Najib omong kosong

FMT Staff | September 21, 2011

Tetapi dalam tempoh 48 jam sahaja, Perdana Menteri memperlihatkan bahawa beliau tidak mempunyai komitmen politik.

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak dinasihat menarik balik ucapannya “biar hancur badan, nyawa melayang” ketika

Perhimpunan Agung Umno tahun lalu bagi mempertahankan kuasa Umno-Barisan Nasional (BN) di Seri Perdana, Putrajaya.

“Sebaliknya Perdana Menteri diminta mengisytiharkan secara terbuka bahawa beliau sanggup menerima keputusan rakyat pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, termasuk perubahan dalam kerajaan dan pucuk pimpinan,” kata Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam blognya hari ini.

Menurut Lim, Ahad lalu, Najib mendakwa ucapannya ketika menyambut Hari Malaysia mengenai pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan beberapa undang-undang berkaitan adalah dalam usaha untuk menjadikan Malaysia “negara demokrasi terbaik di dunia.”

“Tetapi dalam tempoh 48 jam sahaja, Najib memperlihatkan bahawa beliau tidak mempunyai komitmen politik maupun hasrat untuk mengotakan apa yang beliau ucapkan ketika berucap pada majlis Persatuan Bekas Ahli Jabatan Kebajikan Masyarakat (PBAKM).

“Dalam ucapannya Najib meminta pertolongan untuk mempertahankan Putrajaya dan mengisytiharkan bahawa Seri Perdana adalah residen Umno dan tempat tinggal Perdana Menteri dari BN,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor berkata Najib salah apabila menganggap Seri Perdana sebagai harta milik Umno dan BN kerana Seri Perdana sebenarnya adalah milik awam kepunyaan rakyat Malaysia, walau apa pun keputusan pilihan raya umum nanti.

Ujar beliau, Perdana Menteri tidak serius dalam ucapannya untuk menjadikan Malaysia “demokrasi terbaik di dunia” apabila beliau enggan menerima keputusan rakyat dalam PRU dan tahu membezakan yang mana harta awam dan yang mana milik parti.

“Kerana tidak tahu membezakan yang mana menjadi hak awam dan milik serta tanggungawab peribadi inilah yang menjadi punca berleluasanya amalan rasuah, salah guna kuasa dan kecacatan demokrasi di negara ini.

Menurutnya, rakyat diingatkan oleh ucapan Najib pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu apabila beliau meluahkan kata-kata “biar hancur badan, nyawa melayang” dan dengan apa cara sekali pun agar Umno berusaha untuk mempertahankan kuasanya di Putrajaya.

“Oleh sebab kini beliau bercakap mahu menjadikan Malaysia “negara demokrasi terbaik di dunia”, perkara pertama yang beliau harus lakukan ialah dengan memperlihatkan kredibiliti dan keikhlasannya dengan menarik balik ucapannya yang memalukan itu.

“Najib harus memberi komitmen secara terbuka bahawa Umno dan BN akan menerima keputusan rakyat dalam PRU, termasuk perubahan kerajaan di Putrajaya nanti.

“Jika Najib tidak bersedia untuk menarik balik ucapannya dan mengumumkan secara terbuka bahawa beliau sanggup menerima keputusan rakyat, maka kredibiliti dan keikhlasannya untuk melihat Malaysia “demokrasi terbaik di dunia” merupakan omong-omong kosong dan tidak membawa erti,” kata Lim.

No comments: