"Transformasi" kini hanyalah "perluasan empayar", kerana BN enggan berdepan dengan masalahnya sendiri. Apakah itu "transformasi"?

Niat Barisan Nasional untuk memperluaskan empayarnya terserlah apabila Pengerusinya, Najib Abdul Razak merasmikan Parti Makkal Sakthi Malaysia pada Oktober 2009, malah menyatakan hasratnya untuk bekerjasama dengan parti bukan BN. Kini, sasaran "keahlian secara terus" bukan hanya terbatas kepada parti politik, malah badan bukan kerajaan (NGO) dan individu.

"Transformasi BN" ini mungkin boleh menandingi apa yang berlaku pada tahun 1970-an, iaitu pertukaran daripada Perikatan kepada Barisan Nasional. Langkah ini berjaya menyekat kuasa pembangkang di beberapa negeri, malah memperluaskan kuasa pemerintahan BN.

Jadi, apakah Najib kini mengikut jejak langkah Allahyarham ayahandanya, Abdul Razak, dan bakal duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan ayahnya dalam ketika dinilai sejarah?

Kebaikan menyerap parti lemah

Antara parti politik yang disebut-sebut untuk diserap ke dalam BN termasuklah Barisan Progresif India Se-Malaysia (IPF), Parti Makkal Sakthi Malaysia dan Parti Cinta Malaysia (PCM). Berbeza dengan parti pembangkang pada tahun 1970-an seperti Gerakan, PPP(People Progressive Party), SUPP (Sarawak United People's Party) dan PAS yang mempunyai pengaruh kuat di tempatan, parti tersebut tidaklah sehebat itu.

Ketika Gerakan, PPP, SUPP dan PAS diserap ke dalam BN, empayar pemerintahan BN diperluaskan. Walaupun PAS keluar dari BN kemudiannya, tetapi telah mengalami kecederaan dalaman yang parah. Dengan kata lain, penyerapan parti lain perlu mengambil kira kebaikannya terhadap BN, dan sama ada kekuatan lawan boleh dihakis.

Namun demikian, IPF, Makkal Sakthi dan PCM bukan sahaja tidak mantap, malah bukan pesaing BN yang utama. Manfaat yang bakal dibawa masuk dengan penyertaan mereka ke dalam BN menjadi tanda soal. Malah, sebelum kebaikannya ditemui, permasalahan pula yang ditimbulkan terlebih dahulu.

Beberapa parti yang masuk ke dalam BN semestinya menuntut kawasan pengundian untuk dipertandingkan ketika PRU. Persoalannya, rebut dengan siapa? Semestinya bukan UMNO. PCM akan merebut dengan Gerakan dan MCA, sementara IPF dan Makkal Sakthi akan merebut dengan MIC. Dalam keadaan lebih sudu dari kuah, maka mereka yang tidak disuapkan akan melatah, dan bakal membalas dengan "cah keting" dalam PRU.

Individu: Keahlian secara terus

Bagaimana pula dengan keahlian BN secara terus untuk individu? Secara umumnya, kumpulan ini boleh dibahagi kepada tiga kategori. Pertamanya, "orang bebas pro-BN" yang keluar dari Pakatan Rakyat (PR); keduanya, individu yang dipecat dari parti komponen BN, tetapi masih taat kepada BN; ketiganya, elit yang ingin diserap BN, tetapi individu tersebut enggan menyertai mana-mana parti.

Untuk kategori pertama, seandainya seseorang itu adalah wakil rakyat, maka ia akan menambah kerusi untuk BN. Tetapi apakah perbezaan antara "bebas dan pro-BN" dengan "keahlian BN secara terus"? Mungkin BN perlu memperuntukkan lebih sumber untuk mengekalkan kesetiaan mereka. Tetapi, seandainya individu ini telah menyatakan pendirian "pro-BN", maka yang lebih dimanfaatkan daripada peruntukan sumber tersebut adalah orang perseorangan itu, bukannya BN.

Kategori kedua pula, "keahlian BN secara terus" akan mengekalkan kesetiaan mereka kepada BN, malah menghalang mereka untuk lompat ke PR. Bagi yang memegang jawatan, mereka boleh meneruskan perkhidmatan. Inilah situasi "menang-menang". Sememangnya, pertentangan antara individu dengan parti komponen yang memecatnya itu akan menjadi kebimbangan. Bagaimanapun, kategori ini dimiliki BN sebermulanya. "Keahlian secara terus" hanya untuk mengelakkan "pengurangan", tetapi tidak memberi "penambahan" apa-apa untuk BN.

Bagi kategori ketiga, mungkin ramai juga elit yang sanggup berkhidmat untuk BN tanpa mahu menyertai parti komponen BN. Namun, individu sedemikian kebanyakannya menjadi keahlian BN terus dengan harapan untuk mendapat "jawatan atau pangkat". Kabinet yang sedia ada sudah gempal untuk memenuhi keperluan parti komponen. Seandainya lebih elit memasuki BN, maka kabinet BN akan bertambah sesak. Dengan kata lain, BN yang terlalu besar bakal mengundang tekanan lebih sudu dari kuah.

NGO menyempitkan ruang

Antara ketiga-tiga sasaran BN, NGO-lah yang paling dipertikaikan. Hubungan sekutu antara parti politik dengan NGO adalah sesuatu yang lumrah, misalnya Parti Buruh dengan Kesatuan Pekerja, Christian Democratic Party dengan pertubuhan kristian (di luar negeri). Namun demikian, masing-masing wujud dalam keadaan berdikari dan tidak terikat dengan hubungan sistem.

Ini kerana fungsi parti politik bukan sekadar "menyuarakan kepentingan", tetapi juga "menyelenggara kepentingan", namun NGO hanya berfungsi untuk "menyuarakan kepentingan". Untuk memperolehi kuasa pemerintahan, parti politik perlu berdepan dengan seluruh rakyat, tetapi NGO hanya berdepan dengan kumpulan berkepentingan tertentu sahaja.

Kewujudan NGO bukan untuk mengambil pendirian kepartian. Misalnya, National Rifle Association di Amerika Syarikat membela hak pemilikan senjata, cenderung kepada ideologi yang konservatif, menyokong Republican Party dalam setiap pemilihan Presiden. Namun, mereka pernah menyokong calon sosialis dalam pilihan raya parlimen, kerana calon tersebut menyokong hak pemilikan senjata. Oleh itu, walaupun NGO mungkin cenderung kepada parti politik tertentu, tetapi mereka lebih berorientasikan isu. Mereka perlu memantau pendirian parti politik terhadap isu yang diambil berat oleh mereka, dan bukannya menyokong sesuatu parti dengan membuta tuli.

Bertitik tolak dari situ, penyertaan NGO ke dalam pakatan parti politik walaupun kelihatan "saling memperkasa", namun ia sebenarnya menyempitkan ruang antara satu sama lain. Misalnya, seandainya pertubuhan seperti PERKASA menyertai BN, ia mungkin mengukuhkan sokongan Melayu, tetapi bakal menghilangkan sokongan bukan Melayu di sebaliknya.

BN yang sudah biasa dengan "menyapu bersih" musuhnya, nampaknya gagal menyesuaikan diri dengan kehilangan majoriti dua pertiga dalam parlimen. Maka, transformasi mahupun pembaharuan yang diutarakan adalah "perluasan kuasa", tidak sabar-sabar agar kesemua parti politik menyertai keluarga BN dan berperanan sebagai "kanak-kanak yang tunduk mematuhi arahan".

Jelas, BN masih berada di takuk lama, dengan minda "besar maknanya kuat", menyebabkannya gagal memahami "besar bukan segala-galanya". Berbeza dengan perluasan empayar pada tahun 1970-an, perluasan empayar kali ini tidak membawa manfaat yang besar untuk BN. BN tidak sedar bahawa kekalahannya dalam PRU ke-12 bukan disebabkan ia tidak cukup "besar", tetapi masalah BN itu sendiri.
18/03/10

No comments: