Parlimen Malaysia sudah cukup lama dikekang
oleh kerajaan sejak 1960an apabila Darurat dikuatkuasakan lanjutan rusuhan kaum
13 Mei 1969.
Sejak itu, kebebasan Parlimen dihadkan dan
institusi tersebut diletakkan di bawah kuasa Menteri di Jabatan Perdana
Menteri.
Bagi Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih
kang, penghadkan kuasa Parlimen menyebabkan peruntukan kepada Ahli Parlimen
dibeza-bezakan dan peranan pembangkang amat sedikit dalam kelulusan Rang
Undang-undang.
Sehubungan itu, katanya, memorandum
kerjasama (MoU) antara Kerajaan Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan diharap
akan memberi sinar baharu dalam pengurusan Parlimen di negara ini.
"Mungkin ramai tak faham undang-undang
perkhidmatan Parlimen. Sebelum ini memang kita ada Akta Perkhidmatan Parlimen,
tetapi selepas itu akta ini dimansuhkan dan semua kewangan dan dana diagihkan
untuk Parlimen datang dari Jabatan Perdana Menteri.
"Itu sebabnya kita ada seorang menteri
yang bertanggungjawab dengan undang-undang dan Parlimen. Sebab Eksekutif yang
agihkan dana dan Parlimen perlu selalu berbincang dengan menteri untuk dapatkan
apa yang mereka mahu. Kami rasa ini sistem yang sangat teruk untuk kebebasan
Parlimen, sebab wang diagihkan oleh kerajaan.
"Kalau kita ada satu undang-undang
perkhidmatan Parlimen maka setiap Belanjawan akan ada peruntukan tertentu dan
Parlimen akan kendalikan sendiri. Untuk lantik kakitangan baru atau wujudkan lebih
banyak jawatankuasa khas akan diputuskan oleh Parlimen sendiri.
"Saya yakin dengan wujudnya
undang-undang perkhidatan Parlimen maka kita lebih bebas," kata Chang
dalam temubual maya Lensa Parlimen bertajuk: "MoU dan Reformasi Institusi
Parlimen," petang semalam.
Menurut Ahli Parlimen Tanjung Malim itu
lagi, peraturan Parlimen atau Standing Order sekarang tidak mampu memberi
kebebasan secukupnya, terutama dalam membahas usul Pembangkang.
Banyak kali, kata Chang, usul pembangkang
tidak diketepikan dengan alasan mengutamakan usul kerajaan,
"Selalunya usul dari pembangkang tidak
mungkin diangkat dan dibahas dalam Parlimen tanpa persetujuan Speaker. Sebab
alasan urusan kerajaan akan diutamakan, pembangkang diletakkan dalam agenda
tetapi tidak sampai giliran.
"Kalau ikut Westminster sebernarnya di
United Kingdom ada sehari dinamakan 'hari pembangkang'. Usul yang tidak
dibahaskan pada hari lain akan dibahaskan. Ini satu contoh untuk kita perbaiki
sistem Parlimen sekarang.
"Hari ini misalnya usul dari Lembah
Pantai minta kita bahas tentang SPRM, ada pegawai SPRM ditahan tetapi Speaker
seperti biasa telah tolak kerana isu itu tidak perlu disegerakan. Kalau ada
hari pembangkang maka boleh dibahaskan pada hari itu," katanya.
Beliau mengharapkan MoU yang ditandatangani
benar-benar dilaksanakan oleh pihak kerajaan, terutama ke atas janji untuk
memberi Ketua Pembangkang hak akses maklumat-maklumat kerajaan yang sensitif
yang sebelum ini tidak boleh dilakukan.
"Apa disebutkan dalam MoU itu hak dan
kemudahan sewajarnya buat Ketua Pembangkang. Bukan dari segi gaji atau pengawal
lain-lain tetapi akses kepada maklumat yang paling penting. Sepatutnya semua
Ahli Parlimen dapat. Kita kena pastikan kali ini Ketua Pembangkang dapat hak
ini dulu.
"Sekarang sukar Ahli Parlimen
pembangkang dapat maklumat sahih dari kementerian. Oleh itu Ketua Pembangkang
perlu dapat maklumat sama ada bersifat sensitif atau rahsia. Pegawai memberi
pembentangan kepada PM perlu juga beri pembentangan kepada Ketua
Pembangkang," katanya.
Mengenai soalan adakah MoU tersebut mempunyai
jangka waktu tertentu, beliau berkata hampir semua perkara mempunyai timeline
yang ditetapkan dan pembangkang akan pastikan pihak kerajaan menyempurnakannya.
"Semua kami senaraikan dalam MoU kami
tetapkan had masa. Contoh hak sewajarnya kepada Ketua Pembangkang kami minta
laksanakan serta merta, ada hingga hujung tahun ini.
"Yang perlu pindaan Perlembagaan kami
beri sampai persidangan pertama tahun hadapan 2022 (Mac). Paling lambat
persidangan pertama tahun hadapan. Supaya MoU tidak jadi janji kosong,"
katanya lagi.
No comments:
Post a Comment