Mahathir & UMNO mengamalkan politik murahan

Akhirnya seperti yang dijangka, Zaid dipecat dari UMNO. Tun juga pernah dipecat pada tahun 1969 dahulu kerana mengkritik UMNO. Tapi kes Zaid agak berbeda dari Tun, kesalahannya bukan kerana mengkritik UMNO tetapi kerana menghadiri Kongres PKR. Saya sendiri tidak tahu mengapa bagi orang politik mereka dihalang untuk berinteraksi dengan pihak-pihak lain di luar garisan parti mereka.

Saya tertanya-tanya mengapa politik kita menjadi seperti itu, bermusuh tidak habis-habis. Di satu pihak pemimpin kita menganjurkan rakyat untuk bersatu tanpa mengira perbedaan anutan politik. Tetapi mereka sendiri nampaknya cakap tidak serupa bikin apabila tidak membenarkan ahli UMNO menyertai persidangan parti lain. Kontras sungguh. Murid diminta kencing duduk, tetapi guru pula kencing berlari-lari keliling padang.

Nampaknya pemimpin-pemimpin kita ini jenis manusia yang menganjurkan permusuhan sampai ke liang kubur. Saya tidak nampak apa salahnya hadir kongres atau persidangan parti lain. Malah jika pemimpin PKR, PAS dan DAP dijemput ke Persidangan UMNO sekalipun, bagi saya mereka perlu pergi. Pergi bukan bermakna untuk menyertai parti lain, tetapi sekadar sebagai pemerhati. Apa salahnya melihat dan mendengar pandangan yang berbeda bagi mengukuhkan tahap ketulusan kita? Dalam hal ini nampaknya rata-rata orang kampung lebih bijak dari pemimpin kita. Orang kampung bila kenduri semua dijemput tanpa mengira fahaman politik mereka. Begitu juga bila ada kematian, seisi kampung hadir tanpa mengira dia penyokong parti mana.

Tetapi pemimpin politik kita menganut mazhab politik yang berbeda dari orang kampung. Apabila Anwar Ibrahim dipenjarakan di Sungai Buluh dulu saya tidak tahu sama ada bekas hulubalang Anwar yang ketika itu menjawat jawatan menteri dan timbalan menteri ada datang melawat dan bertanya khabar. Begitu juga ketika dia mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur, tidak tahu saya sama ada orang kuat BN yang merupakan sahabat Anwar dulu ada yang berani mengunjunginya. Dan apabila Tun Mahathir terlantar di IJN, saya juga tidak tahu sama ada pemimpin PKR ada mengunjunginya, walaupun terdapat pemimpin PAS yang berbuat demikian.

Begitu juga keadaan di Parlimen. Sokongan dan bangkangan terhadap sesuatu perkara bukan berdasarkan isu yang dibangkitkan, tetapi siapa yang membawanya. Jika isu itu dibangkitkan oleh PR, baik bagaimanapun isu yang dibawa namun Ahli Parlimen BN tidak akan menyokongnya. Begitu juga sebaliknya jika isu yang dibangkitkan oleh BN, Ahli Parlimen PR pasti enggan menyokongnya..

Di Amerika Syarikat perkara seperti ini tidak terjadi. Sebaik sahaja Clinton tewas di tangan Obama, beliau terus berkempen bersungguh-sungguh untuk kemenangan Obama. Begitu juga apabila Mc Cain tewas di tangan Obama, dia pergi menemui Obama untuk menyatakan sokongan bagi membina sebuah Amerika yang baru tanpa mengingati permusuhan kelmarin.

Mungkin kita belum semaju Amerika, walaupun pemimpin kita bercakap minda kita sedang dipacu ke arah itu. Tetapi jika fikiran pemimpin kita tidak kira BN mahupun PR masih di takuk lama - di takuk bermusuh hingga ke liang lahad - maka banyaklah masa kita untuk berbincang soal politik sahaja. Lama-lama rakyat akan menjadi makin muak dengan politik anutan pemimpin politik kita, politik pecah belah yang mereka seringkali meminta rakyat jangan melakukannya.

No comments: