Ahli Parlimen Pasir Mas itu mahu polis menyiasat serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang merancang kempen tersebut.
KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali hari ini membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi di sini dengan disertai 30 anggotanya.
Laporan pertama berhubung kempen ‘Bebas Anwar 901′ yang dijadual di adakan di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan
Duta di sini pada 9 Januari ini dan laporan kedua, berhubung tindakan paderi Dr Eu Hong Seng mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah Tinggi dijangka akan membuat penghakiman pada hari itu berhubung kes Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu mahu polis menyiasat serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang merancang kempen tersebut.
Ujarnya, “perbuatan mereka dengan mengajak rakyat untuk turun itu sengaja akan mencetuskan huru-hara. Biarkan kes berjalan tanpa gangguan. Sebagai rakyat yang waras mereka sudah matang untuk membaca keputusan yang akan diberikan.
“Sebagai ahli dewan rakyat, saya membuat laporan untuk mendesak polis menyiasat siapa perancang kepada cadangan mengadakan perhimpunan 9 Januari seperti risalah yang ditaburkan. Polis hendaklah mengambil tindakan dan guna kuasa mereka untuk menyiasat siapa perancang kempen agar Malaysia selamat,” katanya.
Kenyataan Eu tidak bertanggungjawab
Sementara itu Timbalan Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Abu Bakar, pula mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan ke atas paderi Dr. Eu Hong Seng di bawah Akta Hasutan 1948 kerana mempertikai Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Ini berhubung kenyataan Eu yang juga Pengerusi National Evangelical Christian Fellowship (NECF) itu pada majlis minum petang di sebuah gereja di Subang Jaya, Sabtu lalu itu berbentuk provokasi, menghasut dan tidak bertanggungjawab.
Abdul Rahman mempersoalkan Eu yang tidak memahami perlembagaan dan pada masa sama melahirkan kekecewaan terhadap Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang hadir di majlis itu namun enggan bertindak membetulkan keadaan.
“Adakah paderi faham maksud perlembagaan 153? Kata perlembagaan itu wujud untuk orang Islam dan Melayu sedangkan ia melindungi hak Bumiputera Sabah, Sarawak yang juga penganut agama kristian.
Sepatutnya tindakan diambil di bawah Akta Hasutan kerana perlembagaan itu tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak, individu mahupun rakyat Malaysia. Siasat paderi terbabit dan polis guna kuasa undang-undang dengan tegas,” katanya.
Mengulas lanjut hal itu, Ibrahim Ali menyifatkan kenyataan Eu bermotifkan politik memandangkan pilihan raya umum akan diadakan pada bila-bila masa.
Beliau turut menimbulkan kemusykilan ekoran majlis minum petang itu turut dihadiri pemimpin Pakatan Rakyat dan Tsu Koon.
“Apa motif perjumpaan dalam gereja oleh Tsu Koon, Hanna Teoh, Tian Chu, Anwar? Motif nak pesong rakyat….”dakwa beliau.
No comments:
Post a Comment