S Jayathas dalam permohonannya pagi tadi berkata dakwaan yang dikenakan terhadap mereka itu tidak sah dan bersifat 'mala fide' (berniat jahat).
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Hindraf Makkal Sakthi (Hindraf) hari ini memfailkan permohonan agar 54 aktivisnya yang didakwa mahkamah terlibat dengan perhimpunan protes novel Interlok digugurkan.
Permohonan itu difailkan wakilnya S Jayathas melalui Tetuan Kumar Hashimah & Co di Mahkamah Tinggi di sini pagi tadi.
Beliau menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai responden pertama dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai responden kedua.
Kesemua 54 aktivis terbabit ditahan pada Februari lalu dan didakwa di Mahkamah Majistret Selayang, Ipoh, Seremban dan Jalan Duta melakukan kesalahan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) iaitu menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang- undang iaitu Hindraf.
Sehubungan itu, S Jayathas dalam permohonannya pagi tadi berkata dakwaan yang dikenakan terhadap mereka itu tidak sah dan bersifat ‘mala fide’ (berniat jahat).
Beliau juga menyatakan alasan Hindraf telah pun membuat permohonan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menjadi satu pertubuhan yang sah sejak November 2009 namun tidak diluluskan sehingga sekarang.
“Saya percaya dalam dunia ini tidak pernah dapat pertuduhan jenayah oleh kerana seseorang itu menjadi anggota NGO hak asasi manusia dan hak minoriti kecuali dalam negeri pemerintahan raja berkuasa mutlak di Arab Saudi.
Beliau turut mempertikaikan mengenai beberapa tindakan pemimpin Umno dan Perkasa yang membuat demonstrasi jalanan namun tidak pernah ditangkap dan didakwa.
“Responden kedua di atas arahan reponden pertama telah bertindak secara ‘mala fide’, bermotifkan politik dan bertindak secara selektif dengan hanya melepaskan aktivis pro Umno-Barisan Nasional-Perkasa dan Bersih (yang disokong parti politik PKR, DAP, PAS) yang mempunyai kuasa ekonomi dan politik yang kuat dan berpengaruh.
“Tetapi oleh kerana pemohon daripada masyarakat India, pemohon telah dianaktiri dan didiskriminasi (melanggari Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan),” katanya.
Interlok, novel sastera yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran sebagai buku teks untuk pelajar Tingkatan Lima menyentuh tentang kisah masyarakat India daripada kasta ‘paria’ yang datang ke Tanah Melayu.
Akibatnya, ia menimbulkan ketegangan dan mendapat reaksi pelbagai pihak kerana menyentuh sensitiviti masyarakat India.
No comments:
Post a Comment