Selagi polisi tidak diubah, selagi itulah masalah dokumen pengenalan diri tidak akan selesai.
Sejak
hampir setahun lalu, saya sering mendengar dan membaca mengenai kempen
pendaftaran dokumen pengenalan diri yang diterajui pihak tertentu.
Kempen dan jerayawara (roadshow) diadakan di pelbagai tempat, khabarnya
untuk membantu orang ramai mendapatkan kad pengenalan dan sijil
kelahiran.
Bagaimanapun, dua perkara membuatkan saya ingin tahu lebih lanjut
mengenai usaha berkenaan. Pertama, adakah “kempen” itu bersifat
sementara atau masalah yang timbul benar-benar diteliti pada peringkat
akar-umbi lalu diselesaikan sepenuhnya.
Dengan erti kata lain, apakah benar-benar dilakukan dengan ikhlas
atau sekadar kempen bagi kepentingan politik pihak tertentu. Selepas
tempoh kempen selesai, mangsa tetap kekal sebagai bukan warganegara di
negara sendiri.
Persoalan kedua yang muncul dalam fikiran saya adalah mengenai
penglibatan Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar, Malaysia
(DHRRA Malaysia).
Setahu saya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu terlibat secara
aktif dan berterusan sejak 2003 dalam usaha-usaha menyelesaikan masalah
dokumen pengenalan diri. Lalu, mengapa nama DHRRA Malaysia tidak muncul
langsung dalam kempen dan roadshow kali ini?
Saya bertemu presidennya, Saravanan M. Sinapan untuk mendapatkan
penjelasan berhubung persoalan itu serta beberapa isu berkaitan.
Menurutnya, isu ketiadaan sijil kelahiran, kad pengenalan dan
kewarganegaraan (statelessness) sesungguhnya diketengahkan oleh DHRRA
Malaysia dengan kerjasama ERA Consumer Malaysia sejak 2003.
“Kami menjalankan pelbagai kempen untuk membantu anggota masyarakat
yang menghadapi isu dokumen pengenalan diri. Kami berusaha mendaftar
mereka agar mereka mendapat hak-hak asasi mereka,” katanya sewaktu
ditemui di pejabat DHRRA Malaysia di Petaling Jaya pada 2 Ogos 2012.
Saya difahamkan bahawa suatu seminar diadakan pada 2005, melibatkan
sekitar 250 individu yang menghadapi masalah dokumen pengenalan diri.
Sambutan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sendiri didapati kurang
baik kerana gagal menghantar wakil ke seminar berkenaan.
“Tetapi kami mendapat wakil dari UNHCR dan pelbagai NGO lain yang
menghadiri seminar polisi itu untuk berkongsi pengalaman cara-cara
mengatasi masalah dokumen pengenalan di Thailand, Sri Lanka dan
sebagainya. Selepas itu, kami cuba berhubung dengan agensi kerajaan
terbabit dan menegaskan bahawa salah satu isu dalam kalangan masyarakat
India di Malaysia adalah dokumen pengenalan diri,” Saravanan
menghuraikan.
Kempen MyDaftar
Sambil mengakui bahawa pihak-pihak tertentu tidak mengambil serius isu tersebut, beliau menegaskan bahawa DHRRA Malaysia tetap meneruskan usaha dan kempen secara berterusan bagi membantu masyarakat pelbagai kaum.
Sambil mengakui bahawa pihak-pihak tertentu tidak mengambil serius isu tersebut, beliau menegaskan bahawa DHRRA Malaysia tetap meneruskan usaha dan kempen secara berterusan bagi membantu masyarakat pelbagai kaum.
“Selepas
Pilihan Raya Umum Ke-12, kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Datuk
Seri Najib Razak menubuhkan satu pasukan khas yang dipengerusikan beliau
sendiri dan bertujuan mengenal pasti apakah punca-punca masyarakat
India tidak menyokong (mengundi) Barisan Nasional pada 2008,” katanya.
Agak menarik bahawa salah satu isu yang turut dibangkitkan oleh DHRRA
Malaysia dalam perbincangan Rancangan Malaysia Kesepuluh adalah isu
dokumen pengenalan diri. Tentulah amat wajar kerana tiada gunanya segala
RMK sekiranya rakyat negara ini tidak mempunyai dokumen pengenalan diri
yang membolehkan mereka mendapat apa-apa kebaikan daripada RMK itu.
Hasil daripada saranan itu, Special Implementation Task Force (SITF)
ditubuhkan dan dipengerusikan Datuk Dr S Subramaniam, lalu memulakan
kempen “MyDaftar”.
Wajar disebutkan bahawa jawatankuasa itu mengundang DHRRA Malaysia
untuk melatih pegawai terbabit supaya kempen “MyDaftar” dapat dijalankan
dengan berkesan; dan bukan hanya hangat-hangat tahi ayam atau indah
khabar dari rupa.
“Semasa perbincangan dengan kumpulan SITF, kami telah tegaskan bahawa
masalah dokumen pengenalan ini tidak boleh diselesaikan dalam masa
singkat kerana isu sebenar adalah berkenaan dengan polisi,” Saravanan
menegaskan.
Perkara ini amat penting kerana kebanyakan individu yang berdepan
dengan masalah ketiadaan dokumen pengenalan tidak mempunyai bahan bukti
yang cukup; sekali gus sukar untuk diselesaikan dalam masa yang singkat –
misalnya dalam tempoh kempen selama dua minggu.
Maka, suatu hakikat yang perlu diterima adalah bahawa walaupun kempen
“MyDaftar” diadakah secara besar-besaran selama beberapa minggu di
seluruh negara, isu sebenar yang dihadapi “mangsa” masih belum selesai.
Sebagai sebuah NGO yang bukan mementingkan “hasil” dan “nama” dalam
masa yang singkat, DHRRA Malaysia meneruskan pula kempen berterusan yang
dinamakan “My Document” dan mendapat sokongan Jabatan Perdana Menteri
(JPM).
Turut dilancarkan adalah “My Search” iaitu talian Pusat Panggilan
Komuniti yang beroperasi sepanjang tahun, dari 9:00 pagi hingga 9:00
malam. Dengan menggunakan Bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil sebagai
bahasa pengantar, DHRRA Malaysia sedia membantu masyarakat pelbagai kaum
di seluruh negara untuk mengatasi masalah yang dihadapi.
Saya sendiri sentiasa mengikuti perkembangan aktiviti DHRRA Malaysia
melalui laman sesawang dan Facebook. Namun, di media arus perdana,
kredit sentiasa diberikan kepada pihak lain; khususnya politikus atau
agensi kerajaan.
Apabila dikemukakan pertanyaan itu, Saravanan menjelaskan bahawa
akhbar-akhbar Tamil sering memaparkan berita mengenai usaha-usaha yang
dilakukan NGO itu dalam membantu masyarakat.
“Dalam akhbar-akhbar dan media lain, mereka menumpukan pada inisiatif
yang diambil oleh kerajaan. MyDaftar adalah salah satu inisiatif
seumpama itu, maka keutamaan liputan media arus perdana lebih menjurus
ke sana,” katanya.
Negara asal: Malaysia
Ringkasnya, DHRRA Malaysia tidak mendambakan pengiktirafan atau liputan meluas di akhbar dan media arus perdana atas sumbangan dan inisiatif yang diambilnya. Sebab itulah juga ramai yang tidak tahu bahawa wakil DHRRA Malaysia pernah membentangkan kertas kerja di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai peranan NGO dalam menyelesaikan isu-isu dokumen pengenalan diri.
Ringkasnya, DHRRA Malaysia tidak mendambakan pengiktirafan atau liputan meluas di akhbar dan media arus perdana atas sumbangan dan inisiatif yang diambilnya. Sebab itulah juga ramai yang tidak tahu bahawa wakil DHRRA Malaysia pernah membentangkan kertas kerja di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai peranan NGO dalam menyelesaikan isu-isu dokumen pengenalan diri.
Apakah cara terbaik dan paling berkesan untuk mengatasi masalah
rakyat negara ini yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri seperti
sijil kelahiran, kad pengenalan dan dokumen kewarganegaraan?
“Saya percaya, Ahli-ahli Parlimen dan Kerajaan Persekutuan harus
mengadakan seminar polisi dan seterusnya menukar polisi sedia ada.
Contohnya, apabila seorang individu diminta mengemukakan bahan bukti
kelahiran dan saksi, dia tidak dapat berbuat demikian kerana estet
tempat asalnya sudah tidak wujud,” Saravanan menghuraikan.
Saranan DHRRA Malaysia adalah supaya kes-kes seperti ini diberi
sedikit kelonggaran. Jika tidak, generasi demi generasi keluarga itu
akan kekal tanpa dokumen pengenalan diri dan tanpa kewarganegaraan.
Misalnya, individu yang disahkan “negara asal: Malaysia” tetapi hanya
diberi taraf “pemastautin tetap”.
“Kami mencadangkan supaya mereka yang lahir di Malaysia, ibu bapa
mereka juga orang Malaysia, dan mereka tidak mempunyai sebarang
kerakyatan lain, maka harus diberi kewarganegaraan secara automatik
mengikut peruntukan Perlembagaan,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai DHRRA Malaysia boleh diakses di laman web www.dhrramalaysia.org.my atau talian 03-78747680.
No comments:
Post a Comment