NAMPAKNYA, kes rampas mayat oleh jabatan agama telahpun mencapai tahap yang baru. Sekarang, ada pula kes di mana Jabatan Agama Pulau Pinang telahpun merampas abu mayat seorang wanita, M Nagamah, kerana dipercayai si meninggal telahpun masuk Islam sebelum mati. Lantas, keluarga Hindunya dianggap tidak berhak untuk mengebumikan mayatnya.
Kes-kes rampas mayat oleh jabatan agama Islam di Malaysia bukan
perkara yang baru. Memang sebelum ini pun, sudah ada beberapa kes yang
mendapat perhatian media, orang Islam dan penganut-penganut agama lain.
Mayat lain yang telahpun atau cuba dirampas oleh jabatan agama Islam
termasuklah jenazah M Moorthy, Mohan Singh, T Lawrence, Nyonya Tahir dan Gan Eng Gor.
Dalam kes-kes seperti ini, antara soalan penting yang perlu jawaban
adalah siapakah yang lebih berhak terhadap mayat orang yang telah
meninggal? Apakah jabatan agama Islam atau ahli-ahli keluarga orang yang
telah hidup bersama dan membela orang itu sehingga ke akhir hayatnya?
Status agama
Yang jelas, status agama seseorang yang sudah meninggal seperti dalam
kes-kes yang disebut tadi agak kompleks dan mungkin juga sangat kabur.
Dalam kes Nagamah misalnya, Jabatan Agama Seberang Perai mendakwa
Nagamah telah berkahwin dengan seorang Islam bernama Ibrahim Noyah.
Mengikut jabatan agama dan laporan media, beliau telah memeluk agama
Islam pada tahun 2005 dengan nama Islamnya, Mariah Abdullah. Namun,
anak-anak beliau mendakwa ibu mereka telah mengamalkan agama Hindu dan
telah mati sebagai seorang Hindu.
Yang tambah mengaburkan fakta-fakta kes ini adalah satu laporan The Star pada
tahun 2007. Suratkhabar itu telah melaporkan bahawa sepuluh orang
anak-anak Nagamah dan Ibrahim Noyah telah memohon agar kad pengenalan
mereka mencatatkan mereka sebagai beragama Hindu. Alasan mereka?
Sepanjang usia mereka, mereka telah mengamalkan agama tersebut. Menurut
Ibrahim Noyah dalam laporan itu lagi, dia tidak meminta Nagamah memeluk
Islam sebelum mereka kahwin dan Nagamah pun menyokong permintaan
anak-anaknya untuk tetap beragama Hindu.
Kes-kes lain juga sama-sama kompleks. Ramai ahli-ahli keluarga yang
sukar untuk menerima dakwaan jabatan agama apabila semasa hendak
mengebumikan ahli keluarga yang tersayang itu, mereka tiba-tiba
diberitahu bahawa si mati itu telahpun masuk Islam sebelum meninggal.
Maka, apakah jalan penyelesaian dalam keadaan masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama yang hidup di Malaysia?
Islam Ramah bukan Islam Marah
Mantan Presiden Indonesia, allayarham Abdurrahman Wahid, pernah berkata yang diperlukan adalah Islam Ramah bukan Islam Marah.
Bukankah buruk sangat imej Islam apabila jabatan agama hanya muncul
menunjukkan keprihatinan apabila mahu menuntut mayat orang yang didakwa
telah memeluk Islam. Ia boleh dilihat sebagai lebih mahu menunjukkan
kuasa. Walhal, sebelum itu, jabatan agama tidak pernah muncul untuk
bertanya khabar atau menghulurkan bantuan sewaktu orang tersebut masih
hidup.
Sepertimana orang-orang Islam mahu dilayan sama rata dan diberi hak
penuh apabila mereka berada di negara bukan Islam, begitu jugalah
orang-orang Islam mesti memberi layanan setara dan menghormati hak-hak
orang bukan Islam. Bayangkanlah jika sebuah keluarga Islam yang sedang
tinggal di Amerika, yang baru saja kematian ahli keluarganya yang
terdekat, tiba-tiba didatangi oleh pihak gereja yang menuntut jenazah
ahli keluarga mereka atas dakwaan bahawa dia telah pun menganut agama
Kristian. Pastinya, ahli keluarga yang beragama Islam sukar menerima
begitu sahaja dan merasakan hak mereka terhadap ahli keluarga dan juga
perasaan keagamaan mereka telah diserang.
Apabila berlaku perselisihan yang sukar mencapai persefahaman antara
pihak berkuasa dan ahli keluarga, bukankah lebih manusiawi jika perasaan
ahli keluarga yang masih hidup itu lebih diutamakan? Lagi pun, setelah
jenazahnya dikuburkan, pegawai-pegawai agama tidak akan lagi
mempedulikan si mati. Ahli keluarganya jugalah yang akan tetap
mengingati, melakukan upacara mendoakan roh si mati atau menziarahi
kuburnya dari masa ke masa.
Jika menurut Islam sendiri pun, bukahkah setelah wafatnya seseorang
insan, jasadnya tidak lagi menjadi yang penting, tetapi rohnya? Jika
jenazahnya dikuburkan di perkuburan orang bukan Islam sekali pun, apakah
lalu Tuhan tidak akan mengakuinya? Jika memang benar orang itu telah
memeluk Islam, bukankah Allah swt itu Maha Pengasih, Maha Penyayang dan
Maha Mengetahui?
Orang Islam marah sungguh bila orang Barat menuduh agama Islam itu
keras dan zalim. Tetapi jika orang Islam sendiri suka bersikap angkuh,
kasar dan tidak adil pada orang bukan Islam, maka orang Islam sendirilah
yang sebenarnya menunjukkan bahawa Islam itu keras dan zalim.
Fikah minoriti
Setelah 55 tahun merdeka, sudah tiba masanya para tokoh dan sarjana
Islam di Malaysia menawarkan perspektif fikah yang boleh memberi jawapan
dan keadilan terhadap masalah-masalah yang timbul di dalam masyarakat
Malaysia kontemporari yang majmuk dan moden ini. Tokoh-tokoh Islam di
Malaysia tidak boleh sekadar bergantung pada pendapat ulama zaman dulu
kerana ulama silam mengeluarkan pendapat mereka sesuai dengan realiti
keadaan masyarakat mereka sendiri pada waktu itu. Ulama dan sarjana
Islam di Malaysia kini juga perlu mempertimbangkan pelbagai disiplin
ilmu kontemporari seperti sejarah Malaysia, psikologi, sains politik,
sosiologi, kefahaman terhadap undang-undang negara termasuklah
Perlembagaan Persekutuan, dan juga isu gender.
Ulama seperti Yusuf Al-Qaradawi telah pun melangkah ke depan dengan turut membentuk fikah yang disebut “Fiqh al-aqalliyyat” ataupun fikah masyarakat minoriti bagi menjawab persoalan masyarakat Islam yang hidup sebagai golongan minoriti di negara-negara bukan Islam. Majlis Fatwa dan Penelitian Eropah
membolehkan wanita Kristian yang mahu memeluk Islam agar terus kekal
tinggal bersama dengan suaminya yang bukan Islam. Fatwa ini mungkin
mempertimbangkan bahawa lebih baik wanita itu tetap hidup bersama
suaminya yang bukan beragama Islam daripada wanita itu tidak masuk Islam
langsung.
Fatwa sebegini pastinya memeranjatkan dan mungkin sukar diterima oleh
umat Islam di negara-negara Islam. Namun, para ulama berani membuat
pendirian sedemikian hasil pertimbangan terhadap konteks masyarakat dan
isu gender di Eropah. Ini membuatkan mereka yakin ia merupakan langkah
yang terbaik waktu ini. Maka, Malaysia juga harus menawarkan fikahnya
sendiri dalam memastikan keadilan pada masyarakat minoriti bukan Islam
di Malaysia.
Keadilan untuk semua
Apa lagi yang boleh dilakukan untuk memastikan keadilan itu dapat dinikmati oleh semua, tidak kira Islam atau bukan Islam?
Mengapa kerajaan Malaysia belum melaksanakan usul dari badan bukan kerajaan yang dibuat semasa Tun Abdullah Badawi menjadi
perdana menteri, agar menetapkan orang-orang yang mahu menukar agama
diminta memberitahu terlebih dahulu — bukan meminta izin — ahli
keluarganya yang terdekat, terutama isteri atau suaminya?
Mahkamah sivil
juga hendaklah tegas dan berani dalam melaksanakan keadilan pada setiap
rakyat Malaysia. Perlembagaan Perseketuan telah memberi kuasa penuh
pada mahkamah sivil untuk mengadili kes-kes yang melibatkan orang-orang
Islam dan bukan Islam. Dalam kes pertikaian sebegini, ahli keluarga bukan Islam berhak mendapatkan keadilan di mahkamah sivil.
Seorang sarjana Barat pernah mengatakan “Keadilan bukan saja perlu
dilaksanakan, malah ianya harus dilihat telah dilaksanakan.” Begitu
juga, seharusnya Islam bukanlah hanya melaksanakan keadilan pada orang
Islam, tetapi juga hendaklah melaksanakan dan juga dilihat melaksanakan
keadilan pada orang bukan Islam. Bukankah menurut orang Islam sendiri,
Islam itu rahmat untuk seluruh alam (rahmatan lil-alamin) dan Allah swt
itu juga Tuhan untuk seluruh alam (Rabbul Alamin)?
Kiyai Prof Dr Said Aqil Siradj, Ketua Nahdhatul Ulama, organisasi
Islam terbesar di Indonesia, baru-baru ini mengatakan bahawa melindungi
orang-orang bukan Islam itu merupakan suatu jihad.
Beliau juga dengan tegas mengatakan “tidak toleransi itu melawan Tuhan
kerana di dalam Al-Quran Surah 2:21, Allah swt telah berfirman bahawa
Dia sengaja menciptakan manusia berbeza bangsa dan suku kaum agar kita
saling kenal-mengenal.”
The Nut Graph
No comments:
Post a Comment