'One Malaysia': Najib akui BN gagal!

Konsep 'One Malaysia' yang dibawa oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dianggap sebagai satu akuan oleh Barisan Nasional dan kerajaan akan kegagalan segala dasar yang pernah diperkenalkan sebelum ini.

Menurut Pengerusi Institut Modeniti dan Tamadun Melayu (Cesmacs), Dr Muhammad Nur Manuty, konsep 'One Malaysia' adalah satu 'rebranding' yang biasanya dibawa oleh pemimpin baru.

"Pemimpin yang baru akan bawa konsep baru dan benar ini adalah satu penanda bahawa BN gagal dalam dasarnya sebelum ini,"jelasnya kepada Harakahdaily dalam wawancaranya sebentar tadi.

Tambahnya, walaupun selama ini kerajaan telah perkenalkan pelbagai dasar tetapi dengan ungkapan Najib ini jelas bahawa beliau akur dan mengakui kegagalan yang dihadapi oleh BN.

"Walaupun sudah 50 tahun memerintah ternyata mereka gagal. Bermakna memang benar seperti yang disebut bahawa konsep 'one malaysia' adalah satu rebranding kerana sebelum ini ternyata BN dan kerajaan gagal dalam melaksanakan konsep kesamarataan terhadap rakyatnya,"katanya terhadap persoalan bagaimana gagalnya BN dalam dasar-dasar sebelum ini.

Selain itu katanya, konsep 'One Malaysia' itu adalah konsep lama yang sudah wujud dalam falsafah perpaduan di negara ini.

"Idea ini yang saya tahu datang dari penasihat-penasihat kalangan media dalam dan luar negara yang mencadangkannya kepada Najib tatkala krisis kepercayaan kalangan bukan Melayu terhadap BN memuncak," katanya.

Dalam pada itu katanya, konsep 'one Malaysia' ini adalah konsep yang telah dicadangkan pemimpin terdahulu iaitu integrasi kaum untuk mewujudkan perpaduan.

Idea ini bagi Dr Muhammad, tidak nampak sebarang pembaharuan,sedangkan Umno/BN sendiri hari ini masih mengamalkan politik perkauman yang akhirnya mencetus kemelut antara kaum.

Justeru Dr Muhammad Nur merumuskan, idea ini sebagai satu pengulangan konsep lama yang akhirnya tidak akan mengubah apa-apa jika pelaksanaanya gagal.

Harakah
17/04/09

No comments: