KUALA LUMPUR, 4 Dis (Hrkh)-Teras pengupayaan Melayu (Teras) mengesa agar fatwa rokok yang telah diisytiharkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sejak 1995 perlu segera diwartakan oleh setiap kerajaan negeri jika pihak kerajaan benar-benar serius untuk menjaga kesejahteraan rakyat negara ini.
Presiden Teras Mohd Azmi Abdul Hamid berkata gejala merokok adalah musibah yang sangat jelas dari pelbagai segi sehingga setiap tahun kira-kira 100,000 orang mati yang dikaitkan dengan penyakit akibat merokok.
Katanya setiap tahun rakyat Malaysia berbelanja RM2 bilion untuk merokok manakala kerajaan pula terpaksa mengeluarkan perbelajaan berbilion ringgit lagi untuk merawat mereka yang menjadi mangsa dari penyakit yang dikait dengan merokok.
"Kesan sosial kepada anak muda juga sangat jelas. Kini generasi muda yang terjebak dengan tabiat merokok terdedah kepada jerat dadah yang semakin meningkatkan kes penagihan dadah dari sehari ke sehari di kalangan generasi tunas ini.
"Kita juga tidak dapat menafikan kos penyelanggaran untuk memungkinkan perokok disediakan tempat merokok dan membersih sampah dari rokok yang juga menelan belanja yang sepatutnya disalurkan kepada urusan masyarakat yang lebih bermanfaat," katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakah.
Bahaya rokok yang menyebabkan kebakaran juga tidak kurang memperkukuhkan mudharat kenapa fatwa ini bukan sahaja mempunyai nas naqli malah juga nas akli, kata Azmi
Lantaran itu katanya penyemakan semula terhadap fatwa ini tidak wajar diadakan sebaliknya apa yang perlu dilakukan ialah mempastikan perwataan fatwa menjadi undang-undang yang rasmi dan menentukan mekanisme penguatkuasaan ke atas mereka yang melanggar undang-undang tersebut.
Negara seperti Thailand, Singapura dan Kanada sudah jauh kehadapan dalam memperketatkan undang-undang mengenai rokok dan merokok berbanding kita malah Malaysia sendiri telah menjadi salah sebuah Negara yang menandatangani sebuah Konvensyen antarabangsa mengenai kawalan rokok, kata Azmi
"Kita tidak dapat menerima alasan mereka yang bertanggungjawab yang masih melengah-lengahkan tindakan untuk mewartakan fatwa ini di peringkat kerajaan negeri.
"Fatwa ini akan memberi kesan yang sangat mendalam kepada seluruh umat Islam memandangkan hukum agama, walaupun ada yang melanggarnya, namun boleh memberi impak yang kuat untuk membasmi tabiat yang memudaratkan ini dari terus dibudayakan," katanya.
Harakah
No comments:
Post a Comment