Pages

Tiada lagi mandat untuk Umno

fmt | December 17, 2012
Kunci bagi memastikan Malaysia untuk terus aman dan makmur ialah dengan memastikan Umno tidak lagi diberi mandat pasca PRU13.
Oleh Eikhwan Ali
Pilihanraya adalah mekanisme penting dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Ia adalah proses pengurniaan mandat dan kuasa rakyat kepada seseorang individu dan sesebuah parti untuk mentadbir sesebuah negeri dan negara bagi menjamin kemerdekaan, memelihara keamanan, memacu kemajuan dan menegakkan keadilan untuk rakyat dan tanah air ini.
Proses ini mesti berlangsung dengan tiga (3) unsur; [1] partisipasi menyeluruh rakyat, [2] jaminan kebebasan asasi, dan [3] proses yang bersih dan adil.
Idea pendaftaran automatik dan penurunan umur kelayakan sebagai pengundi adalah cadangan bijaksana bagi memastikan lebih ramai rakyat terlibat.
Rakyat mesti dijamin kebebasan asasi mereka seperti kebebasan bersuara, berparti dan berhimpun, tanpa sekatan menggunakan pelbagai undang-undang dan peraturan.
Reformasi pilihanraya perlu berlaku dengan membersihkan senarai pemilih, akses media yang saksama dan penolakan terhadap budaya politik kotor dan samseng.
Bersilih-ganti sesebuah parti kepada parti yang lain untuk mengetuai kerajaan adalah suatu yang normal bagi proses ini di negara-negara yang mengamalkan demokrasi secara telus.
Doktrinisasi dan persepsi bahawa pertukaran ini adalah suatu yang negatif yang dilancarkan adalah kerana dua (2) perkara; [1]
kebimbangan yang teramat sangat oleh sesebuah parti terhadap kemandirian partinya untuk terus kekal berkuasa, dan [2] menganggap bahawa rakyat terlalu dangkal untuk membuat pilihan bagi menentukan kerajaan.

Resah-gelisah
Secara terus-terang dan seluruh rakyat sedang merasai hal ini, Umno sedang resah-gelisah, lalu rakyat cuba diperbodoh-bodohkan.Bimbangnya Umno kerana ia diketuai seorang Presiden merangkap Perdana Menteri yang belum mendapat mandat rakyat sehingga ke hari ini, dan sehingga ke hari juga Umno belum yakin untuk mendapatkan mandat daripada rakyat melalui pilihanraya.
Jika kalah, keadaan ini tidak mudah untuk Umno pasrah sementelahan lagi ia telah berkuasa selama lebih separuh abad. Sebelum ia terpaksa pasrah, Umno pasti tidak tentu arah untuk tidak mahu menyerah.
Pasca Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2012 telah membuka mata rakyat terhadap budaya politik Umno dan prestasinya sebagai teras kerajaan Barisan Nasional (BN). Melalui PAU 2012, rakyat dapat melihat betapa Umno sedang mengalami krisis keyakinan dan kesetiaan para anggotanya yang agak keterlaluan.
Berkali-kali amaran supaya jangan sabotaj dan mesti sokong calon parti, jelas mendedahkan realiti itu, dan rakyat pula sudah maklum bahawa ia memang wujud dalam Umno buat sekian lama. Diikuti pula dengan insiden provokasi dan pukul, yang sememangnya sebati dengan Umno yang mempraktikkan budaya politik kotor dan samseng. Umno juga tidak sunyi daripada terus terpalit dengan isu-isu rasuah dan kronisme.

Sebagai kerajaan pula, Umno tidak berkeupayaan langsung menyelesaikan isu-isu ‘evergreen’ seperti kebejatan sosial yang berpunca daripada hiburan melampau dan pergaulan bebas sehingga anak luar nikah yang direkodkan sehingga ke tahun 2010 berjumlah lebih 250,000 orang, sejumlah 76,200 graduan mengganggur tanpa peluang pekerjaan, sejumlah besar siswazah pendidikan tidak mendapat tempat, peningkatan kos sara hidup sehingga menyebabkan 300,000 hingga 400,000 buah keluarga dikategorikan dalam kumpulan miskin melampau, dan harta rakyat terus dirompak melalui rampasan royalti dan pelaksanaan undang-undang seperti AES.

Beginilah cara Umno dan BN melaksanakan agenda “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Dalam hal ini, pendirian GAMIS adalah jelas dan tegas bahawa kunci bagi memastikan Malaysia untuk terus aman, makmur, mendahulukan rakyat, mengutamakan pencapaian, sejahtera dan berkebajikan ialah dengan memastikan Umno tidak lagi diberi mandat untuk mentadbir Malaysia pasca pilihan raya umum ke-13 akan datang.

MALAYSIA TANPA UMNO.

No comments:

Post a Comment