Najib minta semua rakyat berkorban. Dia bila pula nak berkorban? — Aspan Alias

September 16, 2012
16 SEP — Saya ingin menyambung posting saya siang tadi dan saya masih mahu menyebut tentang bagaimana pentingnya perlembagaan negara dihayati dan dijunjung oleh semua. Perlembagaan itu memberikan jaminan kepada semua rakyat untuk hidup aman dan damai dikalangan semua rakyat berbilang kaum. 

Perlembagaan itulah yang menjaga segala-galanya untuk sebuah negara dan rakyat yang merdeka. Apabila ada kerajaan yang berpelembagaan maka tentulah ada undang-undang untuk menjamin keselamatan bagi semua pihak untuk melakukan apa yang boleh dilakukan oleh perlembagaan serta undang-undang itu sendiri maka ia bukanlah negara yang bertamaddun. 

Hishamuddin Hussein semalam berkata yang kerajaan tidak menjamin keselamatan penggerak dan penjelajahan pembangkang. Sebagai seorang menteri yang menjaga keselamatan negara, jika keselamatan untuk menjauhi tindakan membaling cat dan kerja mensabotaj kegiatan siasah mana-mana pihak maka beliau adalah seorang menteri yang tidak bertanggungjawab atau pun tidak mengetahui tanggungjawab yang terbeban keatas bahu beliau. 

Hisham tahu yang melakukan kerja-kerja hina itu adalah penyokong Umno yang beliau menjadi pemimpin besarnya. Jika untuk menjaga keselamatan sebuah bas dan program parti-parti politik pun tidak ada kesanggupan bagaimana rakyat hendak meletakkan harapan untuk keselamatan negara keseluruhannya? Hisham tahu yang penyokong Umno akhir-akhir ini mempunyai moral yang rendah. Beliau sepatutnya bertanggungjawab untuk memperbaiki keadaan ini. Hisham tahu yang Umno memang suka mensabotaj. perbuatan pihak lain termasuk mensabotaj calon mereka sendiri. 

Sebelum pilihanraya ahli-ahli Umno akan sabotaj program parti-parti pembangkang, tetapi apabila sampai waktu pilihanraya mereka akan sabotaj parti dan calon partinya sendiri. Ahli-ahli Umno serta penyokongnya sememangnya mempunyai ‘attribute’ yang buruk ini. Justeru adalah tidak wajar lagi parti ini untuk terus di berikan mandat kerana parti ini tidak mahu menjamin keselamatan rakyat yang ingin melaksanakan kehidupan biasa dalam sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. 

Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada hari ini elok kita melakukan segala introspeksi terhadap kita sendiri samada kita ini benar-benar berada di dalam sebuah negara yang aman dan selamat untuk hidup. 
Semalam juga kita mendengar ucapan PM Najib semasa merasmikan perwakilan Umno bahagian Pekan. Beliau melandaskan ucapan beliau kepada agama dan tuntutanNya. Kata beliau jika Umno tidak bersatu segala usaha Umno tidak akan di berkati Tuhan. 

Najib berkata pemimpin wajib berkorban untuk kepentingan negara dan bangsa. Najib juga memberi ingatan yang Melayu hancur lebur jika Umno diketepikan dan banyak lagi nasihat yang beliau berikan. Semuanya bersandarkan kepada kehendak Tuhan dan agama. 

Tetapi persoalannya adakah Najib dan kumpulan pimpinan hari ini bersedia untuk berkorban? Bersediakah Najib berhenti dan bersara kerana kepimpinan beliau merupakan kepimpinan yang paling di ragui oleh rakyat. Jika dulu orang berkata yang kepimpinan Pak Lah merupakan kepimpinan yang paling buruk tetapi kita sekarang sedar yang kepimpinan Najib sendiri adalah yang lebih buruk dalam sejarah negara.  Kalau tidak masakan beliau sendiri mengakui yang pilihanraya kali ini merupakan pilihanraya yang paling sengit yang di hadapi oleh Umno. 

Tidak kah pimpinan Najib dan kumpulan mereka ini sedar yang mereka perlu melakukan pengorbanan seperti yang di sebutkan Najib itu? Apa yang rakyat mahu Najib berkorban ialah untuk menahan nafsu menggunakan kedudukan beliau untuk memerah rakyat. Jika harga kontrak MRT Ampang itu berharga RM1.1 billion biarkan lah harga itu bertahan setakat itu. Janganlah memberikan kontrak itu kepada kroni beliau dengan harga yang di tambah sampai RM1.8 billion. 

Kerja seperti ini bukan Najib yang berkorban. Kerja ini merupakan kerja mengorbankan rakyat. Begitu juga dalam isu Scorpene yang pada asalnya berharga lebih kurang RM3.8 billion akhirnya dibeli barangan pertahanan itu dengan harga RM7.6 billion. Apakah ini pengorbanan Najib. Sebaliknya rakyat lah yang selalu berkorban untuk pemimpin-pemimpin rakus di negara ini. 

Cakap-cakap berkorban yang diluahkan oleh Najib itu memedihkan telinga yang mendengarnya kerana Najib beranggapan yang semua rakyat boleh di perbodohkan dengan retorik liar dan kata-kata seperti ini tidak lagi laku kepada mereka yang tahu apa yang sebenarnya berlaku. Mungkin beliau boleh bercakap di Pekan tetapi janganlah hendak beliau bercakap di tempat lain. 

Dalam dua isu dari yang banyak-banyak itu, saya ingin bertanya kepada Najib samada Tuhan marah atau tidak kepada beliau. Jika beliau berkata Tuhan marah kepada pimpinan yang tidak jujur, agaknya Tuhan marah atau tidak kepada siapa yang bertanggungjawab memerah wang rakyat dalam jumlah berbillion untuk kroni dan diri mereka. Tidak ada pula dalam sedikit yang saya tahu tentang agama ini Tuhan memberikan ‘exemption’ kepada setengah manusia seperti PM dan Menteri Pertahanan negara Malaysia. 

Adakah Najib berfikiran membeli kelengkapan untuk pertahanan negara dengan harga yang tinggi dengan menggunakan wang rakyat dan mendapat komisyen yang ratus kali ganda itu hanya salah kepada orang lain dan tidak terhadap beliau dan kroni beliau? 

Itulah sebabnya rakyat tidak lagi memberikan penghormatan kepada kepimpinan sekarang. Alasan yang Melayu akan hilang di dunia ini jika Umno tidak dikekalkan berkuasa itu merupakan retorik yang sudah basi. Najib mesti berfikir yang Melayu wujud lebih lama dari Umno. Sebenarnya keadaan itu adalah terbalik. Jika Umno masih mahu memimpin Melayu Umno mesti berubah secara ‘drastic’. Barisan pimpinan  sekarang wajar meletakkan jawatan dan serahkan kepada ahli-ahli untuk memilih barisan kepimpinan baru. 

Sekaranglah waktunya kalau Najib benar-benar hendak menunjukkan yang beliau melakukan apa yang beliau katakan iaitu BERKORBAN! Jangan hanya pandai mengorbankan rakyat sedangkan beliau sedikit pun tidak mahu berkorban untuk negara dan rakyat yang sangat diperlukan oleh mereka sekarang. 
Bagaimana pun rakyat tetap mahu menjaga negara yang merdeka ini dan mereka (rakyat) bertanggungjawab untuk memilihara negara dengan memberikan peluang kepada kumpulan pilihan. Ini sahajalah caranya untuk kita memilihara negara dan rakyat dan hentikan memberikan sokongan kepada pihak yang telah terlalu lama memerintah yang kini boleh dikatakan sebagai kumpulan yang kufur nikmat itu. Ramai yang percaya jika Najib melakukan pengorbanan bersama-sama berisan kepimpinnya dengan bersara sahaja maka ia merupakan satu nikmat yang bakal di alami oleh rakyat yang sedang dalam pencarian sekarang ini.

Kita pelihara negara kita dan di ucapkan Selamat Hari Malaysia yang ke 49 tahun. — aspanaliasnet.blogspot.com

No comments: