Pages

Suntik vaksin Covid-19 tanpa pengetahuan suami, isteri dicerai di Facebook


PETALING JAYA: Seorang lelaki dilapor melafazkan taklik ke atas isterinya di media sosial kerana wanita itu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Suri rumah itu kemudian menghubungi peguam syarie bagi mendapatkan khidmat dan pengesahan sama ada taklik dilafazkan melalui Facebook itu sah atau sebaliknya.

Berdasarkan perkongsian dimuat naik melalui Facebook peguam syarie itu, suami isteri berkenaan adalah pasangan jarak jauh dan kejadian dilaporkan berlaku semalam.

Peguam syarie Maryam Wafda Kamilen daripada Tetuan Wafda Kamilen & Associates ketika dihubungi mengesahkan menerima pertanyaan daripada suri rumah itu, menurut laporan Harian Metro.

Katanya, suri rumah itu mengakui mengambil suntikan vaksin dos pertama tanpa pengetahuan suaminya Selasa lalu.

“Ketika berbual melalui telefon mengenai vaksin, lelaki berkenaan melarang isterinya mendapatkan suntikan vaksin dan jika ingkar maka akan jatuh taklik.

“Suri rumah itu menghubungi saya untuk mendapatkan kepastian sama ada taklik dilafazkan suaminya jatuh atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, ini bukan kali pertama kes seperti itu dirujuk kepada firma guamannya berkata. Beliau seterusnya menasihati suri rumah itu mendapatkan pengesahan Mahkamah Syariah.

Katanya, terdapat empat kes berkaitan dengan isu yang sama diterimanya sejak penularan wabak Covid-19 dan keperluan rakyat mendapatkan suntikan vaksin.

“Kami bersedia menawarkan perkhidmatan kepada semua suri rumah yang berhadapan dengan situasi itu.

“Kami menyarankan suri rumah yang berdepan dengan situasi itu supaya segera memfailkan kes itu di Mahkamah Syariah,” katanya.

FMT

No comments:

Post a Comment