Anwar: Kutuk Israel tapi ISA tidak dihapuskan

Walaupun mengutuk pencabulan Israel terhadap hak asasi manusia, kerajaan didakwa tidak konsisten menyatakan sikapnya berhubung prinsip itu, antaranya kerana terus menggunakan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA).

“Oleh itu, manakala kita mengutuk tindakan Israel yang mencabuli hak asasi manusia dan beberapa piagam penting seperti Deklarasi Hak Asasi Sejagat dan Konvensyen Geneva, janganlah pula hak asasi di Malaysia diceroboh.

“Kerajaan Malaysia juga semestinya konsisten di dalam menyatakan sikap,” kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dari sudut esensinya, Pakatan Rakyat menentang dan mengutuk sebarang bentuk kezaliman walau di mana ianya berlaku dan siapapun pelakunya, baik ianya (dilakukan) Israel, Amerika Syarikat, mahupun oleh rerajaan Malaysia,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang khas Parlimen mengenai Gaza bagi membela nasib rakyat Palestin yang kini menderita akibat serangan rejim Israel ke atas mereka.

Membahaskan lanjut perkara itu, Anwar berkata, sudah tiba masanya, akta kontroversi ISA yang disifatkannya sebagai “undang-undang kuku besi” dihapuskan.

Anwar turut mengambil peluang itu mengkritik penahanan 21 orang termasuk ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan beberapa pemimpin Parti Sosiallis Malaysia (PSM) dalam satu perhimpunan anti-perang di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Mangsa perang
“Tindakan kerajaan menahan serta menghentikan demonstrasi secara aman pada 10 Januari lalu dilihat bermuka-muka ketika kerajaan menghentam Israel dan menyeru negara lainnya menyuarakan bantahan terhadap penindasan yang berlaku; akan tetapi bertindak menahan serta menghentikan demonstrasi secara aman pada 10 Januari lalu,” kata Anwar.

Upacara itu dianjurkan oleh Gabungan Anti-Perang sebagai tanda sokongan kepada mangsa perang di Palestin dan Sri Lanka.

Antara mereka yang ditahan ialah Presiden PSM, Dr Nasir Hashim dan setiausaha S Arutchelvan serta beberapa aktivis dari Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit). Mereka dipercayai disiasat kerana menyertai perhimpunan haram.

Anwar, bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi kerana menunjukkan komitmen beliau terhadap krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza itu.

“Sidang khas (Parlimen) seperti ini amatlah penting bagi kita menyatakan sikap terhadap kekejaman yang berlaku. Pakatan tuntas memperjuangkan keadilan dan menentang kezaliman baik di dalam mahupun di luar,” kata beliau yang juga ketua umum PKR.

Selain mengkritik Amerika Syarikat yang memberikan bantuan ketenteraan dan kewangan kepada Israel, Anwar - sambil memetik novelis terkenal Gotthold Ephraim Lessing dalam “Nathan yang Bijaksana” (Nathan the Wise) - positif dengan usaha pendamaiaan di rantau itu:

“Dalam sekian banyak perbezaan pastinya ada satu titik pertemuan. Dan sudah tentulah rasa kemanusiaan itu salah satu daripada sekian banyaknya persamaan di antara kita,” tegas Anwar.

malaysiakini
13/01/09

No comments: