Parlimen perlu lebih kebebasan dengan Akta Perkhidmatan Parlimen

 Parlimen Malaysia sudah cukup lama dikekang oleh kerajaan sejak 1960an apabila Darurat dikuatkuasakan lanjutan rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Sejak itu, kebebasan Parlimen dihadkan dan institusi tersebut diletakkan di bawah kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagi Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih kang, penghadkan kuasa Parlimen menyebabkan peruntukan kepada Ahli Parlimen dibeza-bezakan dan peranan pembangkang amat sedikit dalam kelulusan Rang Undang-undang.

Sehubungan itu, katanya, memorandum kerjasama (MoU) antara Kerajaan Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan diharap akan memberi sinar baharu dalam pengurusan Parlimen di negara ini.

 "Mungkin ramai tak faham undang-undang perkhidmatan Parlimen. Sebelum ini memang kita ada Akta Perkhidmatan Parlimen, tetapi selepas itu akta ini dimansuhkan dan semua kewangan dan dana diagihkan untuk Parlimen datang dari Jabatan Perdana Menteri.

 "Itu sebabnya kita ada seorang menteri yang bertanggungjawab dengan undang-undang dan Parlimen. Sebab Eksekutif yang agihkan dana dan Parlimen perlu selalu berbincang dengan menteri untuk dapatkan apa yang mereka mahu. Kami rasa ini sistem yang sangat teruk untuk kebebasan Parlimen, sebab wang diagihkan oleh kerajaan.

 "Kalau kita ada satu undang-undang perkhidmatan Parlimen maka setiap Belanjawan akan ada peruntukan tertentu dan Parlimen akan kendalikan sendiri. Untuk lantik kakitangan baru atau wujudkan lebih banyak jawatankuasa khas akan diputuskan oleh Parlimen sendiri.

 "Saya yakin dengan wujudnya undang-undang perkhidatan Parlimen maka kita lebih bebas," kata Chang dalam temubual maya Lensa Parlimen bertajuk: "MoU dan Reformasi Institusi Parlimen," petang semalam.

 Menurut Ahli Parlimen Tanjung Malim itu lagi, peraturan Parlimen atau Standing Order sekarang tidak mampu memberi kebebasan secukupnya, terutama dalam membahas usul Pembangkang.

 Banyak kali, kata Chang, usul pembangkang tidak diketepikan dengan alasan mengutamakan usul kerajaan,

 "Selalunya usul dari pembangkang tidak mungkin diangkat dan dibahas dalam Parlimen tanpa persetujuan Speaker. Sebab alasan urusan kerajaan akan diutamakan, pembangkang diletakkan dalam agenda tetapi tidak sampai giliran.

 "Kalau ikut Westminster sebernarnya di United Kingdom ada sehari dinamakan 'hari pembangkang'. Usul yang tidak dibahaskan pada hari lain akan dibahaskan. Ini satu contoh untuk kita perbaiki sistem Parlimen sekarang.

 "Hari ini misalnya usul dari Lembah Pantai minta kita bahas tentang SPRM, ada pegawai SPRM ditahan tetapi Speaker seperti biasa telah tolak kerana isu itu tidak perlu disegerakan. Kalau ada hari pembangkang maka boleh dibahaskan pada hari itu," katanya.

 Beliau mengharapkan MoU yang ditandatangani benar-benar dilaksanakan oleh pihak kerajaan, terutama ke atas janji untuk memberi Ketua Pembangkang hak akses maklumat-maklumat kerajaan yang sensitif yang sebelum ini tidak boleh dilakukan.

 "Apa disebutkan dalam MoU itu hak dan kemudahan sewajarnya buat Ketua Pembangkang. Bukan dari segi gaji atau pengawal lain-lain tetapi akses kepada maklumat yang paling penting. Sepatutnya semua Ahli Parlimen dapat. Kita kena pastikan kali ini Ketua Pembangkang dapat hak ini dulu.

 "Sekarang sukar Ahli Parlimen pembangkang dapat maklumat sahih dari kementerian. Oleh itu Ketua Pembangkang perlu dapat maklumat sama ada bersifat sensitif atau rahsia. Pegawai memberi pembentangan kepada PM perlu juga beri pembentangan kepada Ketua Pembangkang," katanya.

 Mengenai soalan adakah MoU tersebut mempunyai jangka waktu tertentu, beliau berkata hampir semua perkara mempunyai timeline yang ditetapkan dan pembangkang akan pastikan pihak kerajaan menyempurnakannya.

 "Semua kami senaraikan dalam MoU kami tetapkan had masa. Contoh hak sewajarnya kepada Ketua Pembangkang kami minta laksanakan serta merta, ada hingga hujung tahun ini.

 "Yang perlu pindaan Perlembagaan kami beri sampai persidangan pertama tahun hadapan 2022 (Mac). Paling lambat persidangan pertama tahun hadapan. Supaya MoU tidak jadi janji kosong," katanya lagi.

 

No comments: