Ada yang memberi pendapat bahawa apalah bezanya mengambil budaya Arab
berbanding yang dari Barat? Kedua-dua budaya akan mengkayakan khazanah
budaya Melayu itu sendiri yang memang terkenal banyak dipengaruhi oleh
budaya luar sejak zaman berzaman. Pandangan itu benar tetapi oleh kerana
tanah Arab merupakan tempat lahir agama Islam, budaya dari daerah
tersebut dianggap sebagai budaya agama itu sendiri.
Walhal agama dan budaya dari sana bukanlah satu pakej yang diwajibkan
kepada penganut-penganut agama Islam yang telahpun mempunyai budaya
mereka sendiri.
Kebanyakan sumber rujukan berasal dari tanah Arab tetapi bukan sahaja
ajaran agama yang diterap tetapi sedikit demi sedikit dan secara tidak
langsung budaya dari negara itu juga diambilkira sebagai sebahagian
daripada suruhan agama yang patut atau mengikut sesetengah pandangan
dihayati untuk memantapkan lagi pegangan agama seseorang. Setiap
perlakuan di tanah Arab dirasakan lebih afdal dan bersesuaian dengan
pegangan agama. Adakah ini benar?
Pengaruh awal ke atas budaya Melayu
Adat dan budaya, yang tidak membawa kepada kesyirikan, kezaliman, kekejian, bidaah, pendustaan, khurafat dan keruntuhan maruahm, tidak ditentang oleh Islam.
Adat dan budaya, yang tidak membawa kepada kesyirikan, kezaliman, kekejian, bidaah, pendustaan, khurafat dan keruntuhan maruahm, tidak ditentang oleh Islam.
Contoh paling mudah tentang pengaruh budaya Arab di kalangan penganut
agama Islam Melayu ialah penggunaan bahasa Arab yang semakin meluas
bukan sahaja untuk istilah-istilah yang khusus berkaitan agama tetapi
juga ungkapan yang dulu sering disebut dalam bahasa Melayu tetapi
sekarang bertukar ke bahasa Arab.
Sejak kebelakangan ini ucapan selamat berpuasa telah semakin
menghilang diganti dengan ucapan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak
atau selamat menyambut Ramadan Karim. Tidak salah memberi ucapan selamat
berpuasa dalam bahasa lain selain daripada bahasa Arab tetapi ada yang
berasa lebih hampir pada agama Islam apabila ucapan sedemikian
diutarakan dalam bahasa Arab.
Mereka yang mengucapkannya pula akan cuba melafazkan ucapan tersebut
mengikut tajwid dan idgham yang sama seperti penutur asal bahasa Arab.
Ini mengingatkan kita tentang orang yang “speaking” bahasa Inggeris
setelah beberapa hari berada di negara Barat. Sebutannya akan
dipengaruhi sama ada dia pergi ke England, Amerika Syarikat atau
Australia. Memang gah bunyinya.
Bukankah niat dan keikhlasan dalam memberi ucapan itu yang patut
diutamakan dan memang boleh disebut dalam pelbagai bahasa, tidak
semestinya bahasa Arab. Kadang-kadang ungkapan dilafaz sambil lewa,
entah ikhlas atau tidak, siapa yang tahu.
Ada sesetengah orang yang memberi ucapan itu, yang lebih mementingkan
luarannya, sebutannya mesti sempurna dan kalau didengar tanpa melihat
wajah penuturnya, orang akan berkata bahawa kita mendengar ucapan dari
tanah Arab sendiri.
Memang bahasa Melayu banyak meminjam daripada bahasa-bahasa lain
terutama bahasa Inggeris untuk istilah-istilah sains dan teknologi.
Bahasa Melayu meminjam pula daripada bahasa Arab untuk mengungkapkan
konsep-konsep agama dengan lebih tepat. Pendekatan ini diambil kerana
ramai yang bimbang jika istilah-istilah agama yang mempunyai persamaan
dalam bahasa Melayu digunakan, maksud sebenarnya berkemungkinan
menyimpang dari istilah asal dalam bahasa Arab.
Perkataan sembahyang dan solat sering diambil sebagai contoh
bagaimana satu perkataan yang diterimapakai satu masa dahulu,
sembahyang, telah semakin hari diganti dengan perkataan yang mengikut
sesetengah pendapat adalah lebih tepat, iaitu solat.
Kosa kata bahasa Melayu yang sedia ada sebelum kedatangan agama Islam
ke rantau ini banyak dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit. Peradaban yang
wujud di rantau ini juga berteraskan agama Hindu dan Buddha tetapi ramai
yang malu atau tidak mahu mengakui hakikat ini.
Jalan mudah melupakan sejarah silam ialah menukar seberapa banyak
perkataan yang telah sedia ada di dalam khazanah bahasa Melayu yang
mempunyai kaitan dengan dunia Hindu dan Buddha kepada istilah yang sama
ertinya dalam bahasa Arab.
Bahasa menggambarkan budi dan adab
Penduduk rantau ini terkenal dengan sopan-santunnya dan seperti kata seorangpenulis, ramai yang telah lupa tentang sifat-sifat positif orang Melayu. Adab dan budaya Melayu yang selari dengan ajaran agama mesti dipupuk dan dibaja supaya bercambah dan berkembang dengan lebih meluas. Lihat sahaja khazanah pepatah, perumpamaan, pantun dan syair turun-temurun yang boleh dijadikan teladan.
Penduduk rantau ini terkenal dengan sopan-santunnya dan seperti kata seorangpenulis, ramai yang telah lupa tentang sifat-sifat positif orang Melayu. Adab dan budaya Melayu yang selari dengan ajaran agama mesti dipupuk dan dibaja supaya bercambah dan berkembang dengan lebih meluas. Lihat sahaja khazanah pepatah, perumpamaan, pantun dan syair turun-temurun yang boleh dijadikan teladan.
Ramai orang Melayu tidak lagi mengambil iktibar contoh-contoh
terdekat yang lahir dari persekitaran kita sendiri. Segala yang lama
dianggap tidak sesuai dengan pendekatan yang lebih menjurus kepada
agama. Walhal kedua-duanya boleh seiring.
Mungkin titik tolak peralihan tumpuan kepada budaya Arab bermula
semenjak pihak pemerintah dan pembangkang berlumba-lumba menunjukkan
pihak mana yang lebih Islam.
Adab dan sopan dalam perbincangan pun telah diketepikan dan pada masa
ini lebih banyak ucapan yang berapi-api dan ugutan didengar di dalam
sesuatu perbahasan. Bahasa yang kesat menjadi lumrah di parlimen dan
ceramah-ceramah umum. Bukankah itu tidak selari dengan ajaran agama?
Kalau benarlah mereka orang Melayu, adab dan sopan seharusnya sudah
sebati dengan jiwa. Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang
Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu,
bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama
ada di Tanah Melayu atau Singapaura, atau pada hari merdeka telah
bermastautin di Tanah Melayu atau Singapura.
Adakah unsur-unsur budaya Arab yang semakin meluas di kalangan orang
Melayu akan melenyapkan adat budaya dan bahasa Melayu pada satu hari
nanti? Jika itu berlaku, tidak adalah lagi orang Melayu di negara ini
kalau menurut takrif perlembagaan Malaysia.
1 comment:
Go to hell dengan kemelayuan ko!!!
Post a Comment