

"Apa yang saya lakukan adalah semata-mata kerana kesilapan diri sendiri. Saya seperti orang tidak sedar semasa melakukannya, bukan dipengaruhi atau dibayar sesiapa," jelasnya.

Muhammad Ammar dalam pertemuan dengan media semalam turut memohon agar gambarnya tidak lagi disebarkan di Internet, selain merayu agar anggota keluarga, terutama ayahnya tidak diganggu dengan sistem pesanan ringkas (SMS) berbaur cemuhan.

“Saya yang bersalah, bukan ayah atau keluarga saya. Tolonglah, jangan salahkan kedua ibu bapa saya," rayu Muhammad Ammar.

Menurut bekas penuntut tahun dua program Diploma Multimedia Kreatif Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics ini, ada bloggers yang menyebarkan kisah tidak benar mengenai dirinya.

"Daripada 10 bloggers yang menyiarkan kisah saya, hanya dua yang benar dan boleh dipercayai.

“Ada di antara mereka menuduh saya mempunyai kaitan dengan kongsi gelap, sedangkan itu tidak benar," katanya.

No comments:

Post a Comment