Pages

Jingga 13 bantah beri kerakyatan asing

Jamilah Kamarudin | October 15, 2011

NGO itu serah memo mengandungi tiga laporan media berbeza yang menyiarkan artikel berkaitan isu terbabit.

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) Jingga 13 hari ini menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar berhubung pemberian kerakyatan dan hak mengundi kepada warga asing.

Memorandum setebal 13 muka surat itu mengandungi tiga laporan media berbeza yang menyiarkan artikel berkaitan isu terbabit, selain bukti semakan senarai daftar pemilih dalam sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Salah satunya ialah laporan Wikileaks bertarikh 18 Ogos lalu menyatakan wujudnya penyelewengan pemberian kerakyatan kepada 60,000 warga asing di Sabah, dan kemudiannya dilaporkan dalam portal berita MalaysiaKini pada 20 September lalu.

Laporan itu turut berkata bekas Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid mengaku pernah melakukan perbuatan sedemikian.

Selain itu, laman web rasmi stesen TV di Indonesia SCTV pada 25 Ogos 2005 bertajuk “Ribuan Nelayan Bugis Menjadi Warga Malaysia” mendakwa Umno sebagai parti politik terbesar di Malaysia memberi Mykad sekaligus hak mengundi kepada nelayan Bugis.

“Kami harap KPN siasat segera isu ini dan ambil tindakan serius terhadap Umno yang menjadi pengkhianat negara.

“Mereka (dalang) harus dihukum dan ditangkap ikut peruntukan undang-undang sedia ada,” kata Penyelaras Jingga 13 di luar perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini semalam.

Fariz juga mahu polis bertindak menangani isu ini dengan adil tanpa sebarang prejudis memandangkan pihaknya sebelum ini pernah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), serta laporan polis tetapi tidak pernah mendapat sebarang maklum balas.

“Kami juga memohon agar siasatan menyeluruh dibuat terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN), SPR dan JPN terhadap kewujudan identiti palsu dalam daftar pemilih SPR yang ternyata tidak wujud,” katanya.

Memorandum itu diterima oleh wakil Pegawai Penerbitan Cawangan Perhubungan Awam PDRM Timbalan Supritendan N Venugopal kira-kira 3.30 petang. Kira-kira 12 wakil Jingga 13 turut hadir ketika serahan memorandum itu dibuat.

No comments:

Post a Comment