Pages

PH tak akan menyulitkan undi percaya jika Ismail Sabri pro-rakyat – Anwar


PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) memberi bayangan tidak akan mengemukakan usul undi percaya kepada Perdana Menteri jika isu rakyat diutamakan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan menyulitkan soal undi percaya sekiranya kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengutamakan soal rakyat dalam setiap polisi kerajaan.

“Kita beritahu kalau dalam suasana begini dan program-program itu agak pro-rakyat, kita tidak akan persulitkan (undi percaya),” katanya.

Beliau ditemui wartawan di luar Kompleks Bangunan Perdana Putra, hari ini selepas mengadakan pertemuan bersama Ismail Sabri di Pejabat Perdana Menteri.

Turut bersama dalam pertemuan itu termasuk Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Ketiga-tiga pemimpin itu dilihat memasuki Kompleks Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 2 petang tadi dan keluar kira-kira pukul 3.30 petang.

Ditanya sama ada ada perbincangan mengenai tawaran menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN), Anwar menjelaskan, ia tidak dibincangkan pada pertemuan itu.

Pada masa sama, Anwar juga memaklumkan, isu tawaran sebagai ketua pembangkang dalam Kabinet juga tidak dibincangkan.

“Tidak berbangkit, saya pun tidak (berminat), saya tidak mahu itu dijadikan isu.

“Daripada awal kita datang bukan untuk meminta jawatan untuk kita, sebaliknya ingin bincang soal ekonomi rakyat dan Covid-19,” katanya.

Pada pertemuan itu, Anwar memaklumkan, Guan Eng turut mengemukakan beberapa cadangan kepada Ismail Sabri khususnya berkaitan isu ekonomi termasuk moratorium bank.

“Mohamad pula berkongsi kebimbangan mengenai kesan Covid-19 di beberapa kawasan yang perlu diberi pendekatan baharu,” katanya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment