Pages

Kabinet baharu ibarat ‘tayar celup’:


ALOR SETAR - Kabinet baharu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob umpama ‘kabinet tayar celup’ dan bakal memberi implikasi kepada rakyat mahupun negara.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, kabinet tersebut tidak mencerminkan suatu proses pembaharuan terhadap anggota kabinet yang dibentuk di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, ini menunjukkan Ismail Sabri masih terikat dalam pemikiran kerangka lama dengan meneruskan legasi kerajaan gagal yang dicetuskan oleh Muhyiddin ketika menerajui negara.

“Sebab itu saya label ‘kabinet tayar celup’. Tayar yang hampir rosak kemudian ditampal untuk kelihatan baharu dan ia amat berbahaya kepada keselamatan serta masa depan negara.

"Sedangkan dunia kini dalam lonjakan pemikiran 4.0, sebaliknya tahap pemikiran pemimpin sedia ada masih rendah. Ia amat berisiko untuk masa depan negara.Ibarat tayar celup boleh menyebabkan kemalangan, jadi itulah yang akan rakyat hadapi,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mempersoal saiz kabinet baharu yang dianggap melebihi keperluan.

“Melantik anggota kabinet yang terlalu ramai ketika negara sedang memerangi pandemik Covid-19, ditambah pula dengan krisis ekonomi yang dihadapi, adakah ini satu keperluan?" Soalnya.

Menurutnya, jika dibandingkan dengan beberapa negara yang mempunyai kepadatan penduduk lebih tinggi berbanding Malaysia, mereka tidak melantik sejumlah besar anggota kabinet.

Penduduk kita sekitar 32 juta orang dengan anggota kabinet seramai 70 orang. Di China dengan 1.3 bilion penduduk hanya lantik 35 anggota kabinet, manakala Amerika Syarikat yang memiliki 331 juta penduduk hanya 15 anggota kabinet.

Penduduk India seramai 270 juta dengan 49 anggota kabinet, di Jepun yang penduduknya 126 juta pun hanya 14 anggota kabinet serta Jerman dengan 83 juta rakyat hanya lantik 14 anggota kabinet,” katanya lagi.

Mahfuz berkata, kerajaan masih tidak prihatin terhadap kritikan rakyat sebelum ini yang membangkitkan isu berkaitan saiz kabinet ketika di bawah pentadbiran Muhyiddin.

“Nampaknya mereka lebih pentingkan kuantiti berbanding kualiti. Sekitar 90 peratus anggota kabinet dilantik semula dari era Muhyiddin cuma diubah kedudukan atau kementerian, pemikiran masih di takuk lama. Akhirnya ia tidak membantu mengubah pemikiran anggota kabinet untuk hasilkan idea lebih baik dalam membina semula negara dan keluar dari pandemik,” katanya.

Menurutnya, rakyat mahukan adalah sebuah kerajaan dengan jumlah anggota kabinet yang kecil namun mampu membawa idea-idea besar.

Mahfuz turut menyifatkan ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri menggambarkan wujud ketidaksepakatan dalam parti-parti gabungan kerajaan baharu.

“Ia jelas menunjukkan krisis perebutan kedudukan kalangan proksi khususnya UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Walaupun lantikan itu bukan perkara wajib dalam Perlembagaan namun kebiasaan akan ada lantikan. Ismail Sabri seakan tertekan dengan tuntutan parti-parti gabungan yang mahukan jawatan berkenaan,” katanya.


Tambah beliau, dengan mengekalkan empat menteri kanan, ia seakan menjadi bahan ketawa mengenai peranan dan keperluan lantikan itu.

“Kebiasaan menteri kanan adalah yang benar-benar senior dan dihargai kerana memiliki pemikiran aras tinggi serta prestasi terbaik, namun yang dilantik adalah sebaliknya,” katanya.

Mengulas kenyataan Ismail Sabri yang menyifatkan kabinet berorientasikan hasil dengan meletakkan tempoh 100 hari untuk mengemukakan prestasi, Mahfuz berkata, ia tidak mampu mengubah apa-apa.

“Kabinet sebelum ini melebihi 500 hari, tiada pun pencapaian membanggakan. Apa yang boleh diharapkan dalam masa 100 hari dari orang yang sama, sebab pemikiran mereka tetap sama. Kita akan terus berdepan dengan krisis politik,” katanya.

Pada Jumaat, Ismail Sabri mengumumkan pembentukan kabinet membabitkan pelantikan seramai 31 menteri, termasuk empat menteri kanan serta 38 timbalan menteri.

Kumpulan Karangkraf

sinarharian

No comments:

Post a Comment