UMNO ulangi retorik Ketuanan Melayu

"Tun Tan Siew Sin katakan bahawa, orang Melayu menerusi UMNO, bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini, sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90% penduduk bukan Melayu telah menjadi warga negara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka, di mana 90% daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah penjajahan."

Lim Hong Siang, Merdeka Review

Sebagaimana yang diduga, UMNO menjadikan retorik "Ketuanan Melayu"-nya sebagai "senjata" utama ketika menyerang calon PKR dalam PRK Hulu Selangor, Zaid Ibrahim. Malah, pemimpin UMNO dari Johor, Rusdi Amir meniru cara Timbalan Pengerusi BN Selangor, Noh Omar membacakan kenyataan bekas pemimpin MCA dan MIC, meskipun Noh Omar pernah memohon maaf kepada komuniti Cina kerana tindakannya itu. 【Noh Omar: Saya akan minta maaf kalau menyinggung】
Antara tuduhan yang dilemparkan terhadap Zaid Ibrahim termasuklah memperlekehkan konsep Ketuanan Melayu, "orang luar", mempertahankan Teresa Kok yang kononnya patut ditahan di bawah ISA, si katak yang melompat dari UMNO ke PKR.
Kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh Khalid Ibrahim, diserang sebagai "tidak mengotakan janji dalam manifesto PRU ke-12", lantas PKR yang asalnya Parti Keadilan Rakyat disindir sebagai Parti Kelentong Rakyat. Pertukaran kerajaan pada 16 September 2008, iaitu janji Anwar Ibrahim yang tidak tertunai, juga antara tajuk yang dibangkitkan untuk menyerang Pakatan Rakyat.

Demikianlah kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan dalam satu ceramah politik yang bertemakan "Penipuan Pakatan Rakyat", pada jam 9 malam di kawasan lapang Bilik Gerakan UMNO cawangan Pekan Kerling, semalam. Ceramah ini dihadiri kira-kira 150 orang, lebih kurang jikalau dibandingkan dengan satu ceramah anjuran Pakatan Rakyat, diadakan di sebuah padang yang tidak jauh dari situ.

"Menteri yang mendatangkan masalah"

Rusdi Amir mempertikaikan Zaid Ibrahim yang bukan lahir di Hulu Selangor, "Siapa dia? Tinggal di mana? Berbanding dengan calon kita yang tinggal di Rawang..."

"Kita lihat kembali, bagaimana Zaid di dalam kabinet dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, oleh Pak Lah, dialah satu-satu menteri yang mendatangkan masalah dalam kabinet," sambungnya.
Zaid Ibrahim meletak jawatan sebagai Menteri pada September 2008, sebagai bantahan terhadap keputusan kerajaan untuk menahan beberapa orang di bawah ISA, termasuklah EXCO Senior Selangor, Teresa Kok (gambar kiri), blogger terkenal Raja Petra Kamaruddin, wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.

"Konon-kononnya di atas prinsip letak jawatan. Tahu dia letak jawatan sebenarnya untuk apa? Sebab, penahanan Teresa Kok sahaja. Bukan sebab apa pun. Bukan sebab UMNO merosakkan rakyat dan sebagainya, kalau begitu mungkin kita boleh terima, dari sudut logiknya. Tapi sebab, konon-kononnya penahanan Teresa Kok yang ternyata layak ditahan di bawah ISA," sindirnya, sebelum melontarkan soalan, "Inikah yang ingin kita jadikan pemimpin kita?"
"Mungkin pelbagai sebab, atau pun alasan kita boleh tolak Zaid Ibrahim ini ketika kita membuang undi satu ketika nanti pada 25 haribulan. Saya percaya, yang hadir di sini adalah pencinta-pencinta kedamaian, pencinta-pencinta keharmonian yang diasaskan oleh Barisan Nasional, iaitu UMNO, MCA, Gerakan dan MIC," katanya.

Empat faktor menolak Zaid

"Apa alasan lagi yang kita nak menolak Zaid Ibrahim? Yang pertama, saya melihat di sini majoriti orang Melayu. Saya tidak bermaksud untuk bersifat perkauman di sini. Zaid Ibrahim ini, merupakan seorang yang telah memperlekehkan Ketuanan Melayu berteraskan keharmonian yang dibentuk oleh kerajaan Barisan Nasional selama ini. Ini Zaid Ibrahim," kata Rusdi.

Beliau menjelaskan, "Buktinya, kita boleh buka balik rekod, ketika Persidangan Law Asia, persidangan Undang-undang Asia pada tahun 2008, bagaimana di dalam ucapannya, Zaid Ibrahim telah mengatakan bahawa Ketuanan Melayu ini satu perkara yang amat karut sekali. Ini kata-kata Zaid Ibrahim."
"Kakak-kakak, ibu-ibu nak pilih macam ni lagi? Esok tak tau apa lagi dia buat?" tanya Rusdi.

Rusdi menambah, "Dia juga yang mempertikaikan Dasar Ekonomi Baru yang telah dicetuskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak. Ni manusia-lah dia. Manusia tak dapat tempat dalam UMNO yang tersingkir, terbuang, akhir dia jilat luka, isi borang, dapat jadi ahli PKR, jadi calon pula."

"Katak yang melompat"

"Faktor yang kedua, kita boleh fikir-fikirkan, kenapa kita tidak perlu letakkan nama Zaid Ibrahim ini di kotak minda kita. Si katak lompat ni sebenarnya. Dia lompat sana dia lompat sini, dia menyalak sana dia menyalak sini, semata-mata kerana tak dapat tempat dan jawatan. Dia bukan berjuang. Kalau orang yang berjuang, mempunyai prinsip perjuangan, memperjuangkan rakyat, memperjuangkan masyarakat, memperjuangkan partinya, saya pasti dia tidak akan melompat-lompat begitu. Katak si katak melompat," kata Rusdi.
Rusdi (gambar kanan) meneruskan ucapan dengan faktor ketiganya, "Saya berdiri di sini sebagai seorang Malayu walaupun daripada parti Barisan Nasional, tetapi sebagai seorang Melayu saya juga tersentuh apabila dia memperlekehkan Ketuanan Melayu berdasarkan keharmonian kaum ini."

"Yang keempat, yang amat penting, Si Zaid ini bukanlah orang Hulu Selangor. Tak tau Kelantan mana, dia mari sini nak jadi pemimpin sini. Itu dia Zaid Ibrahim. Dia sebut namanya pun, mungkin tak tahu nak sebut dengan jelas ejaan tu. Zaik Ibrahim," ejek Rusdi yang datang dari Johor.

Memetik hujah Tan Siew Sin

Rusdi kemudiannya mengulas, "Kita melihat juga kepada kedudukan parti Barisan Nasional sendiri yang memimpin kita selama 50 lebih tahun. Saya fikir tuan-tuan dan puan-puan sekalian, amat yakin dengan keutuhan Barisan Nasional ini, kerana Barisan Nasional ini dibina di atas satu kesedaran, satu landasan untuk membela rakyatnya itu. Meskipun kita berlainan bangsa, tetapi kita duduk dalam satu penyatuan yang benar-benar bersatu, yang benar-benar bertolak ansur sesama kita sendiri."

"Kalau saya boleh berkongsi, apa yang telah diasaskan oleh pemimpin-pemimpin MCA dan MIC ketika itu. Sebab ini sejarah pada ketika itu. Apa yang telah diungkapkan oleh Presiden MIC (tersilap, sebenarnya MCA), oleh Tun Tan Siew Sin pada ketika itu," kata Rusdi.

"Saya ingin bacakan. Ingin berkongsi dengan tuan-tuan. Apa luahan hati MCA terhadap orang Melayu terhadap UMNO. Dan ini yang menjadi asas kepada perjuangan MCA, MIC, rakan di dalam Barisan Nasional. Dia katakan bahawa...ini dipetik melalui satu pernyataan sejarah, yang saya perolehi."

Beliau meneruskan, "Tun Tan Siew Sin katakan bahawa, orang Melayu menerusi UMNO, bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini, sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90% penduduk bukan Melayu telah menjadi warga negara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka, di mana 90% daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah penjajahan."

"Sebagai membalas kemurahan hati Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan pada masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum yang lain. Ini asas MCA dan MIC."
Kemudian, beliau menuding jari kepada PR, "Segala apa yang berlaku pada hari ini, yang mencabar hak istimewa orang Malayu datangnya daripada si pengkhianat-pengkhianat PKR. Kaki kencing semua ni."
"Mereka (PR) yang mencetuskan ketegangan kaum di negara ini dan mereka yang sepatutnya kita singkirkan daripada landasan politik di negara pada hari ini, tuan-tuan dan puan-puan. Kita buktikan di Hulu Selangor pada hari ini, bahawa mereka tidak layak untuk memimpin."

Memetik hujah V.Sambathan

"Apa pula yang dikatakan oleh pemimpin MIC pula? Saya berkongsi dengan tuan-tuan. Pada 1965, Tun Sambathan, ini sejarah, kita tak boleh nafikan. Ini asas perjuangan MIC pada hari ini. Ia katakan bahawa, saya baca satu persatu..."

"Pada tahun 1955, kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi. Selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian. Dalam jangka masa itu, kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan. Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh orang Melayu, memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman. Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu? Mereka mempunyai 88% daripada pengundi penyokong mereka, apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan?"

"Ini, kaum India bercakap. Bertanya kepada orang Melayu. Kemudian dia berkata lagi, jika kita lihat, di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon, dan juga tidak akan diterima di Burma. Dan lihat saudara kita kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan negara-negara lain. Dan apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka perolehi di semua wilayah tersebut? Di Burma, seperti yang kita semua maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon, mereka tidak diberi taraf kewarganegaraan seperti juga di Burma."

"Saya tahu dan anda juga tahu. Dan dalam pada itu, apa yang sedang berlaku di Malaysia? Ini diakui oleh India. Di sini kita mendapati, pemimpin Melayu berkata, kita akan menerima mereka sebagai saudara. Kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini. Kita akan memberi mereka peluang untuk menjadi warga negara. Dan seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa Melayu, ribuan orang India, Cina dan Ceylon jadi warga negara."

"Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di manakah mereka boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan santun dan tatatertib daripada bangsa Melayu? Di manakah anda boleh dapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia, saya bertanya kepada anda, ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10% kaum minoriti di sini, tapi saya amat gembira di sini. Ini kata-kata pemimpin MIC. Dan inilah yang menjadi landasan dan asas perjuangan mereka."

Rusdi mengakhiri ucapannya dengan keluhan, "Apa yang berlaku selama dua tahun yang lepas, apa yang berlaku di Selangor ini khususnya, kadang-kadang sedih juga, bila melihat tanah milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dirampas dengan rakus oleh jahanam-jahanam di situ. Tanah tersebut dibangunkan dengan institusi pengajian, kita memberi peluang pendidikan kepada anak-anak kita. Tetapi mereka rampas sewenang-wenangnya, kerana dek, cukai tak bayar...yang pada asalnya mereka bersetuju untuk memberi pengecualian."

Janjikan bulan dan bintang

Sebelum ucapan diteruskan oleh Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, pengacara ceramah sempat menghangatkan suasana dengan membacakan manifesto PKR pada PRU ke-12, yang mencakupi janji potong cukai pintu di Selangor, elaun tadika RM50 setiap orang, elaun khas untuk ibu tunggal, bantuan kewangan anak muda berkahwin, sewa percuma sekurang-kurangnya tiga bulan pertama di premis kerajaan negeri dan sebagainya, sambil menyelar bahawa janji-janji tersebut tidak ditunaikan.

"Ini parti pakatan rakyat-kah, DAP kah, PAS tidak laku di Sabah," dakwa Musa Aman, disambut dengan sorakan, "Bukan saya nak kata orang Sabah bijak, tetapi rakyat Sabah tahu menilaikan mananya parti yang benar dan parti mana yang bohong?"

Sambil mengungkit dakwaan Anwar Ibrahim bahawa pertukaran kerajaan persekutuan akan berlaku pada 16 September 2008, yang tidak direalisasikan akhirnya, Musa Aman berkata "Kami kata tunggulah, tunggulah, ini pembohong ni. Tunggulah 16 September, tidak ada yang melompat, apa yang melompat, sekarang dia punya MP-MP (ahli parlimen), ADUN yang melompat."

Beliau cuba menyuntik semangat kepada penyokong BN Selangor, yang kehilangan kuasa kerajaan negeri Selangor dalam PRU ke-12, "This is the starting point (Ini titik permulaan), menangkan Hulu Selangor ini, the rest will be history (selainnnya akan menjadi sejarah). Percayalah, you menang Hulu Selangor ini, you akan menang semua. Pasal rakyat sudah tahu, rakyat sudah tahu menilai mana yang baik mana yang buruk. Mana yang padi, mana yang beras, mana yang intan, mana yang kaca atau batu."
"Parti pembangkang, atau parti Pakatan Rakyat ini batu semua ni. Kitalah intan berlian yang baik, yang menunaikan janji," katanya.

Malah, Musa Aman sempat menyindir PR sebagai "kelentong sana kelentong sini", "dia mau janji bulan dan bintang, apa bulan dan bintang? Apa pun tak ada!"

Merdeka Review
19/04/10

No comments: