PETALING JAYA: Para pimpinan PKR yang baru diumumkan menyuarakan semangat baru dalam membantu parti menghadapi musuh sebenar Umno-Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya ke-13 akan datang.
Keazaman ini jelas terpancar dalam setiap wajah-wajah pimpinan baru yang memberikan ucapan penggulungannya pada Kongres Nasional PKR ke-7 pada kali ini.
Naib presiden baru Fuziah Salleh yang nyata lega pemilihan ini berakhir turut memberikan tiga pesanan penting buat anggota dan pimpinan parti dalam persiapan menghadapi pilihanraya akan datang.
Katanya, matlamat sebenar bukan untuk menakluk Putrajaya namun mahu melaksanakan agenda reformasi negara kepada rakyat.
"Jangan lupa tumpuan kita kelak dalam hadapi Umno-Barisan Nasional untuk kita hadapi dalam pilihan raya nanti. Apa yang perlu kita lakukan buat apa yang kita janjikan, jangan cakap tidak serupa bikin.
"Maka saya amanahkan kepada ketua cabang sebelum 15 Disember pastikan semua anggota parti dan penyokong mendaftar sebelum mengundi. Buat analisa kawasan masing-masing. Pilihan raya bukan berkaitan dengan nombor atau kemenangan tetapi dalam mempersiapkan jentera untuk mengundi.
"Insyaallah kalau buat sebelum hujung tahun ini kita boleh bersedia untuk mengundi," katanya ketika ucapan pergulungan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) disini.
Manakala, naib presiden muda Nurul Izzah Anwar pula menyifatkan PKR berada dalam kejayaan fasa pertama maka kesinambungan seterusnya adalah untuk menguruskan kejayaan tersebut.
Menurut beliau, politik jujur menjadi asas perjuangan parti sejak 12 tahun dahulu dalam mendedahkan penyelewengan pentadbiran BN.
"Kita perlu berbicara tentang penyelesaian kepada segala permasalahan rakyat.
“Kita wajib berkata benar walaupun pedas ditelinga, pahit dilidah, perit dihati. Rakyat mahu mendengar apa yang kita boleh dan mampu tawarkan. Rakyat mahu kita jujur, dan telus didalam menyusun atur perjuangan yang bebas daripada penipuan dan penyelewengan didalam semua gerak langkah dan gerak kerja kita.
"Termasuk daripada pemilihan kepimpinan parti, penyampaian dasar-dasar dan rencana membina dan membebaskan Negara; dan penilaian prestasi memerintah amanah sebuah negeri yang diberikan kepada kita, dengan menggunakan bahasa yang mudah, jelas dan benar," katanya.
Bagi Datuk Mansor Othman yang kini membarisi pimpinan naib presiden mahu proses demokrasi terus disuburkan dan mahu PKR menjadi parti yang mampu menyatupadukan keseluruhan rakyat Malaysia.
"Kita diserang tidak berhenti-henti dan ini bukan kali pertama tapi sejak tahun 1999 lagi kita diserang melalui media. Kita adalah parti masa depan. Bayangkan ahli DAP boleh membawa bendera PAS, PAS bawa roket inilah perubahan yang cukup menakutkan BN," ujarnya.
Tian Chua yang dulu dikenali sebagai ahli reformis mahu perjuangan PKR sebagai parti 'reformasi' terus kekal dibentuk.
"Melalui pengalaman dan perjuangan sebagai reformis keadilan banyak yang kita lalui segala kepedihan, kegelisahan dan kekecewaan. Percaya apa yang kita buat ini adalah perjuangan dalam sejarah bangsa," katanya.
Angkat Anwar sebagai perdana menteri reformasi
Sementara itu, Shamsul Iskandar Md Akin yang mengekalkan jawatannya sebagai ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula mahu ketua umum Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri reformasi di negara ini.
Manakala bekas timbalan presiden Dr Syed Husin Ali pula diberikan penghargaan sebagai tokoh demokrasi dan keadilan.
"Kita perlu berjuang dan angkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri reformasi di negara ini. Malah buat usul khusus dan sudah berbincang dengan setiusaha agung bagi memberi penghargaan setinggi-tingginya terhadap tokoh demokrasi dan keadilan kepada Dr Syed Husin Ali," katanya.
Ketua wanita Zuraida Kamaruddin yang berjaya mengekalkan jawatannya juga mahu politik wayang dan segala bentuk retorik dihentikan sebaliknya mahu jentera parti dimantapkan agar mudah menguasai Putrajaya kelak.
Beliau mahu anggota mahupun pemimpin parti segera berubah agar parti dapat digarap dengan baik bagi persiapan pilihan raya nanti.
"Pemilihan 2010 anggota parti matang dan dewasa. Pemimpin dipilih harus buat kerja kerana pemerhati dan perwakilan akan perhati mereka dalam setiap tiga tahun ini.
"Maka mari kita bersama-sama kuatkan parti, jika setakat tidak jawab telefon itu enteng sahaja. Saya minta perwakilan perlu berjiwa besar walaupun ada kelemahan tapi itu boleh diubah. Beri ruang untuk berubah agar parti akan sedia digarap untuk pilihan raya akan datang," katanya.
No comments:
Post a Comment