M’sia 55 tahun: Merdeka ini untuk siapa?

M’sia 55 tahun: Merdeka ini untuk siapa?

Muda Mohd. Noor | August 24, 2012
Negara terancam kehilangan harapan masa depan jika mengkhianati cita-cita demokrasi tulen.
 
Pada Jumaat depan, negara kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke 55. Sebagai negara yang berusia 55 tahun, rakyat seharusnya merasa bangga bukan sahaja ekonomi tetapi juga dalam bidang-bidang lain.

31 Ogos merupakan ulang tahun kemerdekaan selepas negara bebas dari belenggu penjajah British. Sambutan tahun ini di war-warkan dengan pilihan raya umum ke 13 yang bakal tiba pada bila-bila masa.

Penegakan undang-undang harus dijadikan tiang seri dalam mengukuhkan reformasi yang sedang dilaksanakan. Sebagai negara yang ada undang-undang, kita harus menghormati undang-undang.

Orang ramai kini sudah secara terbuka bercakap mengenai rasuah. Merdeka memang bukan perkara mudah.

Kemerdekaan negara melalui pengorbanan. Kemerdekaan diperjuangkan oleh semua rakyat  khususnya golongan yang paling ditindas, tetapi kita tidak mahu mendengar kemerdekaan hanya dinikmati segelintir orang.

Lima puluh lima tahun sudah negera ini  merdeka menunjukkan masih ada segelintir orang gemar bercuti ke luar negeri, sedangkan  rakyat mencari makan semakin  susah.  Kita tidak mahu segolongan mendapat semuanya, segolongan yang lain terlepas semua.

Kita tidak mahu kemerdekaan ini hanya dirasakan pegawai-pegawai atasan dan orang kaya. Yang kita mahu semua rakyat menikmati kemerdekaan ini baik miskin dan kaya. Kita tidak mahu orang miskin tetap terjajah diperas keringat hingga kering.

Di hari kemerdekaan yang ke-55, sudah seharusnya pemerintah menjadi pemerintahan merakyat (populis). “pemerintahan yang boleh menghapuskan pengangguran, pemerintah yang mampu mengatasi kemiskinan, pemerintah yang peka permasalahan rakyat”.

Malang jika kaum elit  mudah pudar kecintaan kepada negaranya dan tergiur dengan label asing. Meskipun tersentuh dengan kesengsaraan di negeri sendiri, rasa  tetap cinta mati kepada bangsa dan negaranya harus  tetap optimis bahawa suatu saat keadaan pasti berubah.

`Rasuah membara’
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah melaungkan tranformasi dalam pemerintahannya.  Apalah makna tranformasi jika rasuah masih membara. Apalah erti merdeka jika rakyat dibelenggu dengan undang-undang yang membelit mereka.

Sudahkah merdeka negara ini?

Sekian lama orang mengatakan kemerdekaan hanya untuk mereka yang mempunyai kekuasaan dan pengaruh untuk menguasai negara kita. Tidak layak kita merayakan kemerdekaan bangsa ini, jika di sekitar kita masih banyak orang dibelit kemiskinan dan dilupakan.

Apalah erti kemerdekaan ini sekiranya masih ramai yang mengeluh dalam banyak perkara. Rakyat mengeluh kerana sistem demokrasi yang tidak adil; orang mengeluh kerana biaya pendidikan yang mahal sedangkan negara kita raya.

Rakyat mengeluh kerana daya saing negara semakin berkurangan, orang mengeluh kerana jenayah berleluasa di sekeliling kita. Rakyat mengeluh kerana isu pendatang haram seolah-olah tidak ada jalan penamat.

Undang-undang membanteras rasuah seolah-olah dipandang enteng. Saban hari kita dihidangkan dengan berita rasuah. Apakah pembanterasan rasuah ini menjadi begitu sukar dek kerana perkembangan tekonoloji?
Kita tidak mahu setelah 55 tahun merdeka, hanya `bilis’ yang terjaring sedangkan `paus’ bebas berenang. Namun beberapa perkembangan terakhir menampakkan beberapa `paus’ telah ditangkap.

Kita patut menangis dalam merayakan  kemerdekaan bangsa ini, kemelaratan merata, gelandangan merajalela dan penggangguran di mana-mana. Sedangkan pegawai-pegawai duduk dengan nyaman menikmati kemudahan yang diberikan negara dengan menggunakan wang rakyat.

Tidak elok kita merayakan kemerdekaan, jika  masih banyak sekolah rosak, jalan raya terbiar dan ada kaum bangsa yang disisihkan.

Tidaklayak kita merayakan kemerdekaan bangsa ini, jika di sekitar kita masih banyak orang- yang tidak mempunyai rumah sendiri.

Malaysia terancam kehilangan harapan masa depan jika mengkhianati cita-cita demokrasi tulen.  Kerana Malaysia negara pelbagai kaum, kita perlulah melihat kemerdekaan untuk semua, bukan untuk sebahagian golongan saja.

Marilah kita kembali pada jiwa proklamasi sebagai bangsa yang bermartabat, yang memiliki jiwa merdeka, keikhlasan untuk berkorban, tekad bersatu dalam kepelbagaian serta siap membangun jiwa dan raganya untuk Malaysia.

Semoga negara ini menemui makna kemerdekaan yang sebenarnya.

No comments: