Altantuya: Pelik, bagaimana Razak tahu?

KUALA LUMPUR: Kalangan aktivis rakyat melahirkan rasa pelik dengan kenyataan bekas tertuduh kes pembunuhan Altantuya Shaaribu, Abdul Razak Baginda yang menyatakan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor memang tidak terbabit dengan kes tersebut.

Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin semasa dihubungi berkata beliau hairan bagaimana Razak boleh mengetahui bahawa Najib dan Rosmah tidak terbabit.

"Macama mana Razak yakin Rosmah dan Najib tidak terbabit dalam kes Altantuya, maknanya dia (Razak) tengok atau tahu bila Altantuya dibunuh.

"Saya menggesa kertas siasatan kes ini dibuka semula kerana timbul keraguan dalam kenyataan Razak yang terbaru," ujar Badrul Hisham.

Beliau juga menggesa agar polis menyiasat isi kandungan SMS Najib yang sebelum ini mencetus kontroversi selepas penyiasat P.Balasubramaniam membuat kenyataan bersumpah berhubung dakwaan tersebut.

Ujarnya lagi, rakyat tidak sanggup melihat permainan tertinggi dalam kes ini yang akhirnya memangsakan mereka yang bukan dikalangan 'high profile'.

Malah kata beliau lagi, wujud kebimbangan di kalangan rakyat akan imej Najib yang terpalit dengan dakwaan-dakwaan seperti ini yang akhirnya akan memberi kesan kepada keyakinan rakyat terhadap bakal Perdana Menteri itu.

"Kalau dahulu Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pun dengan jolokan 'Mr Clean' akhirnya kini terbukti tidak 'clean', inikan pula mereka yang baru nak naik tetapi dibayangi dengan pelbagai dakwaan skandal," ujarnya.

Jika benar Najib tidak bersalah, beliau harus melalui proses membersihkan imej melalui siasatan terbuka, cadang Badrul Hisham.

Razak kata Najib dan Rosmah tidak terbabit
Terdahulu, Razak yang juga bekas Penganalisa Politik membuat dakwaan Najib tidak terbabit langsung dalam kes pembunuhan wanita Mongolia.

Malah, katanya, Najib dan Rosmah tidak pernah bertemu dengan Altantuya.

Abdul Razak memberitahu demikian dalam sidang akhbar pertamanya selepas dibebaskan pada 31 Oktober lalu daripada tuduhan bersubahat membunuh Altantuya.

Dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, yang dituduh membunuh Altantuya, diperintah membela diri.

Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja, di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Pihak mendakwa tidak memfail rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan Abdul Razak.

Bercakap dalam sidang akhbar penuh sesak, Abdul Razak meminta semua pihak supaya berhenti menyebarkan fitnah terhadap Najib dan Rosmah.

Abdul Razak berkata, terlalu banyak fitnah yang dilemparkan kepada mereka berdua.

Malah, katanya, mereka yang menyebarkan fitnah itu tidak pernah mengeluarkan bukti yang kukuh 'kerana sebenarnya tidak ada bukti".

Katanya, beliau memberitahu pihak polis bahawa Najib tidak terlibat dan "keterangan yang diberikannya kepada polis adalah sama dengan yang dicakapkan kepada media hari ini.

"Saya juga ingin menjelaskan bahawa saya tidak pernah melakukan sebarang kesalahan terhadap si mati (Altantuya) dan saya ingin mengucap simpati yang tidak terhingga kepada keluarga si mati.

"Kebenaran adalah kebenaran dan tiada apa yang boleh mengubah kebenaran," katanya yang turut ditemani oleh peguamnya.

Abdul Razak berkata, memandangkan perbicaraan kes tersebut masih berjalan, maka beliau dinasihatkan oleh peguamnya supaya tidak menyentuh secara khusus mengenainya demi menjaga keluhuran perbicaraan tersebut.

Abdul Razak juga mendakwa, ada dua pihak yang didakwanya menyebarkan pandangan yang tidak berasaskan fakta iaitu blogger dan pemberi pendapat.

Beliau mendakwa, mereka ini telah membuat interpretasi tanpa berasaskan fakta dan berdasarkan khabar angin.

Oleh itu, beliau meminta mereka menghentikan perkara itu.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Najib, Abdul Razak berkata beliau tidak mempunyai hubungan yang formal dengan Najib.

Menurutnya, mereka sering bertukar buku dan berbincang mengenai apa yang mereka baca.

Wan Nordin Wan Yaacob
Harakah Daily
22/11/08

1 comment:

Nordin said...

sila bandingkan kenyataan akhbar Razak Baginda dengan Kenyataan SDnya sewaktu beliau mula didakwa dahulu. Pelik bukan?