22 FEB — Hari ini telah dispekulasikan sebagai hari pembubaran
Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri. Ramai telah menghubungi saya
samada berita itu benar atau tidak. Jawapan saya standard, “saya tidak
tahu, tanya Najib atau Rosmah”. Siapa kita untuk mengetahui perkara
penting itu. Terpenting bagi kita ialah dengan memberikan perimbangan
serta berfikir sejenak sebelum memangkah semasa dalam bilik mengundi itu
nanti.
Bagi saya samada pembubaran itu dilakukan pada hari ini tidak
penting. Yang penting kita sudah bersedia untuk melakukan yang terbaik
untuk negara kita. Kita jangan tertipu dengan dakyah karut yang kita
ikuti selama ini. Di negara ini kita boleh mengundi sesiapa sahaja dan
tidak seperti apa yang di dakyahkan yang negara kita ini hanya selamat
jika Umno memerintah. Sememangnya pimpinan Umno sedang mendagu dan
merayu supaya diberikan peluang sepenggal lagi seperti yang di minta
oleh Najib di Kuching semalam.
Najib merayu untuk BN di berikan sepenggal lagi seolah BN telah
memerintah hanya sepenggal yang lalu. Beliau terus merayu agar diberikan
sepenggal lagi walaupun telah di beri peluang sejak merdeka dahulu
memerintah negara ini. Sepatutnya yang merayu untuk meminta sepenggal
itu adalah pihak pembangkang bukannya pihak kerajaan. Tetapi tidak
mengapalah, kerana rakyat ramai yang membuat keputusan samada untuk
memberikan BN sepenggal lagi walaupun telah berpenggal-penggal mentadbir
kita.
Sebenarnya Najib masih belum berkeyakinan untuk membubarkan Parlimen,
tetapi oleh kerana penggal Parlimen sudah sampai ke penghujung nya maka
beliau akan terpaksa membubarkannya juga atau di biarkan sahaja penggal
ini terbubar dengan sendirinya pada 28 April nanti. Itu tidak ada
apa-apa salahnya jika Najib memilih untuk berbuat demikian.
Tidak ada sebab untuk Najib tergesa-gesa untuk membubarkan Parlimen
itu sedangkan jika beliau membubarkan Parlimen pada hari ini Najib tetap
mencatat rekod seorang Perdana Menteri yang tidak di pilih oleh rakyat.
Persepsi itu tidak dapat di hilangkan jika Najib membubarkan Parlimen
hari ini atau besok. Sudah alang-alang tunggu sahaja sampai penghujung
bulan April nanti.
Tindakan Selangor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri tidak juga
menjadi kesalahan kerana sebagai sebuah negara Persekutuan, Dewan
Legislatif Negeri itu adalah hak negeri untuk menentukan tarikh
pilihanraya bagi kawasan-kawasan Undangan Negeri nya. Jangan kita
persoalkan tindakan itu kerana ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan
Negeri Selangor dan Persekutuan kita. Umno tidak payah sibuk dengan
urusan kerajaan Negeri Selangor kerana Umno sudah di tolak oleh rakyat
Selangor.
Kerja dan tugas Umno yang penting sekali sekarang ialah untuk
menentukan yang mereka melaksanakan tugas mengikut peruntukan
undang-undang negara. Umno sendiri mempunyai masalah besar. Biarkan PAS,
DAP serta PKR dengan urusan mereka kerana mereka juga mempunyai
tanggungjawab untuk mempastikan perancangan untuk melakukan perbezaan
dengan BN jika mereka di beri peluang untuk mentadbir Putrajaya selepas
PRU ini.
Tidak salah untuk Umno bertahan, tetapi untuk bertahan Umno sendiri
tidak berkeyakinan. Ramai di antara pemimpin mereka menzahirkan perasaan
mereka kepada saya sehari dua ini. Umno mempunyai banyak “factions” dan
mempunyai “warlords” mereka termasuk Dr Mahathir sendiri. Umno sedang
menghadapi tekanan dari rakyat dan dalam pada menguruskan tekanan rakyat
itu, parti itu sendiri wujud tekan menekan sesama sendiri.
Puak Dr Mahathir memberikan sokongan kepada Muhyiddin dan jika boleh
mereka mahukan Najib berhenti untuk memberikan Muhyiddin peluang
menerajui PRU ke13 ini. Serba salah puak Dr Mahathir ini nampaknya.
Begitu juga puak Muhyiddin. Kalau hendak berkeras untuk menekan Najib,
pilihanraya sudah hampir dan akan menjejaskan keputusannya nanti. Tidak
berkeras pun tidak boleh kerana Umno sedang dalam keadaan telur di
hujung tanduk.
Satu isu yang terbesar akan mereka (Umno) hadapi ialah masalah calon
pilihanraya untuk Umno dan BN. Jika Najib biarkan Muhyiddin menentukan
calon Umno ia serupa lah memberikan parang tajam kepada Muhyiddin untuk
Timbalannya itu gunakan untuk memenggal politik Najib seperti yang di
kehendaki oleh Dr Mahathir. Setakat yang saya tahu sudah berbelas Ketua
Bahagian yang dulunya adalah pengikut totok Najib dengan senyap-senyap
telah berpihak kepada Muhyiddin.
Tidak tahu lah kita samada Najib maklum tentang perkara ini tetapi
yang pastinya mereka sudah hilang keyakinan terhadap Najib. Mereka ingin
bergantung kepada dahan yang baru tetapi tidak tahulah kita samada
mereka terasa bahawa dahan yang baru ini pun akan tumbang bersama pokok
besarnya (Umno) dalam pilihanraya nanti. Bagi Umno, parti ini sudah
sampai ke persimpangan.
Umno tidak mempunyai jalan selain dari mengakui kesulitan mereka
dalam pilihanraya kali ini. Itu pun tidak mengapa kerana dalam demokrasi
sememangnya Umno boleh di jatuhkan seperti yang di alami oleh mana-mana
parti di dalam mana-mana negara demokrasi. Tetapi Umno tidak rela
menghadapi kekalahan kerana masing-masing “warlords” dalam Umno itu
mempuyai rekod buruk masing-masing yang mereka takutkan jika parti itu
tidak berkuasa lagi.
Dr Mahathir tersangat takut jika Pakatan Rakyat menang dan Anwar
menjadi Perdana Menteri. Dr Mahathir bukan sedikit masalah yang beliau
lakukan terhadap diri beliau sendiri semasa memegang kuasa dahulu.
Itulah yang menyebabkan beliau bermatian menegakkan benang basah Umno
hari ini. Najib pun begitu. Beliau takut jika Pakatan menang dan
terpaksa menghadapi Anwar jika Pakatan menang.
Jika Umno menang dengan tipis sekali pun, Najib terpaksa menghadapi
hari akhir kepimpinan beliau dan ini juga menakutkan beliau sendiri. Apa
kah Muhyiddin mampu untuk tidak mengambil tindakan terhadap Najib jika
beliau mengambil alih kuasa? Najib tahu dalam Umno tiada siapa yang
mempunyai “allegiance” terhadap pemimpin yang mereka sokong sebelumnya.
Najib akan menangis keseorangan. Itu sudah banyak berlaku dalam Umno
kerana setiap pemimpin dalam Umno itu adalah pimpinan yang lemah dan
mereka hanya di ikuti oleh mereka yang berkepentingan peribadi. Semua
mereka itu akan mengikut dan bersama-sama mengutuk pimpinan yang telah
pergi yang pernah mereka dukung dahulu.
Umno sudah tidak ada lagi pemimpin yang “magnanimous” seperti dahulu.
Dendam mendendam sudah menjadi amalan mereka. Kata perpatah Melayu,
“mati ayam mati tungau”. Berhenti sahaja Najib maka Najib akan terpaksa
menghadapi zaman gelap beliau sampai akhir hayat.
Najib sekarang memang tidak boleh bertahan lagi. Hanya jika beliau
ada sedikit kemampuan untuk berfikir sahaja boleh menyelamatkan beliau
dari menghadapi zaman gelap beliau nanti.
Najib tahu Dr Mahathir tidak akan membela beliau dan Muhyiddin jauh
sekali untuk melakukannya. Apa tah lagi jika Umno yang sekarang
mempunyai kecenderungan untuk tewas dalam pilihanraya kali ini bersama
parti komponennya MCA dan MIC yang sudah pasti akan tewas kali ini.
—aspanaliasnet.blogspot.com
No comments:
Post a Comment