Dilema Model Ekonomi Baru

"Model Ekonomi Baru" yang bakal diumumkan oleh kerajaan Najib Razak kini berdepan dengan pelbagai rintangan. Menurut perhitungan asalnya, kerajaan cuba mempertingkatkan pendapatan negara melalui kutipan cukai, dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), lantas mengurangkan kebergantungan terhadap pendapatan petroleum.

Oleh kerana GST adalah "cukai tidak langsung" (Indirect Tax), maka lebih mudah untuk kerajaan menyelaraskan pencukaian, berbanding dengan cukai langsung (Direct Tax). Malah, tekanan yang dihadapi kerajaan lebih rendah, maka GST dianggap sebagai salah satu saluran terbaik untuk kerajaan meningkatkan pendapatannya.

Namun demikian, Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang pada asalnya dijadualkan untuk pembentangan bacaan kali kedua dan ketiga dalam Persidangan Dewan Rakyat ini, telah ditentang hebat oleh pembangkang dan golongan peniaga.

GST ditentang hebat

Malah, Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) yang dilihat "berhubungan mesra" dengan kerajaan, turut serta dalam bantahan GST. FMM mengambil kira faktor bahawa kerajaan belum bersedia, jurang pendapatan rakyat melebar, malah ia gagal mengurangkan beban rakyat miskin. Oleh itu, FMM menyimpulkan bahawa kini bukan masanya untuk melaksanakan GST.

Antara alasan yang diberikan termasuklah efisiensi sistem birokrasi yang rendah, sistem pencukaian yang kompleks, meningkatkan beban peniaga dan akan berakhir dengan penambahan beban rakyat.

Penstrukturan semula subsidi

Selain itu, dasar penstrukturan semula subsidi, iaitu mekanisme subsidi bahan api yang pada asalnya akan dilaksanakan mulai 1 Mei tahun ini, telah ditangguhkan berikutan tentangan daripada khalayak ramai, termasuklah pengusaha stesen minyak. Sebagaimana yang diketahui, persiapan mekanisme subsidi ini telah memasuki peringkat terakhir dan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa. Namun, ia terpaksa ditunda kerana akur kepada tekanan rakyat.

Menurut sumber daripada media, Model Ekonomi Baru yang dikemukakan Najib mungkin meniru model subsidi di Indonesia, iaitu memansuhkan subsidi secara beransur-ansur. Maka, dana yang digunakan untuk subsidi akan diagihkan kepada perbelanjaan awam, misalnya subdisi beras untuk keluarga miskin, dana bantuan secara tunai, tabung pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, cadangan untuk memansuhkan subsidi bahan api dijangka akan menerima bantahan pembangkang, dan mungkin juga tentangan daripada golongan menengah bawah, terutamanya golongan menengah yang tinggal di kawasan bandar. Jikalau GST dan pemansuhan subsidi dilaksanakan, maka kerajaan Najib akan berdepan dengan akibat kehilangan undi dalam pilihan raya kelak.

Tiada komitmen daripada pengusaha tempatan

Di samping itu, kerajaan Najib juga gagal mendapat komitmen dan sokongan usahawan tempatan, ketika menggerakkan pembaharuan ekonomi. Misalnya, beliau cuba melakukan anjakan ekonomi dari rantai nilai (value chain) yang berorientansikan kos buruh rendah, kepada rantai nilai ekonomi berpendapatan tinggi.

Misalnya, sejak Perjanjian Perdaganan Bebas (FTA) China-Asean dilaksanakan pada 1 Januari tahun 2010, pengilang tempatan telah mengadu "pengaliran masuk produk China murahan secara besar-besaran", yang mengakibatkan mereka terkapai-kapai untuk menyelamatkan diri. Malah, Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) menyeru agar kerajaan Malaysia meminta kerajaan China untuk mengehadkan eksportnya.

Isu ini sebenarnya mencerminkan sektor pembuatan tempatan masih berada di tahap penghasilan produk bernilai rendah, tapi jelas mereka sudah tidak memiliki kelebihan dalam persaingan. Pada masa yang sama, pengilang tempatan masih enggan berubah. Mereka lebih selesa dengan ekonomi rantai nilai rendah, mengharapkan perlindungan kerajaan, daripada membawa pembaharuan kepada perusahaan mereka.

Oleh kerana sektor pembuatan tempatan lebih bergantung kepada kos buruh yang rendah, lebih-lebih lagi pengilang tidak berminat untuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), maka mereka tetap kekal pada tahap ekonomi rendah. Maka setiap kali apabila berdepan dengan persaingan luar, mereka akan meminta kerajaan untuk melindungi mereka melalui subsidi.

Masalah struktur ekonomi

Pada dasarnya, apa yang disebut di atas adalah masalah struktur yang perlu ditangani segera. Namun, terdapat kumpulan berkepentingan tertentu yang berselindung di sebalik masalah struktur ini. Apa yang lebih merunsingkan Najib adalah, masalah ini bersangkut-paut antara satu sama lain, dan mustahil untuk ditangani hanya dengan rombakan secara selektif mahupun pembaikan sebahagiannya.

Misalnya, sekiranya kerajaan Najib ingin memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, maka dasar perlindungan terhadap sektor yang kehilangan daya saing perlu dimansuhkan, memberi laluan kepada proses penyingkiran mereka yang lemah dalam pasaran bebas.

Namun demikian, sektor ini melibatkan dasar afirmatif untuk bumiputera. Seandainya kerajaan Najib tunduk kepada desakan pertubuhan yang membela hak dan kepentingan kaum Melayu, dan melaksanakan pembaharuan yang "double standard", iaitu memansuhkan dasar perlindungan sementara mengamalkan dasar perlindungan terhadap kaum Melayu, maka transformasi ekonomi ini bakal berakhir dengan kegagalan.

Selain itu, untuk memastikan pembaharuan terlaksana dalam sektor labour intensive industries, maka kerajaan Najib perlu tegas dalam isu pengambilan pekerja asing. Antara langkahnya termasuklah mewajibkan had pengambilan pekerja asing (di semua bidang), malah mungkin perlu menjalankan operasi penangkapan pekerja asing secara besar-besaran di seluruh negara.

Sukar mencapai matlamat

Langkah sedemikian akan mendatangkan kesan negatif yang besar terhadap sektor pembinaan dan perladangan. Seandainya kerajaan Najib tunduk kepada tekanan peladang dengan memberikan kelonggaran kepada mereka, maka ia bakal mengundang ketidakpuasan sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan. Tidak mustahil kalau pengusaha sektor-sektor ini membawa masuk pekerja asing atas nama "perladangan", yang pastinya akan mengundang masalah yang lebih besar.

Tapi, jikalau kerajaan Najib bertindak adil untuk semua sektor dalam isu mengehadkan pengambilan pekerja asing, maka kerajaan perlu memastikan buruh yang mencukupi disediakan untuk memenuhi pasaran. Isu ini melibatkan penetapan gaji minima, iaitu menarik pekerja tempatan dengan gaji yang lebih tinggi, untuk memenuhi kekosongan yang ditinggalkan pekerja asing.

Persoalan pertamanya, adakah pengusaha tempatan bersedia untuk menyokong sistem gaji minima? Keduanya, apakah pekerja tempatan menerima syarat yang dikenakan majikan tempatan, iaitu bekerja untuk tempoh yang panjang tanpa rungutan (syarat yang dikenakan ke atas pekerja asing sebelum ini)? Walaupun insentif diperuntukkan untuk pengusaha tempatan yang mengambil pekerja tempatan, tapi seandainya pekerja tempatan gagal memenuhi keperluan majikan (misalnya sikap bekerja), maka majikan tetap akan menolak pengambilan pekerja tempatan dengan pelbagai alasan.

Kerajaan Najib kini berada dalam dilema, antara pembaharuan ekonomi dengan tekanan kumpulan berkepentingan. Demikianlah cabaran yang dihadapi oleh Perdana Menteri Najib Razak. Reformasi secara keseluruhan bermakna menentang terus kumpulan berkepentingan. Namun, seandainya Najib memilih untuk mengimbangi kepentingan antara kedua-duanya, maka pembaharuannya itu pula akan terperangkap dalam dilema.

MR
18/03/10

No comments: