Umno masih tidak menyedari yang perjuangannya telah gagal

September 06, 2012 — Saya berharap Umno wajar memberhentikan pendustaan kepada perjuangan orang Melayu dan rakyat berbilang kaum di negara ini. Umno telah melakukan pendustaan terhadap orang Melayu terlalu lama, tiga puluh tahun lamanya. Umno telah mendustakan rakyat kerana apa yang dijanjikan kepada rakyat khususnya orang Melayu sampai kehari ini tidak terlaksana.
 
Orang-orang Melayu tertunggu-tunggu untuk melihat bangsanya benar-benar maju seperti yang dijanjikan oleh Umno, khususnya apabila pilihanraya mendatang. Umno juga telah mendustakan orang bukan Melayu bagi memajukan orang Melayu supaya kestabilan politik negara dapat di pertingkatkan. Orang bukan Melayu pun sudah kecewa melihat bangsa Melayu di abaikan oleh partinya sendiri dalam kebingitan pemimpin-pemimpinnya bercakap tentang isu memperjuangkan bangsa Melayu.

Setiap waktu tibanya pilihanraya kedengaran di sana-sini kononnya Umno telah berjaya memperjuangkan nasib orang Melayu di samping rakan-rakan kita dari bukan-Melayu. Melayu tidak kemana jua. Yang kita dapat warisan yang besar dari kepimpinan Umno sejak tiga dekad yang lalu ialah rasa curiga mencurigai di antara kaum-kaum semakin menebal.

Orang bukan Melayu khususnya kaum Cina memahami yang jika Melayu tidak maju, kestabilan negara akan tergugat kerana orang Melayu merupakan penduduk yang terbesar di negara ini. Orang Cina mahukan sebuah negara yang stabil kerana mereka mengutamakan peluang untuk berniaga dan jika orang Melayu tidak maju ia akan menjejaskan kestabilan negara dan akan akhirnya memberikan masalah kepada bangsa itu untuk berniaga dan hidup secara aman.

Semasa kepimpinan Umno bersusah payah menyatukan perhubungan kaum yang telah terjejas disebabkan kejadian 13 Mei dahulu semua kaum telah bersetuju untuk tidak bergaduh dan berpecah semata-mata untuk mencapai matlamat yang satu: iaitu perpaduan nasional dan hidup dalam suasana muhibbah, saling menghormati di antara satu dengan lain.

Perkara yang lebih membanggakan kita semasa itu rakyat bukan Melayu telah menerima hakikat yang orang Melayu (Bumiputera) perlu dan wajib di bantu dan di berikan keistimewaan kepada Bumiputera untuk maju dalam bidang perdagangan dan perindustrian. Orang bukan Melayu telah bersetuju penggubalan dasar-dasar untuk menambahkan pegangan kekayaan negara untuk orang Melayu dan Bumiputera.

Persetujuan yang di capai itu tentulah hasil dari perundingan yang serius oleh pemimpin-pemimpin yang terdahulu dari semua kaum dan akhirnya menerima kenyataan yang kita seharusnya hidup dalam suasana saling hormat menghormati  di antara  agama dan adat resam serta kepercayaan masing-masing.

Kita sebelum itu telah menyempurnakan usaha kearah kemerdekaan negara yang kita capai pada bulan Ogos 1957 dahulu. Wakil-wakil dari semua kaum, Melayu, Cina dan India telah pergi berunding dengan penjajah British untuk menuntut kemerdekaan dan mentadbir negara kita oleh kita sendiri.

Dalam usaha pengisian kemerdekaan negara, Umno semasa itu mendapatkan persetujuan semua pihak untuk melaksanakan dasar yang di persetujui bersama iaitu DEB (Dasar Ekonomi Baru) dan ia telah terlaksana dengan baik dan penuh dan membanggakan kita. Orang Melayu yang begitu miskin semasa itu telah mula bernafas dalam ekonomi kerana pimpinan semasa itu sangat prihatian dan mensyukuri kejayaan untuk penggubalan dasar yang menjurus kepada penyusunan semula masyarakat berbilang kaum di negara kita. Dasar-dasar yang di gubal semasa itu berlandaskan kepada premis pembahagian kekayaan secara “equitable” sebagai resipi ampuh sebelum kita mencapai matlamat yang “ultimate” iaitu perpaduan kaum dalam negara kita.

Kejayaannya memberangsangkan. Bayangkan semasa DEB di lancarkan pegangan kekayaan negara oleh orang Melayu dan Bumiputera hanyalah 2.7 peratus sahaja. Tetapi oleh kerana pimpinan kerajaan kita telah dengan jujur melaksanakan dasar-dasar itu dengan sempurna pegangan Bumiputera telah meningkat kepada 18.4 peratus dalam pertengahan 1984 dahulu. Begitu banyak dan tinggi lonjakan pegangan Bumiputra dalam bidang perdagangan dan perindustrian serta pegangan Bumiputera dalam bidang industri dan “commerce” semasa itu. Resepi kejayaan itu ialah kejujuran dan tidak lari dan menganjak serta mengalih dasar yang telah lama difikirkan sebelum di gubal dan di laksanakan. Tetapi kejayaan itu telah terhenti setakat itu.

Kenapa terhenti? Ianya terhenti apabila Dr Mahathir mengambilalih kepimpinan negara dan beliau tidak menghiraukan DEB kerana beliau mempunyai rancangan yang lain dan telah melalaikan dasar-dasar yang telah terbukti menunjukkan kejayaan itu. Mahathir mahukan “legacy” kejayaan pimpin-pimpinan sebelum itu tidak dipandang tinggi oleh rakyat. Segala-galanya hendak dilakukan semasa pentadbiran beliau tanpa menghiraukan pelan pembangunan negara dengan teratur.

Beliau mempunyai perancangan “ambitious” yang lain yang berjaya pada pandangan mata kasar kita tetapi telah mengorbankan dasar-dasar yang amat hampir dengan hati rakyat. Dari saat itu rakyat tidak lagi bersama menentukan dasar serta perlaksanaannya. Rakyat hanya menerima dan mendengar sahaja semua perancangan secara “ad hoc” dan tidak berlandaskan kepada perancangan teliti.

Bersoraklah rakyat dengan pembangunan “express” anjuran Mahathir dan akhirnya apabila beliau sudah tiada dalam kepimpinan maka kita lah yang menerima bala dari perancangan peribadi seorang pemimpin seperti Dr Mahathir itu.

Setelah kian lama barulah rakyat sedar apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir itu bersalah-salahan dengan kehendak sistem dan kaedah pembangunan negara yang menuntut perancangan yang berlandaskan kepada keperluan jangka panjang. Dalam kes negara kita pembangunan fisikal seharusnya selari dengan pembangunan politik serta siasah yang boleh membawa kepada perpaduan nasional yang berkekalan.

Rupa-rupanya pembangunan “express” yang terlaksana di zaman pemerintahan Dr Mahathir itu ibarat apam yang tebal, masaknya cepat dan diluar pun nampak masak. Tetapi apabila diambil lidi dan dicucuk apam yang tebal itu, maka kedapatan yang lidi itu menjadi basah apabila di cabut. Rupa-rupanya di sebelah dalam apam yang tebal itu masih mentah dan berair.

Kerana mahukan apam cepat masak, Mahathir bakarnya itu dengan api yang terlalu besar. Hasilnya diluar masak di dalam mentah. Itulah sebabnya kalau kita hendak buat sesuatu kerja, kita buat “slow-slow” sikit tapi tahan lama. Barulah sempurna.... masak di luar, masak di dalam. — aspanaliasnet.blogspot.com

No comments: