Keluar parti:

Krisis "keluar parti" yang melanda PKR baru-baru ini mendapat liputan yang luas di dada akhbar. Berbanding media cetak bahasa Melayu yang menonjolkan masalah kepimpinan PKR secara khususnya, media cetak bahasa Cina sebaliknya, lebih menyasarkan kepada individu yang keluar parti.

Dengan kata lain, walaupun fenomena "keluar parti" ini mengundang persepsi negatif terhadap PKR secara umumnya, tetapi jika diteliti, wujudnya dua penafsiran yang jelas berbeza, antara akhbar Melayu dengan akhbar Cina.

Ketika mengulas isu ini, akhbar Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian mempertikaikan halatuju perjuangan PKR, yang kononnya membelakangi kepentingan Melayu-Islam. Sebaliknya, isu halatuju perjuangan PKR tidak diungkit oleh media Cina, tetapi integriti individu (yang keluar parti) yang dipersoalkan. Tidak dinafikan, fenomena "keluar parti" semestinya menghakis keyakinan khalayak ramai terhadap PKR, tetapi ia juga difahami sebagai strategi Barisan Nasional untuk menyerang musuh politiknya.

"Musuh dalam selimut" musuh

Nanyang Siang Pau, dalam satu komentar politik yang disiarkan di muka surat A2, berjudul "Senjata Terbaik", memetik Seni Perang oleh Sun Tzu, bahawa strategi terbaik untuk menjahanamkan musuh adalah dengan menggunakan "musuh dalam selimut" musuh (atau kuda trojan).

Komentar ini bermula dengan "senjata yang terbaik di dunia bukanlah bom nuklear atau bom atom, bukan pistol malah bukannya pisau, tetapi taktik untuk melaga-lagakan satu sama lain, malah meleraikan rakan seperjuangan yang rapat menjadi musuh yang bertentangan...".

Ini kerana "musuh" dalam selimut musuh inilah yang paling memahami kelemahan dan segala strategi dalam kem dirinya, dan apabila orang sedemikian digunakan untuk melawan balik orang yang berada dalam selimut bersamanya, ia merupakan senjata yang paling berkesan.

Malah, penulis ini melontarkan kemungkinan Fairus menembak balik Pakatan Rakyat, setelah keluar dari PKR. Misalnya, Fairus boleh berkempen untuk menyerang DAP dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, yang juga merupakan Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang.

Seandainya ramalan di atas menjadi kenyataan, penulis menjangkakan bahawa MCA dan Gerakan mungkin berdepan dengan dilema. Ini kerana pemimpin MCA dan Gerakan menjadikan Fairus Khairuddin sebagai sasaran kritikan, semasa beliau berada dalam PR. Tetapi bagaimana MCA dan Gerakan berdepan dengan Fairus yang seketika dahulu disifatkan sebagai tidak berkebolehan, lemah, tidak berkhidmat dan sebagainya, setelah Fairus diterima oleh komponen parti terbesar BN?

"Sesungguhnya tiada kawan dan musuh yang selama-lamanya dalam politik. Tetapi apabila musuh kepada musuh anda menjadi kawan, dan dipeluk rapat... Awas! Anda bukan sekadar kehilangan prinsip politik," penulis mengingatkan.

Strategi UMNO-BN

Bertitik tolak daripada "strategi politik", penolong editor Sin Chew Daily, Lim Sue Goan dalam artikel kolumnya mula menghitung bilangan ahli parlimen "keluar parti" yang diperlukan oleh BN untuk menguasai semula majoriti 2/3, sebagai syarat untuk meluluskan persempadanan semula kawasan pengundian yang bakal dijalankan tahun ini.

"Untuk mengembalikan penguasaan majoriti 2/3, yang memerlukan sokongan 148 orang ahli dewan rakyat, mungkin sukar untuk dijayakan, melihat kepada keadaan sekarang. Tetapi tidak mustahil untuk dilakukan kerana terdapat banyak pijat-pijat dan katak di gelanggang politik tempatan. Jika gagal mengembalikan majoriti 2/3 sekalipun, fenomena lompat parti bakal menjadi krisis keyakinan PR setelah digemparkan media arus perdana," tulis Lim Sue Goan.

Cheah See Kian, penganalisa politik ketika ditemuramah China Press, tidak terperanjat apabila UMNO memilih Pulau Pinang sebagai tumpuan serangannya. "Ini kerana menyerang Lim Guan Eng bermakna menyerang Anwar. Lim diserang atas tuduhan meminggirkan orang Melayu, dan ini tiada bezanya dengan serangan terhadap Koh Tsu Koon, (bekas KM) dua tahun yang lalu. Tanpa bukti, tetapi motif politik," katanya.

Untuk Cheah See Kian, Tan Tee Beng tidak mampu melakukan sesuatu dengan "keluar parti", selebih-lebihnya menimbulkan "riak". Malah, beliau menganggap rakyat akan lebih bersimpati terhadap Lim Guan Eng dan PR, berikutan kejadian ini.

Cheah See Kian juga menganggap bahawa tindakan UMNO akan lebih menyukarkan MCA dan Gerakan. Beliau berkata, sebahagian rakyat berharap MCA dan Gerakan akan memainkan peranan untuk membantu pembaharuan UMNO selepas PRU ke-12, agar UMNO tidak angkuh dengan kuasa yang berpusat padanya. Tetapi, UMNO kini semakin berkuasa!

Cheah berkata, inilah punca kekecewaan rakyat terhadap MCA dan Gerakan yang gagal melakukan apa-apa dalam BN.

PKR menjadi sasaran

Walau bagaimanapun, PKR gagal mengelakkan diri daripada dikritik, memandangkan parti tersebut melahirkan paling ramai wakil rakyat yang keluar parti. Bermula dari (bekas) EXCO Perak, Jamaluddin Mohd. Radzi dan Mohd. Osman Jailu, (bekas) EXCO Kedah Mohd.Radzi Salleh, disusuli ADUN Selangor Badrul Hisham Abdullah, ahli parlimen Bayan Baru Zahrain Mohamed Hashim, dan kini ahli parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng.

Dalam analisa Lum Chih Feng di Oriental Daily, beliau menganggap fenomena ini mendedahkan kecuaian parti ketika melantik calon PRU ke-12. Perkara ini telah diakui oleh Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR sebelum ini. Lum berpendapat, PKR tidak menyediakan kursus untuk mendidik wakil rakyatnya yang terpilih kerana "tsunami politik".

Lum Chih Feng menganggap PKR kini tidak memiliki kelebihan dalam sumber dan masa. Justeru itu, Lum menjangkakan bahawa Anwar akan mengambil langkah baru. Seandainya tidak, Anwar akan terkurung dalam situasi untuk "mengawal", dan ia semestinya tidak memihak kepada Anwar.

*Kaleidoskop adalah "digest" kandungan akhbar bahasa Cina. Akhbar yang dirujuk bertarikh 2 Mac 2010, berkisar pada isu "keluar parti" oleh pemimpin PKR.

MR
04/03/10

No comments: