Mahfuz, Salahuddin ditahan di KL Sentral

Fazy Sahir and Muda Mohd. Noor | July 9, 2011

Mereka dibawa sama ada ke Pusat Latihan Polis atau Balai Polis Jinjang, demikian menurut Mahfuz dalam smsnya kepada FMT.

KUALA LUMPUR: Dua Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub telah ditahan kira-kira jam 12.15 tengahari di KL Sentral berhubung perhimpunan Bersih yang dijadualkan di Stadium Merdeka jam 2.00 petang ini.

Melalui teks smsnya, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mengesahkan bahawa mereka di bawa sama ada ke Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak atau Balai Polis Jinjang.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian ketika dihubungi sejurus selepas beliau ditahan juga mengesahkan perkara yang sama sebelum talian telefonnya terputus.

Sementara itu, seramai 98 orang awam dipercayai penyokong Bersih ditangkap di sekitar Masjid Jamek Kampung Baru dan 21 orang di sekitar pasaraya Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman sehingga jam 12.00 tengahari ini.

Di Kampung Baru, kebanyakan mereka dipercayai ahli PAS di bawa dengan trak ke Pulapol.

Masjid Jamek Kampung Baru, sejak tengah malam tadi ditutup dan dijangka akan dibuka semula jam 12.00 tengahari ini untuk membolehkan para jemaah menunaikan solat Zohor hari ini.

Sementara di sekitar pasaraya Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, sehingga jam 12.00 tengahari, seramai 19 orang awam ditangkap, termasuk tiga wanita, kerana disyaki menyertai perhimpunan Bersih.

Tiga wanita tersebut disyaki polis membawa kain lilit berwarna.

Dari jumlah 19 yang ditangkap, 12 dibawa ke Pulapol, Jalan Semarak.

Walaupun pihak polis membuat beberapa tangkapan, para penyokong Bersih dijangka terus berarak dan berkumpul di Stadium Merdeka dari jam 2.00 petang hingga 4.00 petang hari ini

No comments: