AES Bermotifkan Keuntungan Jika Diswastakan
AES tidak wajar diswastakan kerana boleh menimbulkan persoalan di
kalangan rakyat sama ada ia bermotifkan keuntungan-Tan Sri Musa Hassan
SHAH ALAM – Perkara-perkara yang membabitkan pelaksanaan
undang-undang seperti kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tidak
wajar diswastakan kerana boleh menimbulkan persoalan di kalangan rakyat
sama ada ia bermotifkan keuntungan, kata bekas Ketua Polis Negara, Tan
Sri Musa Hassan.
Justeru, kata beliau, dalam keadaan sekarang penerangan yang
terperinci harus dilakukan supaya rakyat benar-benar faham berkenaan hal
itu dan tidak menimbulkan persepsi yang bukan-bukan.
“Sepatutnya benda-benda seperti penguatkuasaan
kita tidak boleh swasta tetapi oleh kerana sudah dibuat begitu, jadi
saya harap ini harus dimulakan dengan memberi pendidikan kepada orang
ramai terlebih dahulu kerana mereka takut sekiranya sistem ini hanya
untuk mendapatkan keuntungan bagi pihak syarikat. Itu kita kena
beritahu. Itu penting,” jelas beliau.
Projek AES dianugerahkan kepada syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES
Sdn Bhd.Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, projek AES
diberikan kepada syarikat berkenaan pada tahun 2008.Projek AES ini
menimbulkan reaksi pelbagai pihak sama ada di kalangan pemimpin
kerajaan, pembangkang dan tidak kurang juga rakyat yang tidak berpuas
hati dengan pelaksanaan sistem terbabit.
Oktober lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng
mengumumkan, empat kerajaan negeri yang ditadbir pakatan pembangkang
iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor bersetuju menangguhkan
untuk pemasangan AES.
Katanya, pemasangan 331 kamera AES yang dicadangkan di empat negeri
terbabit, seharusnya mendapat kelulusan pihak berkuasa di peringkat
kerajaan negeri terlebih dahulu.Esok kerajaan negeri Selangor akan
menutup dua kamera AES di Kilometer 6.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan
(SKVE) dan berhampiran jalan Bangi ke Cyberjaya.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata,
tindakan itu ekoran kegagalan kementerian yang bertanggungjawab memberi
respon kepada surat yang dihantar oleh Majlis Perbandaran Sepang
(MPSepang).Kerajaan Negeri Selangor menyifatkan kamera AES dipasang
sewenang-wenangnya dan tidak mengikut pemerhatian, analisis dan kajian
oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
No comments:
Post a Comment