Siapa yang benarkan Hasan Ali untuk terus bermaharajalela?

Josh Hong | Aug 08, 2011 06:15:46 pm

Merdeka Review

Pada tahun 1846, parlimen Britain meluluskan pemansuhan Corn Laws (The Abolition of the Corn Laws), yang menjurus kepada perdagangan bebas. Sistem perlindungan (protectionism) yang kompleks telah menjurus kepada politik oligarki di Britain. Meskipun kos penghasilan bijirin adalah murah di benua Eropah, namun Corn Laws telah mengenakan cukai yang tinggi, sehingga rakyat terpaksa membeli produk pertanian dengan harga yang tinggi dalam negara. Situasi ini agak menyerupai projek kereta nasional di Malaysia - politikus dan kroninya dimanfaatkan, rakyat pula yang membayar untuknya.

Sebelum ini, perbahasan untuk memansuhkan cukai atau tidak telah menyebabkan kabinetnya retak menanti belah. Pada tahun 1841, Perdana Menteri ketika itu, Lord Melbourne memberi peringatan kepada rakannya dalam kabinet, "... seperkara lagi yang belum kita capai muafakat, iaitu apakah kenyataan kita? Adakah meninggikan harga bijirin, atau menurunkan harga, atau kekal tidak berubah? Saya tak kisah, tapi kita mesti mengeluarkan kenyataan yang selaras."

(Bye the bye, there is one thing we haven't agreed upon, which is, what are we to say? Is it better to make our corn dearer, or cheaper, or to make the price steady? I don't care which: but we had better all tell the same story.)

Dari kaca mata ramai pakar perlembagaan Britain, kata-kata Lord Melbourne di atas mencerminkan sepenuhnya prinsip kebertanggungjawaban bersama (collective responsibility). Dalam kerangka sistem raja berperlembagaan, kabinet yang selaras pendiriannya bukan sahaja memaksa pembangkang untuk bekerja lebih keras, malah mampu menghalang campur tangan raja dalam politik.

Pada hakikatnya, kebertanggungjawaban secara kolektif wujud untuk mengelakkan campur tangan Raja Britain ke dalam kabinet ketika itu. Misalnya, George III pernah beberapa kali mengambil kesempatan ke atas perbezaan pandangan antara wakil rakyat, malah cuba untuk melantik orangnya ke dalam kabinet. Namun, dalam kerangka sistem raja berperlembagaan, raja wajib berkecuali dalam hal ehwal politik. Maka kabinet yang utuh mampu menghalang campur tangan dari kerabat raja.

Kabinet BN tidak selaras

Namun demikian, semangat kebertanggungjawaban bersama ini berubah bentuknya ketika sampai di bumi Malaysia. Ekologi politik Malaysia yang istimewa ini memperlihatkan "pertembungan" antara menteri kabinet yang mewakili parti kaum masing-masing. Dari isu pendidikan bahasa ibunda, sehinggalah dasar agama - perbezaan pandangan dalam kabinet adalah sesuatu yang lumrah.

Malah, ketika pergelutan kuasa berlaku dalam parti, bukanlah sesuatu yang aneh apabila mereka yang berasal dari parti yang sama saling bercakaran. Misalnya, apabila Perdana Menteri Najib Razak melaungkan slogan "1Malaysia"-nya, Timbalannya Muhyiddin Yassin pula menegaskan bahawa dirinya mendahulukan identiti sebagai Melayu.

Selama ini, kabinet di Malaysia tidak sesuai untuk ahli politik yang berprinsip. Menteri kita pun nampaknya bukan terkenal atas prinsip - Hishammuddin Hussein, Ng Yen Yen dan Liow Tiong Lai, malah Ong Ka Ting, Ong Tee Keat dan Chua Jui Meng yang pernah terkenal untuk seketika, juga tidak meninggalkan apa-apa "idea" yang disanjung tinggi.

Justeru itu, ramai yang tertanya-tanya apabila Zaid Ibrahim meletakkan jawatan Menteri Jabatan Perdana Menteri beliau kerana membantah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh kerajaan Abdullah Ahmad Badawi tiga tahun yang lalu. Keberanian ini jarang-jarang dilihat dalam Barisan Nasional, sungguhpun sikap "kedegilan" Zaid Ibrahim menjadi "cerita lain" kemudiannya.

Namun, kemunculan teknologi dan media baru menyukarkan kabinet untuk mengekalkan imej "pendirian yang selaras". Perbezaan pandangan wujud antara Mahathir dengan Timbalannya Musa Hitam dalam isu kereta nasional dan projek mega, ketika Mahathir baru sahaja mengambil alih tampuk kerajaan. Mahathir meminda pelbagai akta untuk menutup keretakan dalam parti - sehingga gagal ditutup lagi pada akhirnya.

Bekukan jawatan rasmi Hasan Ali

Nasib Najib tidak sebaik Mahathir. Percambahan Facebook dan Twitter menyukarkan lagi cubaan untuk menyekat berita-berita negatif. Keterlanjuran mana-mana anggota kabinet akan tersebar secara meluas dalam ruang internet, dalam masa yang singkat.

Bukan sahaja kerajaan persekutuan yang terasa bahang impak teknologi dan media baru, malah parti pembangkang dan beberapa kerajaan negeri yang dikuasainya juga perlu lebih berhati-hati dan peka terhadap senario politik sedemikian. Dalam isu serbuan JAIS ke majlis makan malam muhibbah di Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya baru-baru ini, Hasan Ali yang memegang portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, sekali lagi bercanggah pandangan dengan barisan kabinet negeri. Malah, Hasan Ali secara terbuka bertentangan pendirian dengan Menteri Besar dalam isu ini.

Hasan Ali tetap dikekalkan di situ, biarpun berkali-kali beliau bercanggah kenyataannya dengan barisan EXCO kerajaan Selangor. Mereka yang mendahagakan politik baru mula mengeluh, sesungguhnya bukanlah rahsia untuk BN menaungi kroninya. Namun, mengapa pula kerajaan Pakatan Rakyat turut gagal menyerlahkan kesungguhannya?

Hasan Ali membela JAIS dengan mendakwa bahawa JAIS berkuasa untuk menyiasat desas-desus di mana pihak gereja cuba menyebarkan agamanya kepada muslim. Namun, pendekatan yang digunakan, dengan sebegitu kasar - adalah sesuatu yang tidak boleh diwajarkan. Islam mendukung keadilan, malah tidak menyerang kediaman dan rumah ibadat kafir walaupun ketika berperang. Tindak-tanduk JAIS bercanggah dengan ajaran Islam, malah menonjolkan keangkuhan pegawai penguatkuasa. Apa bezanya fikrah Hasan Ali, dengan hegemoni kuasa UMNO?

PAS mungkin enggan berbalah dengan Hasan Ali (gambar kiri) kerana ingin menjaga hati penyokong tradisionalnya. Namun, tindak-tanduk Hasan Ali untuk bersuara menggunakan media kawalan UMNO jelas memperlekehkan disiplin dalam parti, dan semestinya menjejaskan imej pembaharuan yang ingin ditonjolkan PAS baru-baru ini.

Jika dilihat senario terkini, pimpinan tertinggi UMNO jelas telah berputus asal untuk meraih sokongan pengundi Cina, sebaliknya memilih untuk mengukuhkan sokongan India dan meningkatkan sokongan Melayu. Mewujudkan suasana krisis dengan mempermainkan isu agama adalah taktik biasa yang digunakan oleh UMNO, misalnya isu pemakaian "tengkolok bersalib" oleh Tengku Razaleigh dalam PRU pada tahun 1990. Justeru, tidak pelik seandainya tindak-tanduk JAIS ini disokong oleh UMNO. Apa yang pelik, orang PAS pula yang menari mengikut rentak ini!

Tidak memadai untuk PAS Selangor yang sekadar menuntut penjelasan Hasan Ali, mahupun kritikan Lim Kit Siang bahawa beliau tidak mempunyai semangat berpasukan. Ini kerana mana-mana parti politik atau kerajaan yang menegaskan politik baru, tidak akan menggadaikan prinsip kebertanggjawaban secara kolektif dalam kabinet, semata-mata untuk memberi laluan kepada anggota yang mahu mengaut kepentingan politik sendiri. Sebelum kebenaran ditemui sepanjang siasatan, jawatan EXCO Hasan Ali perlu dibekukan.

Khalid Ibrahim perlu berani

Sebagai seorang Menteri Besar, Khalid Ibrahim perlu menunjukkan keberaniannya untuk membuat keputusan tegas, memancung mana-mana yang perlu - dan bukannya seperti Najib yang teragak-agak apabila berdepan dengan kuasa konservatif dan ekstremis. Ronnie Liu, EXCO yang kredibilitinya dipertikaikan; Hasan Ali, EXCO yang pendiriannya tidak selaras dengan pendirian bersama kabinet negeri, malah halatuju pentabiran kerajaan negeri. Namun, kedua-dua orang EXCO yang bermasalah ini kekal pada tempatnya sehingga hari ini, lantaran imbang kuasa dalam parti politik - cukup untuk menjelaskan bahawa Pakatan Rakyat turut mendahulukan kepentingan parti politik sebagai pertimbangan pentadbirannya.

Secara peribadi, saya menghormati anutan politik Hasan Ali. Seandainya beliau tetap membela pendekatan JAIS, maka beliau harus meletak jawatan sebagai EXCO, dan bersuara lantang sesuka hatinya atas kapasiti sebagai ADUN biasa. Seandainya kerajaan yang diketuai Khalid Ibrahim mengekalkan beliau dalam barisan kabinet, maka semangat kebertanggungjawaban secara kolektif akan meluntur, dan disiplin akan menjadi longgar. Ini bukan pasukan yang diamanahkan rakyat.

Saya cuba meniru persoalan Perdana Menteri Lord Melbourne, "Apakah dasar agama kerajaan Pakatan Rakyat? Lebih jelas? Lebih kabur? Atau lebih rasional? Saya tak kisah. Namun, bolehkah kamu selaku barrisan EXCO, selaraskan pendirian kamu?"

Jikalau tidak menjernihkan air yang keruh, maka jangan lagi mengadu UMNO yang menangguk dalam air keruh.

*Josh Hong adalah penganalisa politik dan kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Tulisan ini disedut, disunting dan diterjemahkan dari teks asal.

No comments: